#2916: Menulis “Bismillah” Dalam Surat Menyurat Rasmi

Soalan:

Assalamualaikum SS Tuan Guru Datuk, apakah hukum menaip basmalah dalam tulisan jawi yang mempunyai perkataan اله dalam surat menyurat kerana dikhuatiri dibuang ke dalam tong sampah dan tidak dilupus secara sepatutnya. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan Firman Allah SWT:

إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Maksudnya: Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): ‘Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Naml: 30)

Pada asasnya, basmalah atau ‘bismillah’ termasuk dalam ayat-ayat suci al-Quran. Ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dihormati dan tidak dijadikan mahupun diletakkan pada tempat yang menjadikannya rendah atau hina. Bahkan sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Menjawab bagi pertanyaan di atas, kami katakan bahawa mengagungkan perkataan  “Bismillah” sebenarnya adalah seperti mengagungkan syiar Allah SWT. Jika seseorang menulis perkataan “Bismillah” di atas kertas atau dokumen rasmi dan merasa bahawa kertas yang ditulis itu mungkin akan diabaikan dan dilemparkan ke tanah, maka sebaiknya jangan menulisnya. Yang demikian agar kertas atau dokumen yang memiliki kata suci ini tidak dipijak dan dibuang ke tempat yang tidak sepatutnya. Lebih dari itu, kita harus sedari bahawa ini adalah satu kalimah yang sangat istimewa yang ditulis di dalam naskah al-quran. Oleh kerana itu, sebagai seorang Muslim, seharusnya kita menghormati dan mengagungkan kalimah yang suci ini.

Namun sekiranya merasakan ia terselamat daripada dibuang dan dipijak maka dibolehkan untuk menulisnya. Yang demikian diharuskan kerana Rasulullah SAW pernah menulis kalimah  “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ: مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُه.” ketika baginda mengutus surat kepada raja Qaisar. Ini disebutkan dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Sufyan Bin Harb bahawa beliau berkata:

أَنّ هِرَقْلَ أرْسَلَ إلَيْهِ في نَفَرٍ مِن قُرَيْشٍ، وكانُوا تِجارًا بالشَّأْمِ، فأتَوْهُ – فَذَكَرَ الحَدِيثَ – قالَ: ثُمَّ دَعا بكِتابِ رَسولِ اللهِ ﷺ فَقُرِئَ، فَإذا فِيهِ: بسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِن مُحَمَّدٍ عبدِ اللهِ ورَسولِهِ، إلى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ، السَّلامُ على مَنِ اتَّبَعَ الهُدى، أمّا بَعْدُ

Maksudnya: Bahwa Heraklius (raja Romawi) mengutus seseorang menemuinya ketika ia bersama sekelompok orang-orang Quraisy dan mereka adalah para pedagang di Syam, setelah itu mereka mendatangi Heraklius, lalu dia menyebutkan hadith, Abu Sufyan berkata, kemudian Heraklius meminta surat dari Rasulullah ﷺ, ketika dibaca di dalamnya tertulis, “بسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang), dari Muhammad hamba Allah dan rasul-Nya, kepada Heraklius raja Rom, salam sejahtera bagi orang yang mengikuti petunjuk, amma ba’du.

Riwayat Bukhari (6260)

Dalam isu ini syeikh Ibn Baz dalam fatwanya menyatakan bahawa: Dibolehkan menulis kalimah Basmalah pada Kad atau selainnya seperti surat-surat. (Lihat Majmu’Fatawa wa Maqalat al-Mutanawwi’ah,5/427). Yang demikian kerana terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ فَهوَ أبترُ

Maksudnya: Setiap perkara yang tidak dimulai dengan Bismillah adalah sia-sia.

Riwayat Ibn Majah (1894)

Begitu juga al-Qurtubi beliau menyatakan bahawa: Ulama bersepakat dibolehkan menulis ” بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ ” pada permulaan  kitab-kitab dan risalah-risalah. (Lihat Jami; Li Ahkam al-Quran,13/193)

Justeru kami katakan menulis kalimah Basmallah di surat-surat rasmi sekiranya ia terselamat dari dibuang ke tempat yang tidak sepatutnya seperti tong sampah dan sebagainya maka ia dibolehkan. Oleh yang demikian, setiap Muslim dan Muslimah perlu menjaga surat, buku, dan perkara lain yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis Nabi, atau kata-kata yang mengandungi peringatan tentang Allah atau beberapa nama-Nya yang Maha Suci. Maka hendaklah menjaganya di  tempat yang suci, dan jika tidak diperlukan lagi, ia perlu dikuburkan di tempat yang suci atau dibakar.

Semoga dengan penjelasan ini dapat memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan kehidupan harian mengikut syariat Allah SWT. Akhir kalam kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445