Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada melihat suatu keadaan di mana pengantin lelaki tersilap melafazkan akad. Tok kadi menyebutkan lafaz ijab dengan jumlah mas kahwin yang tertentu, manakala pengantin lelaki mengucapkan lafaz qabul dengan jumlah mas kahwin yang berbeza. Adakah akad tersebut sah? Jika sah, mana satu jumlah mas kahwin yang perlu dibayar kepada isteri?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Diriwayatkan daripada Abu Ayyub R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ
Maksudnya: “Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.”
Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)
Sunnah menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan perkara yang telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan sunnah para rasul. Dengan perkahwinan, seseorang dapat mengatasi banyak godaan jahat dengan pertolongan Allah SWT. Perkahwinan dapat menjaga pandangan mata dan melindungi kehormatan. Ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas‘ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يا مَعْشَرَ الشَّبابِ، مَنِ اسْتَطاعَ مِنكُمُ الباءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فإنَّه أغَضُّ لِلْبَصَرِ وأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ فإنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda, barangsiapa diantara kalian yang mampu untuk berkeluarga, maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya ia dapat menahan pandangan (dari melihat sesuatu yang terlarang) dan memelihara kemaluan dan barangsiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi penawar baginya.”
Riwayat al-Bukhari (5066) Muslim (1400)
Perkahwinan adalah satu akad yang suci, ia diibaratkan sebagai satu ikatan yang kuat (مِيثَاقاً غَلِيظًا). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang berat dari kamu.”
(Surah al-Nisa’: 21)
Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi menyebutkan ketika menafsirkan (مِيثَاقاً غَلِيظًا) bahawa dengan ikatan perkahwinan ini, akan dihalalkan bagi wanita perkara-perkara yang tidak pernah dihalalkan baginya melainkan dengan ikatan ini. Hal yang demikian kerana termasuklah dalam ikatan ini keharusan melihat aurat, yang mana ia merupakan perkara yang berat (غَلِيظٌ). Jika sekiranya perkahwinan itu bukanlah satu ikatan yang berat, maka Allah SWT tidak akan menghalalkan melihat aurat. Kerana itulah Allah SWT menyebutkan (وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ), ifdha’ (إِفْضَاءٌ) yang bermaksud pendedahan (kerana dibenarkan mendedahkan aura tantara suami isteri).[1]
Nikah secara asasnya mempunyai 5 rukun yang utama, tanpa salah satu daripada rukun ini, maka pernikahan yang dilakukan tersebut dikira tidak sah.
- Sighah (Lafaz).
- Pengantin perempuan.
- Pengantin lelaki.
- Wali
- Dua orang saksi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55)
Mengikut uruf dan adat kebiasaan ummat Islam di Malaysia, wali kebiasaannya mewakilkan kuasa kepada tok kadi setempat untuk menikahkan wanita yang berada di bawah jagaannya. Apabila kita telusuri dengan baik kitab-kitab karangan fuqaha’ terdahulu, mereka meletakkan sighah sebagai rukun yang pertama kerana ia merupakan unsur terpenting dalam akad perkahwinan.
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan hikmah pensyariatan lafaz akad, katanya: “Oleh kerana akad perkahwinan itu termasuk antara akad yang memerlukan redha 2 pihak yang melakukan akad. Redha itu pula adalah suatu perkara yang tersembunyi yang tidak kelihatan, maka syara‘ mempertimbangkan redha itu dengan adanya lafaz akad, iaitu ijab (penawaran) dan juga qabul (penerimaan) sebagai bukti nyata persetujuan dalam jiwa setiap dua pihak yang berakad. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55)
Menyebut Mas Kahwin dalam Lafaz Akad
Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, kami terlebih dahulu menjelaskan bahawa mas kahwin pada asasnya tidaklah termasuk daripada rukun nikah, dan tidak juga ia disyaratkan dalam lafaz. Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ashab Mazhab al-Syafi‘i, katanya: “Mahar itu bukanlah satu rukun dalam pernikahan, berbeza dengan barang dan harga dalam jual-beli.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/247)
Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً
Maksudnya: “Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka.”
(Surah al-Baqarah: 236)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir R.A, menyebut:
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَالَ لِرَجُلٍ: أَتَرْضَى أَنْ أُزَوِّجَكَ فُلاَنَةَ؟ قَالَ: نَعَمْ، وَقَالَ لِلْمَرْأَةِ: أَتَرْضَيْنَ أَنْ أُزَوِّجَكِ فُلاَنًا؟ قَالَتْ: نَعَمْ، فَزَوَّجَ أَحَدَهُمَا صَاحِبَهُ فَدَخَلَ بِهَا الرَّجُلُ وَلَمْ يَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا، وَلَمْ يُعْطِهَا شَيْئًا وَكَانَ مِمَّنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ وَكَانَ مَنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ لَهُ سَهْمٌ بِخَيْبَرَ فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ قَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ زَوَّجَنِي فُلاَنَةَ، وَلَمْ أَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا، وَلَمْ أُعْطِهَا شَيْئًا، وَإِنِّي أُشْهِدُكُمْ أَنِّي أَعْطَيْتُهَا مِنْ صَدَاقِهَا سَهْمِي بِخَيْبَرَ، فَأَخَذَتْ سَهْمًا فَبَاعَتْهُ بِمِائَةِ أَلْفٍ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada seorang lelaki: ‘Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan wanita ini?’ Jawab dia: ‘Ya.’ Kemudian, Baginda berkata pula kepada si wanita: ‘Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan lelaki itu?,’ Wanita tersebut menjawab: ‘Ya.’
