Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum menggunakan kasut yang mengandungi darah manusia sepertimana yang berlaku di dalam isu kasut Lil Nas? Segala perhatian dan kerjasama serta jawapan daripada pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mengambil maklum berkenaan isu kasut Lil Nas X ini melalui portal berita. Kami tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu di sini kerana ia bukanlah persoalan yang diajukan di sini. Namun, secara ringkasnya, seorang rapper, Lil Nas X mencetuskan kontroversi apabila dia melancarkan kasut edisi khasnya yang diberi nama Kasut Syaitan atau Satan Shoes. Rapper itu mengaku menamakan kasut yang dihasilkan kolaborasi bersama jenama dari New York, MSCHF itu dengan model Nike Air Max 97 juga mengandungi titisan darah manusia yang bercampur dengan bahan lain. Kasut ini direka dalam warna merah dan hitam. Selain mengandungi titisan darah, kasut tersebut juga mempunyai lambang pentagram. Ini adalah sebagaimana disebut oleh Pengarah Kreatif MSCHF, Kevin Wiesner: “Kasut ini dijual dengan harga $1,018 (RM4,200) sepasang, mengikut muka surat dalam kitab Bible, 10:18 yang berbunyi: Saya melihat syaitan jatuh dari syurga. Terdapat setitis darah manusia di dalamnya.”[1]
Walau bagaimanapun, dilaporkan Nike memfailkan tuntutan saman ke atas syarikat MSCHF kerana mengeluarkan rekaan kasut kontroversi, Satan Shoes yang didakwa melanggar cap dagangan. Jenama kasut sukan antarabangsa itu dalam tuntutan samannya di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Timur New York berkata, pelancaran kasut tersebut tidak pernah mendapat kelulusan atau keizinan daripada pihaknya. Malahan, setelah dilancarkan, sudah pun terdapat kekeliruan apabila ada pengguna yang ingin memboikot Nike kerana meluluskan dan memberi keizinan untuk mengeluarkan rekaan tersebut. Susulan itu, Nike menuntut pihak mahkamah untuk menghentikan MSCHF daripada menjual kasut tersebut serta menghalang syarikat itu daripada menggunakan tanda rekaan popularnya, Swoosh.[2]
Kenajisan Darah Manusia
Sebelum kami menjawab soalan yang diajukan, sebagaimana yang kita ketahui, darah merah yang mengalir termasuklah darah manusia dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan disebabkan oleh kenajisan darah tersebut. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 173)
Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. Syarak mengecualikan daripada keumuman larangan bangkai ini, bangkai belalang dan ikan serta haiwan laut kerana ia adalah halal lagi baik. Manakala darah yang dimaksudkan di sini ialah darah yang mengalir sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/81).
Firman Allah SWT:
أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا
Maksudnya: “atau darah yang mengalir.”
(Surah al-An‘am: 145)
Inilah juga pendapat Ibn Abbas dan Sa‘id bin Jubair. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/8; Mughni al-Muhtaj, 1/112; Majmu‘ al-Fatawa, 21/17).
Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:
جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ
Maksudnya: “Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’”
Riwayat al-Bukhari (227)
Selain itu, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya. (Lihat al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).[3]
Kasut yang Mengandungi Darah Manusia
Dalam menjawab soalan di atas, kami bahaskannya kepada beberapa bahagian perbincangan. Pertamanya, perbincangan mengenai memakai atau menggunakan kasut tersebut. Secara umumnya, kita dituntut untuk menjauhi apa-apa perkara yang bernajis dan kotor kerana ia bertentangan dengan tabiat semula jadi manusia yang sukakan kebersihan. Sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas, darah manusia termasuk dalam perkara yang dianggap najis dan kotor.
Namun, jika seseorang itu tetap memakai atau menggunakannya, maka hukumnya adalah makruh. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi tentang penggunaan tulang gajah bahawa para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berpendapat, makruh menggunakannya (tulang/gading gajah) pada sesuatu yang kering kerana bersentuhan dengan najis, dan ia tidaklah haram kerana sesuatu yang kering itu tidak akan menjadi najis dengan sebab bersentuhan dengannya (yang juga dalam keadaan kering). Sekiranya seseorang membuat sikat daripada tulang gajah, lalu menggunakannya pada kepalanya (rambutnya) atau janggutnya, jika salah satunya dalam keadaan basah (iaitu sikat atau rambut dan janggut), maka rambutnya turut ternajis (disebabkan bersentuhan dengan sikat itu). Jika tidak basah salah satunya, maka rambutnya tidak ternajis. Akan tetapi hukumnya adalah makruh dan tidaklah haram. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/243).
Begitu juga kasut itu tidak boleh dipakai ketika mendirikan solat sehinggalah darah yang terkandung di dalamnya dihilangkan atau dibersihkan kerana termasuk dalam salah satu syarat sah solat adalah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.
Sekalipun begitu, ada sebahagian ulama melarang daripada memakai pakaian bernajis tanpa sebarang keperluan kerana dikhuatiri ia akan turut mencemarkan bahagian badannya yang bersih atau seumpamanya. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa sebagaimana diwajibkan menurut aurat di luar solat, begitulah juga diharamkan daripada memakai sesuatu yang bernajis sekalipun sedikit. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/127).
Keduanya, perbincangan mengenai jual beli kasut itu kerana ia melibatkan darah manusia yang terkandung di dalamnya. Pada asasnya, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa jual beli darah adalah haram dan dilarang. Hal ini kerana Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan darah, maka diharamkan juga berjual beli dengannya.
Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:
إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’”
Riwayat al-Bukhari (2236)
Begitu juga dalam al-Fiqh al-Manhaji (6/16), dinyatakan bahawa di antara syarat barangan yang dijual mestilah dalam bentuk harta yang bernilai menurut syarak. Syarat ini ditetapkan bagi barangan jualan dan bayaran yang ditetapkan. Berdasarkan syarat ini, segala barangan yang dikategorikan sebagai najis dan haram oleh syara’ tidak sah diperniagakan. Dengan itu, barangan seperti arak, bangkai, darah, najis dan anjing adalah tidak sah untuk dijadikan sebagai barangan jualan dan bayaran. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah di atas.
Dinyatakan dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah bahawa tidak boleh menjual darah. Hal ini adalah sebagaimana hadith Abu Juhaifah di mana beliau telah membeli seorang hamba tukang bekam, lalu beliau memerintahkan peralatan-peralatan bekam dipecahkan. Maka beliau ditanya berkenaan perkara tersebut. Beliau menjawab:
إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الدَّمِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang daripada hasil jualan darah.”
Riwayat al-Bukhari (2086)[4]
Menurut al-Hafiz dalam al-Fath bahawa yang dimaksudkan adalah haramnya menjual darah sebagaimana diharamkan menjual bangkai dan khinzir. Ia adalah haram secara ijma‘ (kesepakatan para ulama). Dalam erti kata lain, haram menjual darah dan menerima bayarannya. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, 13/71).
Begitu juga dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa jual beli darah yang mengalir adalah haram dan tidak sah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا
Maksudnya: “atau darah yang mengalir.”
(Surah al-An‘am: 145)
Malah, Ibn al-Munzir dan al-Syaukani secara jelas menyatakan secara ijma‘ (kesepakatan para ulama) atas haramnya menjual darah tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 9/148).
Ketiganya, perbincangan mengenai penggayaan dan penyerupaan dengan gaya hidup orang bukan Islam, orang fasiq atau syiar agama lain. Kita diperintahkan menjauhi apa-apa penggayaan dan penyerupaan yang boleh mengundang tohmahan kepada dirinya sendiri sebagai orang Islam seperti pemakaian pakaian dan tingkah laku yang jelas menyerupai gaya hidup orang bukan Islam, orang fasiq atau syiar agama lain. Hal ini kerana sedangkan agama Islam menuntut penganutnya agar berbeza dengan mereka. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”
Riwayat Abu Dawud (4031)
Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).
Selain itu juga, ingatlah sebagai seorang Muslim, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Begitu juga Umar R.A pernah berkata:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[5]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa semata-mata memakai kasut yang mengandungi darah manusia atau najis-najis yang lain secara umumnya tidaklah dilarang secara qat‘i tetapi hukumnya adalah makruh. Akan tetapi menjauhi daripada memakainya adalah lebih baik, selari dengan sifat tabiat semula jadi manusia yang sukakan kebersihan dan membenci benda-benda yang kotor.
Sekalipun begitu, pemakaian kasut yang direka dengan bentuk atau rekaan tertentu yang jelas menyerupai syiar agama lain atau syiar yang bertentangan dengan agama Islam, ditambah lagi dengan pengakuan perekanya bahawa diletakkan dalam kasut itu titis darah manusia, di samping lambang yang dikaitkan dengan syaitan, maka kami berpendapat bahawa memakai kasut tersebut adalah diharamkan dan hendaklah dijauhi.
Apatah jual beli kasut tersebut (yang mengandungi darah manusia) adalah tidak sah sebagaimana yang kami telah bahaskan di atas. Ditambah lagi, Lil Nas X dikaitkan dengan menyokong budaya songsang dan lagu-lagunya juga dilihat seolah-olah memuja syaitan. Maka, dengan memakai kasut tersebut secara tidak langsung seolah-olah telah menyokong perkara tersebut. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:
إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a’lam
[1] Lihat https://gempak.com/berita-terkini/rapper-lil-nas-x-jual-kasut-mengandungi-darah-manusia-diberi-nama-kasut-syaitan-48488. Diakses pada 24 Ogos 2023.
[2] Lihat https://www.kosmo.com.my/2021/03/30/nike-nafi-keluarkan-kasut-syaitan-fail-saman-terhadap-mschf/. Diakses pada 24 Ogos 2023.
[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 23 Mei 2023.
[4] Lafaz dalam Sahih al-Bukhari adalah sebagaimana berikut: Daripada riwayat daripada ‘Aun bin Abu Juhaifah, katanya:
رَأَيْتُ أَبِي اشْتَرَى عَبْدًا حَجَّامًا، فَأَمَرَ بِمَحَاجِمِهِ فَكُسِرَتْ. فَسَأَلْتُهُ فَقَالَ: نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ وَثَمَنِ الدَّمِ، وَنَهَى عَنِ الوَاشِمَةِ وَالْمَوْشُومَةِ وَآكِلِ الرِّبَا وَمُوكِلِهِ، وَلَعَنَ الْمُصَوِّرَ.
Maksudnya: “Aku melihat bapaku membeli seorang hamba tukang bekam, lalu bapaku telah memerintahkan peralatan-peralatan bekam dipecahkan. Aku pun bertanya kepadanya, dia berkata: ‘Nabi SAW melarang jual beli anjing dan bayaran kerana darah. Baginda juga melarang perempuan yang membuat tatu, perempuan yang minta ditatu, pemakan riba, orang yang memberi makan (riba), dan melaknat pelukis gambar.’”
Riwayat al-Bukhari (2086)
[5] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445