#2905: Anas Ibn al-Nadhr RA

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Anas Ibn al-Nadhr? Sebab saya dengar beliau seorang yang amat berani.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا ‎

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Surah al-Ahzab: 23)

Beliau ialah Anas bin al-Nadhr bin Dhamdham bin Zaid bin Haram bin Jundub bin‘Amir bin Ghanm bin ‘Adi bin al-Najjar. Beliau ialah bapa saudara kepada Anas bin Malik. Beliau juga salah seorang yang menyertai peperangan Uhud dan syahid dalam peperangan tersebut. Tambahan lagi, beliau termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman, yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Sa‘ad bin Muaz dan Anas bin Malik R.Anhum. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 1/230).

Diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:

غَابَ عَمِّي أَنَسُ بْنُ النَّضْرِ عَنْ قِتَالِ بَدْرٍ، فَقَالَ: «يَا رَسُولَ اللَّهِ غِبْتُ عَنْ أَوَّلِ قِتَالٍ قَاتَلْتَ الْمُشْرِكِينَ، لَئِنِ اللَّهُ أَشْهَدَنِي قِتَالَ الْمُشْرِكِينَ لَيَرَيَنَّ اللَّهُ مَا أَصْنَعُ»، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ أُحُدٍ، وَانْكَشَفَ الْمُسْلِمُونَ، قَالَ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَعْتَذِرُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ هَؤُلاَءِ – يَعْنِي أَصْحَابَهُ – وَأَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ هَؤُلاَءِ، – يَعْنِي المُشْرِكِينَ – ثُمَّ تَقَدَّمَ»، فَاسْتَقْبَلَهُ سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ، فَقَالَ: «يَا سَعْدُ بْنَ مُعَاذٍ، الجَنَّةَ وَرَبِّ النَّضْرِ إِنِّي أَجِدُ رِيحَهَا مِنْ دُونِ أُحُدٍ»، قَالَ سَعْدٌ: فَمَا اسْتَطَعْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا صَنَعَ، قَالَ أَنَسٌ: فَوَجَدْنَا بِهِ بِضْعًا وَثَمَانِينَ ضَرْبَةً بِالسَّيْفِ أَوْ طَعْنَةً بِرُمْحٍ، أَوْ رَمْيَةً بِسَهْمٍ وَوَجَدْنَاهُ قَدْ قُتِلَ وَقَدْ مَثَّلَ  بِهِ الْمُشْرِكُونَ، فَمَا عَرَفَهُ أَحَدٌ إِلَّا أُخْتُهُ بِبَنَانِهِ قَالَ أَنَسٌ: “ كُنَّا نُرَى أَوْ نَظُنُّ أَنَّ هَذِه

الآيَةَ نَزَلَتْ فِيهِ وَفِي أَشْبَاهِهِ: {مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ} [الأحزاب: 23] إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: “Bapa saudaraku (Anas bin al-Nadhr) tidak mengikuti perang Badar. Maka beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak sempat mengikutimu pada peperangan pertama menghadapi kaum Musyrikin. Seandainya Allah memberi kesempatan untuk aku menyertai peperangan melawan kaum Musyrikin nescaya pasti Allah akan melihat apa yang akan aku lakukan.” Ketika perang Uhud, kaum muslimin bertempiaran. Beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Ya Allah, aku memohon ampun atas apa yang yang dilakukan oleh mereka itu – yakni para sahabatnya – dan aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh mereka itu – yakni kaum Musyrikin – .“ Kemudian dia maju. Setelah itu, Sa’ad bin Mu‘az bertemu dengannya, lalu (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Wahai Sa‘ad! Aku inginkan syurga, demi Allah, aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud.” Sa‘ad berkata: “Aku tidak mampu, wahai Rasulullah, untuk melakukan seperti yang beliau lakukan.” Anas bin Malik (perawi) berkata: “Kami dapati pada dirinya ada lebih daripada 80 tetakan pedang, tusukan lembing, atau panahan anak panah. Kami dapati beliau telah disyahidkan dan dipotong-potong oleh kaum Musyrikin. Tidak ada seorang pun yang mengenalinya kecuali saudara perempuannya melalui jari-jemarinya.” Anas berkata: “Kami menganggap – atau menyangka — bahawa ayat ini turun mengenai dirinya,  dan orang-orang lain yang sepertinya: “مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ”(Maksudnya:  dalam kalangan orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.)[Surah al-Ahzab : 23] hingga akhir ayat.”

Riwayat al-Bukhari (2805) dan Muslim (1903)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam syarahnya menyebut, lafaz “aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud” merupakan ciuman bau yang hakiki, bukannya sekadar khayalan ataupun angan-angan. Ini merupakan karamah bagi Anas bin al-Nadhr R.A kerana beliau boleh mencium bau syurga sebelum beliau syahid. (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 2/110). (Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 399-400)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 250)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445