Kemudian Baginda pun menikahkan mereka berdua. Lelaki tersebut kemudian menggaulinya dalam keadaan belum menentukan mahar dan belum memberikan sesuatu pun kepadanya. Lelaki ini termasuk orang yang menyaksikan peristiwa Hudaibiyah, dan orang yang sempat menyaksikan peristiwa Hudaibiyah mempunyai bahagian (tanah) di Khaibar.
Kemudian tatkala kematian hampir menjemputnya, dia berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW menikahkanku dengan fulanah, dan aku belum sebutkan maharnya, dan aku belum beri apa-apa pun (sebagai mahar). Aku jadikan kamu semua sebagai saksi, bahawa aku telah memberi si fulanah tanahku di Khaibar sebagai mahar untuknya.’ Wanita itu pun mengambil bahagian tanah suaminya di Khaibar dan menjualnya dengan harga 100,000.”
Riwayat Abu Daud (2117) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14110)
Ibn Ruslan mengatakan bahawa, hadith ini menunjukkan dalil bahawa sah akad nikah tanpa menamakan jumlah mahar atau mas kahwin. Ia dikenali sebagai nikah tafwidh. Keharusan ini bukanlah membawa kepada makruh. Akan tetapi al-Mutawalli menyatakan hukumnya makruh. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 9/419)
Berbeza Lafaz Akad antara Ijab dan Qabul
Sekiranya mas kahwin disebutkan di dalam lafaz akad dan berlakunya perbezaan jumlah mas kahwin yang disebutkan oleh tok kadi dan juga pengantin lelaki, maka di sini perlukan sedikit perincian berkenaan syarat sah lafaz akad.
Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa lafaz qabul (penerimaan) mempunyai beberapa syarat asas, antaranya: “Lafaz qabul itu bertepatan dengan lafaz ijab (penawaran).”
Pada tempat yang lainnya, dinukilkan pula persepakatan fuqaha’ bahawa syarat termeterainya akad mestilah selaras antara lafaz ijab dan lafaz qabul secara makna. Sekiranya berbeza, terdapat dua keadaan:
- Pertama: Pengantin lelaki melafazkan jumlah mas kahwin yang lebih tinggi berbanding jumlah mas kahwin yang disebutkan oleh tok kadi dalam lafaz ijab. Dalam keadaan ini, hukumnya adalah sah kerana jumlah mas kahwin yang disebutkan dalam lafaz qabul mencukupi jumlah yang dipersetujui dalam ijab.
- Kedua: Pengantin lelaki melafazkan jumlah mas kahwin yang lebih rendah berbanding jumlah mas kahwin yang disebutkan oleh tok kadi dalam lafaz ijab. Dalam keadaan ini, hukumnya tidak sah kerana jumlah mas kahwin yang disebutkan dalam lafaz qabul tidak mencukupi jumlah yang dipersetujui dalam ijab. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/212; 32/308)
Syeikh Sayyid Sabiq pula menyebutkan bahawa, tidak boleh berbeza antara lafaz ijab dan lafaz qabul melainkan jika perbezaan itu membawa kepada sesuatu yang lebih baik bagi pihak yang melafazkan ijab, kerana ianya melebihi daripada apa yang dipersetujui.
Jika wali berkata: “Aku nikahkan engkau dengan anak aku Fulanah dengan mas kahwin 100 genih,” lalu pengantin lelaki menjawab: “Aku terima nikahnya Fulanah dengan mas kahwin 200 genih.” Maka termeterailah akad nikah tersebut kerana ia telah melebihi apa yang telah dipersetujui (iaitu 100 genih). (Lihat Fiqh al-Sunnah, 2/36)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa terdapat dua keadaan yang disebutkan oleh ulama’ sekiranya berlaku perbezaan mas kahwin yang disebutkan dalam lafaz akad:
- Jika jumlah mas kahwin dalam lafaz qabul melebihi jumlah yang dipersetujui, maka akad tersebut sah dan termeterailah perkahwinan.
- Jika jumlah mas kahwin dalam lafaz qabul kurang daripada jumlah yang dipersetujui, maka akad tersebut tidak sah dan perkahwinan itu tidak termeterai.
Sebaiknya, adakanlah perbincang terlebih dahulu antara pengantin lelaki dan wali wanita tersebut agar tidak berlakunya perselisihan yang mungkin menatijahkan pernikahan yang tidak sah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a‘lam
[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=MCNayNyS7Iw.
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445