#2923: Makruh Membaca Surah al-Masad dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah makruh hukumnya membaca surah al-Masad dalam solat kerana dikhuatiri ia akan menyakiti Nabi SAW kerana Abu Lahab itu salah seorang bapa saudara Baginda? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SAW dalam surah al-Masad:

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ ‎﴿١﴾‏ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ‎﴿٢﴾‏ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ‎﴿٣﴾‏ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ‎﴿٤﴾‏ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ ‎﴿٥﴾‏

Maksudnya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! (1). Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya (2). Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang (3). Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api (4). Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal (5).”

(Surah al-Masad: 1-5)

Sebab penurunan ayat ini ada diceritakan dalam sahih al-Bukhari daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

لَمَّا نَزَلَتْ: {وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ}، صَعِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الصَّفَا، فَجَعَلَ يُنَادِي: يَا بَنِي فِهْرٍ، يَا بَنِي عَدِيٍّ – لِبُطُونِ قُرَيْشٍ – حَتَّى اجْتَمَعُوا فَجَعَلَ الرَّجُلُ إِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يَخْرُجَ أَرْسَلَ رَسُولًا لِيَنْظُرَ مَا هُوَ، فَجَاءَ أَبُو لَهَبٍ وَقُرَيْشٌ، فَقَالَ: أَرَأَيْتَكُمْ لَوْ أَخْبَرْتُكُمْ أَنَّ خَيْلًا بِالوَادِي تُرِيدُ أَنْ تُغِيرَ عَلَيْكُمْ، أَكُنْتُمْ مُصَدِّقِيَّ؟ قَالُوا: نَعَمْ، مَا جَرَّبْنَا عَلَيْكَ إِلَّا صِدْقًا، قَالَ: فَإِنِّي نَذِيرٌ لَكُمْ بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ فَقَالَ أَبُو لَهَبٍ: تَبًّا لَكَ سَائِرَ اليَوْمِ، أَلِهَذَا جَمَعْتَنَا؟ فَنَزَلَتْ: {تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ}

Maksudnya: “Ketika turunnya (Firman Allah Taala): “وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ” (Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”)[Surah al-Syu‘ara’: 214], Nabi SAW panjat ke atas Gunung Safa dan mulalah Baginda menyeru: “Wahai Bani Fihr! Wahai Bani ‘Adi!” – iaitu suku-suku Quraisy – sehinggalah mereka berkumpul. Bahkan apabila seseorang tidak dapat keluar, dia akan mengirim utusan untuk melihat apa yang terjadi. Maka Abu Lahab dan kaum Quraisy datang. Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana pendapat kamu jika aku khabarkan kepada kamu bahawa ada pasukan berkuda di lembah yang ingin menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku?” Mereka berkata: “Ya, kami tidak pernah mendapati kecuali engkau seorang yang jujur.” Baginda berkata: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum datang azab yang dahsyat (di akhirat).” Abu Lahab berkata: “Celakalah engkau sepanjang hari, adakah untuk ini engkau kumpulkan kami?.” Maka turunlah (ayat): “تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ” (Maksudnya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya.”) [Surah al-Masad: 1-2].”

Riwayat al-Bukhari (4770)

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya orang yang mendirikan solat disunatkan untuk membaca mana-mana ayat yang mudah baginya selepas surah al-Fatihah tidak kira ia surah al-Masad ataupun surah-surah yang lain. 

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Khalid ‘Abd al-‘Alim bahawa tidak ada di sana larangan mahupun makruh dalam membaca mana-mana surah daripada al-Quran selepas surah al-Fatihah, sama ada surah tersebut surah al-Masad ataupun surah yang lain. Termasuk dalam sunnah bagi orang yang solat untuk membaca mana-mana ayat al-Quran yang mudah baginya, tanpa mengecualikan mana-mana surah daripada al-Quran al-Karim.

Dalilnya mengenai perkara ini, firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari al-Quran (dalam sembahyang).”

(Surah al-Muzammil: 20)

Dalam ayat di atas, Allah SWT tidak menetapkan batasan khusus dalam membaca ayat-ayat al-Quran dalam solat. Sebaliknya, semua ayat al-Quran boleh dibaca dalam solat, termasuklah surah al-Masad dan lain-lain.

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا 

Maksudnya: “Apabila kamu hendak mendirikan solat hendaklah kamu mengucapkan takbir kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu daripada al-Quran, kemudian rukuk hingga (ada) tamakninah pada rukuk itu. Kemudian bangkitlah daripada rukuk hingga iktidal berdiri lurus (ada tamakninah), kemudian hendaklah kamu sujud hingga (ada) tamakninah pada sujud itu, kemudian kamu bangkitlah daripada sujud hingga (ada) tamakninah duduk antara dua sujud. Kamu buatlah demikian dalam setiap solat kamu.”

