Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ade 1 soalan, saya bermusafir dan solat jamak qasar zohor asar di waktu zohor, seminggu kemudian saya bermusafir ke tempat yg sama dan dapati saya solat ke arah kiblat yang salah, adakah saye perlu qada’ solat zohor dan asar saye pada minggu lepas dan jika perlu qada bagaimana cara untuk qada? Perlu qada solat tamam atau boleh qada solat jamak qasar? Terima kasih
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Menghadap Kiblat Sebagai Syarat Sah Solat
Berdasarkan nas daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.
(Surah al-Baqarah: 150)
Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”
Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)
Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/127-128)
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#380: Salah Arah Kiblat Ketika Solat[1]
#74 Solat yang Kiblatnya Sedikit Tersasar[2]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jawapan kami seperti berikut:
- Sekiranya seseorang tersalah arah kiblat ketika sedang solat, maka hendaklah dia memalingkan dirinya ke arah yang baharu.
- Sekiranya seseorang telah tersalah arah kiblat dan masih ada waktu untuk menggantikannya, maka sebaiknya ia mengulangi solat tersebut.
- Sekiranya seseorang telah tersalah arah kiblat, tetapi dia menyedarinya setelah seminggu atau bertahun, maka tidak perlu baginya menggantikannya. Namun, nasihat kami sekiranya solat yang perlu digantikan itu hanya satu atau dua waktu sahaja, maka sebaiknya ia diqadhakan bagi mengelakkan keresahan hati dan was-was.
Manakala dari sudut menggantikan solat jamak secara sempurna (4 rakaat) atau qasar (2 rakaat), dia perlu menggantikannya secara sempurna.
Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahu a’lam
[1] https://maktabahalbakri.com/salah-arah-kiblat-ketika-solat/
[2] https://maktabahalbakri.com/74-solat-yang-kiblatnya-sedikit-tersasar/
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445