#2924: Mandi Wajib Tidak Sempurna

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah mandi wajib yang tidak sempurna dahulu dimaafkan akibat masih jahil? Bagaimana dengan solat yang bertahun tidak sah? Perlukah di qada?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

(Surah al-Nisa’: 43)

Tatacara Mandi Wajib

Sepertimana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

 Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami:

1) Rukun mandi wajib ada tiga

  • Niat mandi wajib

Niat umum:

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

  • Menghilangkan kotoran atau najis di badan.
  • Meratakan air ke seluruh tubuh badan yang zahir.

 Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2094: Tatacara Mandi Wajib[1]

#1507: Hukum Sengaja Tidak Mengulangi Mandi Wajib[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan setiap manusia tidak akan terlepas dari berbuat silap, terutamanya ketika itu, saudara masih kekurangan ilmu dalam hal agama ini. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

 كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

Riwayat Ibn Majah (4392)

Begitu juga, firman Allah SWT:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ ۗ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya.

(Surah al-Ma’idah: 95)

 Maka, nasihat kami, ulangilah mandi wajib tersebut dan tidak perlu menggantikan solat tersebut. Oleh itu, dalamilah ilmu agama dengan sebaik mungkin agar perkara sebegini dapat dielakkan, serta syariat Islam dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

 

[1] https://maktabahalbakri.com/2094-tatacara-mandi-wajib/

 [2] https://maktabahalbakri.com/1507-hukum-sengaja-tidak-mengulangi-mandi-wajib/

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445