Riwayat al-Bukhari (757)

Lafaz yang berkait dengan perbahasan kita ini dalam hadith di atas ialah “ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ” (kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu daripada al-Quran). Lafaz ini datang dalam bentuk mutlak tanpa sebarang perkara yang mengikatnya. 

Tambahan lagi, Syeikh ‘Atiyyah Saqr ketika ditanya mengenai adakah haram seseorang membaca surah al-Masad dalam solat? Beliau menjawab, tidak ada dalil yang melarang seseorang daripada membaca surah al-Masad dalam solat. Keseluruhan al-Quran adalah kalam Allah yang boleh dibaca pada setiap masa, sama ada dalam solat atau di luar solat. Pendapat beberapa orang yang menyatakan bahawa Nabi SAW berasa disakiti disebabkan bacaan surah ini kerana ia berkaitan dengan bapa saudaranya, Abu Lahab, adalah berdasarkan sangkaan semata-mata dan tidak mempunyai dasar yang kukuh. Rasulullah SAW telah menerima tentangan daripada bapa saudaranya itu suatu tentangan yang tidak pernah diterima oleh sesiapa pun daripada kalangan kaum kerabatnya. Begitu juga tidak terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW tidak membacanya dalam solat mahupun melarang orang lain membacanya dalam solat. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 9/69).

Begitu juga, Syeikh Ahmad Syarif al-Na‘san pernah ditanya mengenai adakah benar makruh membaca surah al-Masad dalam solat dan Rasulullah SAW melarang seseorang daripada membaca surat tersebut dalam solat? Beliau menjawab dengan menyatakan, sesungguhnya surah al-Masad adalah seperti mana baki surah-surah lain dalam al-Quran. Dituntut daripada setiap orang Islam untuk membacanya sebagaimana membaca baki surah-surah yang lain. Perkara itu berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَٰذِهِ الْبَلْدَةِ الَّذِي حَرَّمَهَا وَلَهُ كُلُّ شَيْءٍ ۖ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ ‎﴿٩١﴾‏ وَأَنْ أَتْلُوَ الْقُرْآنَ ۖ فَمَنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَقُلْ إِنَّمَا أَنَا مِنَ الْمُنذِرِينَ

Maksudnya: “(Katakanlah wahai Muhammad): ‘Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepada-Nya) (91). Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran.’ Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya: ‘Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran.’”

(Surah al-Naml: 91-92)

Surah al-Masad merupakan salah satu surah yang terpenting yang mensabitkan kenabian Nabi Muhammad SAW dan bahawa al-Quran al-Karim adalah kalam Allah ‘Azza wa Jalla. Jika ia datang dari sumber selain Allah SWT, pasti Abu Lahab akan mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Dengan itu, ia mendustakan al-Quran keseluruhannya.

Selain itu, Surah al-Masad juga mengandungi peringatan daripada Allah SWT kepada semua yang menentang dan berusaha untuk menghalang jalan Allah SWT. Jika ini adalah akibatnya untuk orang yang memiliki hubungan dekat (dengan Baginda SAW) yang menentang dan berusaha untuk menghalang jalan Allah SWT, maka bagaimana pula dengan orang lain?

Oleh itu, berdasarkan perkara tersebut, tidak ada dalil menunjukkan makruh membaca Surah al-Masad, tidak di dalam solat mahupun selainnya (luar solat), kerana surah al-Masad juga termasuk dalam kalam Allah. 

Sebahagian orang menyangka bahawa Rasulullah SAW akan berasa disakiti disebabkan bacaan daripada surah ini kerana ia turun mengenai bapa saudaranya, Abu Lahab. Namun, ini adalah salah faham, kerana Rasulullah SAW telah menerima tentangan daripada bapa saudaranya itu suatu tentangan yang tidak pernah diterima oleh sesiapa pun daripada kalangan kaum kerabatnya. Begitu juga tidak ada dalil yang mensabitkan bahawa Rasulullah SAW melarang seseorang daripada banyak membaca surah al-Masad dalam solat atau di luar solat. 

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa tidak makruh membaca surah al-Masad di dalam solat. Dalam erti kata lain, ia turut disunatkan untuk dibaca dalam solat selepas surah al-Fatihah sebagaimana baki surah-surah dan ayat-ayat lain dalam al-Quran. Bahkan pendapat yang menyatakan makruh atau haram membacanya dalam solat adalah tidak sahih dan tertolak berdasarkan keumuman hadith-hadith yang warid mengenai disunatkan membaca apa-apa ayat daripada al-Quran selepas surah al-Fatihah tanpa sebarang pengecualian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445