#2928: Tafsir Ayat 261-262 Surah al-Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami berkenaan ayat 261-262 surah al-Baqarah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Al-Imam al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. Antara yang dapat kita iktibarkan daripada ayat di atas juga ialah, Allah SWT akan mengurniakan tambahan tanpa had kepada orang yang bersedekah pada jalan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601)

Sayyid Qutb berkata: Al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan ia tidak berkurang tetapi bertambah. Kemudian rasa ingin memberi dirangsangkan lagi dengan pemandangan tanaman yang banyak memberikan hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda, yang tidak terhingga dan tidak terkira. Allah melipatgandakan rezekinya yang tiada sesiapa pun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmat-Nya yang tiada sesiapa mengetahui batas sempadannya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-104)

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil peluang dan masa selagi hayat dikandung badan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya terutamanya sedekah dan infak kerana pahala dan balasannya besar di sisi Allah SWT. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445