#2906: Al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi dan betulkah syurga merindui beliau?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Nama beliau ialah al-Miqdad bin ‘Amr bin Tha‘labah bin Malik bin Rabi‘ah al-Qudha‘i al-Kindi al-Bahrani. Beliau dipanggil sebagai al-Miqdad bin al-Aswad kerana beliau dipelihara dan dibesarkan di rumah al-Aswad bin ‘Abd Yaghuthal-Zuhri, lalu dia mengambilnya sebagai anak angkat.

Oleh sebab itu, beliau lebih cenderung untuk dipanggil sebagai al-Miqdad bin al-Aswad, dan beliau terkenal dengan nama tersebut. Namun, setelah turunnya ayat:

ٱدۡعُوهُمۡ لِأٓبَآئِهِمۡ

Maksudnya: “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri.”

(Surah al-Ahzab: 5)

Barulah beliau dipanggil sebagai al-Miqdad bin ‘Amr. Namun, beliau lebih terkenal dan lebih dikenali sebagai Ibn al-Aswad. Beliau telah berkahwin dengan Dhuba‘ah binti al-Zubair bin ‘Abd al-Muttalib iaitu sepupu Nabi SAW. Beliau juga termasuk salah seorang yang melakukan dua hijrah, menyertai peperangan Badar dan peperangan selepasnya. Dalam peperangan Badar, beliau adalah tentera berkuda.

Para ulama telah bersepakat bahawa al-Miqdad R.A telah meninggal dunia pada tahun 33 Hijrah pada zaman pemerintahan Uthman. Dikatakan usianya ketika itu

ialah 70 tahun. Jenazahnya telah disolatkan oleh Uthman bin ‘Affan R.A dan dikebumikan di Baqi‘.  (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/385-386; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/159-161)

Selain itu, terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa beliau termasuk dalam kalangan mereka yang dijamin syurga. Lebih-lebih lagi, tidak dapat dinafikan akan kelebihan dan keutamaannya sebagai al-Sabiqun al-Awwalun, ahli Badar dan seumpamanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ تَشْتاقُ إِلَى أَرْبَعَةٍ: عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَعَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ، وَسَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ، وَالْمِقْدَادِ بْنِ الْأَسْوَدِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Sesunguhnya syurga benar-benar merasa rindu kepada empat orang iaitu Ali bin Abu Talib, ‘Ammar bin Yasir, Salman al-Farisi dan al-Miqdad bin al-Aswad R.Anhum.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (6045); riwayat Abu Nu‘aim dalam Ma’rifah al-Sahabah (3346); al-Albani dalam Dha‘if al-Jami’ (1427) menilainya sebagai dhaif; al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/310) menyebutkan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Salamah bin al-Fadhl dan ‘Imran bin Wahb. Para ulama berselisih mengenai hadith kedua-duanya sebagai hujah, sedangkan baki perawinya yang lain adalah thiqah.

(Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 397-398)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445