#2908: Zaid bin ‘Amr

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Zaid bin ‘Amr dan benarkah beliau ahli syurga?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Zaid bin ‘Amr bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi. Beliau ialah bapa kepada Sa’id bin Zaid yang merupakan salah seorang 10 sahabat yang dijamin syurga.

Diceritakan bahawa Zaid bin ‘Amr selalu menghadap ke Kaabah lalu berkata: Tuhanku ialah Tuhan Ibrahim, dan agamaku ialah agama Ibrahim, serta dia solat. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW, dan Baginda bersabda: “Dihimpunkan umat antara aku dan Isa bin Maryam hanya seorang.” (Lihat Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/243).

Al-Zahabi ada menceritakan bahawa Zaid bin ‘Amr termasuk dalam kalangan mereka yang melarikan diri daripada ibadah berhala kepada agama Allah. Dia telah mengembara sehingga ke bumi Syam dalam mencari agama yang benar. Dalam pencariannya itu, beliau telah melihat Nasrani dan Yahudi, tetapi dia tidak menyukai agama mereka — yakni tidak menganutnya. Beliau berkata: “Ya Allah, sesungguhnya aku berada di atas agama Ibrahim.” Akan tetapi tidak tersebarnya syariat Nabi Ibrahim A.S sebagaimana yang dikehendaki. Begitu juga dia tidak melihat sesiapa menghalangnya daripada perkara itu, dan dia termasuk dalam kalangan orang yang terselamat. Sesungguhnya Nabi SAW telah bersaksi buatnya bahawasanya: “Dihimpunkan sebagai umat secara bersendirian.”

Begitu juga terdapat riwayat daripada Asma’ binti Abu Bakar, katanya: “Aku melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufail berdiri dalam keadaan membelakangkan Kaabah sambil berkata: ‘Wahai sekalian Quraisy! Demi Allah, tidak ada seorangpun di antara kamu yang mengikuti agama Ibrahim melainkan aku.’”(Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/126-128).

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَخَلْتُ الجَنَّةَ فَرَأَيْتُ لِزَيْدِ بنِ عَمْرِو بنِ نُفَيْل دَوْحَتَيْن

Maksudnya: “Aku telah memasuki syurga dan aku mendapati Zaid bin ‘Amr bin Nufail dua pokok besar yang memayunginya.”

Riwayat Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (19/512). Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/224) menyatakan bahawa sanad hadith ini adalah baik (jayyid).

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

سُئِلَ النَبيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ زَيْد بِنْ عَمْرُو بِنْ نُفَيْل فَقَالَ: يُبْعَثُ يومَ القيامةِ أُمَّةً وحْدَه، بَيْنِي وَبَيْنَ عِيسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام.

Maksudnya: “Nabi SAW ditanya tentang Zaid bin ‘Amr bin Nufail. Baginda menjawab: ‘Dia dibangkitkan pada hari kiamat sebagai umat secara bersendirian, di antaraku dan antara Isa A.S.’”

Riwayat Abu Ya‘la dalam Musnadnya (2047). Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Matalib al-‘Aliyah (3/283) menyatakan bahawa di dalam riwayat ini terdapat Mujalid yang bersendiri dalam meriwayatkannya, dan dia seorang perawi yang dhaif.

(Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 394-396)

Semoga Allah SWT tetapkan iman kita dan menjadikan kita sentiasa mentaati perintah Allah SWT sehingga ke akhir hayat serta mati dalam husnul khatimah dan baik amalannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445