#2932: Dakwaan yang Mengatakan Makan dengan Tangan Kiri Adalah Sunnah?

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya ada melihat satu video yang menyatakan makan menggunakan tangan kiri juga merupakan suatu sunnah Baginda Nabi SAW jika makanan tersebut adatnya menggunakan dua tangan, mohon penjelasan yang tuntas Dato’ Seri. Jazakallah kheir.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nabi SAW seringkali mengutamakan dan mendahulukan bahagian kanan untuk sebahagian besar urusan seharian yang melibatkan kebaikan. Daripada ‘Aisyah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”

Riwayat al-Bukhari (168)

Nas ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW memberi prihatin dan kecaknaan berkenaan dengan makan dan minum. Bahkan, memakai selipar atau sepatu sekali pun dan termasuk segala urusan yang baik termasuk taharah dimulakan dengan tangan kanan atau mendahulukan yang kanan. Bahasa yang digunakan dengan kalimah (يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ) yang memberi maksud betapa Rasulullah SAW sebaik mungkin akan melakukan sesuatu yang baik dengan memulakan yang kanan atau pun dengan tangan kanan.

Selain itu, Nabi SAW pernah berpesan kepada Amru bin Abi Salamah R.A:

يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Maksudnya: “Wahai anakku, makanlah dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang dekat dengan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (5376)

Menurut Badr a-Din al-‘Aini, sebahagian ulama berdalilkan hadith ini dalam mewajibkan makan dan minum menggunakan tangan kanan, selain adanya banyak ancaman terhadap mereka yang menyelisihi arahan ini.  (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 21/29)

Begitu juga dengan hadith Nabi SAW:

إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Maksudnya: “Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.”

Riwayat Muslim (2020)

Berdasarkan hadith inilah Imam al-Nawawi berpandangan bahawa makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram, dan dalam masa sama beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/190-191)

Beliau berkata lagi: Dan kemakruhan makan dan minum dengan tangan kiri  ini berlaku jika tidak ada alasan dan keuzuran yang tertentu. Jika ada alasan dan keuzuran yang menghalangi makan dan minum dengan tangan kanan seperti sakit, luka, atau sebab lainnya, maka ia tidak menjadi makruh.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/191)

Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadith Jabir bin ‘Abdillah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَأْكُلُوا بِالشِّمَالِ ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِالشِّمَالِ

Maksudnya: “Janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan makan dengan tangan kiri”

Riwayat Muslim (2019)

Menurut sebahagian ulama, meskipun hadith-hadith yang menyuruh makan dan minum dengan tangan kanan secara zahirnya kelihatan seperti wajib, namun memandangkan ia lebih berbentuk adab dan irsyad, maka hukumnya bertukar menjadi sunat. (Lihat Majmu’ah al-Rasa’il al-Fiqhiyyah min Syarh Manar al-Sabil, hlm. 172)

Abu al-Abbas al-Qurtubi menyatakan bahawa suruhan dalam hadith ini berbentuk sunat, kerana ia satu bentuk memuliakan kanan ke atas yang kiri. Begitu juga antara contoh kemuliaan akhlak kalangan mereka yang terpuji ialah mengkhususkan perkara-perkara yang baik dengan yang kanan. (Lihat  al-Mufhim lima Ashkala min Talkhis Kitab Muslim, 5/295)

Jumhur ulama mazhab Hanafi, Maliki, al-Syafi’i dan Hanbali berpandangan bahwa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah sunat dan dianjurkan, dan makruh hukumnya makan dan minum dengan tangan kiri ketika tidak dalam keadaan darurat. (Rujuk Al-Bahr al-Ra’iq 1/56, Bariqah Mahmudiyyah 4/111, 45/294, Hasyiyah al-‘Adawi 2/425, Mathalib Uli al-Nuha 5/242, Mughni al-Muhtaj 3/250 dan Al-Iqna’ fi Fiqh Imam Ahmad bin Hanbal, 3/231)

Kebanyakan ulama mazhab Syafi’i berpandangan bahawa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah sunat dan dianjurkan, dan inilah pandangan Imam al-Ghazali dan Imam al-Nawawi. Selain itu, terdapat salah satu qaul Imam al-Syafi’i yang menegaskan bahawa hukum makan dengan tangan kanan adalah wajib (Lihat Fath al-Bari, 9/522)

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah juga disebutkan bahawa jika ada keuzuran yang menghalang seseorang untuk makan dan minum dengan tangan kanan, contohnya kerana sakit atau luka, maka tidaklah makruh menggunakan tangan kiri. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 6/119)

Ibn Muflih pula menukilkan pandangan Ibn Hazm dan Ibn Abd al-Barr yang mengharamkan makan dan minum dengan tangan kiri berdasarkan zahir hadith. (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 3/168)

Terdapat sebuah hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah mendoakan keburukan kepada seseorang yang enggan makan dengan tangan kanan:

أَنَّ رَجُلاً أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِشِمَالِهِ فَقَالَ « كُلْ بِيَمِينِكَ ». قَالَ لاَ أَسْتَطِيعُ قَالَ « لاَ اسْتَطَعْتَ ». مَا مَنَعَهُ إِلاَّ الْكِبْرُ. قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ.

Maksudnya: “Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia menjawab, ‘Aku tidak mampu.’ Baginda bersabda, Semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya.’ Tidaklah dia enggan untuk makan dengan tangan melainkan kerana kesombongan. Setelah itu tangannya tidak mampu sampai ke mulutnya.

Riwayat Muslim (2021)

Al-Syaukani berkata: Mengenai pernyataan baginda SAW “Tidak boleh salah seorang daripada kamu makan dengan tangan kirinya,” dalam ayat ini terdapat larangan untuk makan dan minum dengan tangan kiri. Larangan ini adalah dalam konteks yang sebenar-benarnya menunjukkan hukum larangan, sebagaimana yang ditetapkan dalam prinsip-prinsip (usul). Ini bukan hanya berupa sekadar makruh, kecuali jika ada penggunaan secara kiasan dalam konteks tindakan. (Lihat Nail al-Autar, 8/183)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Guru kami berkata dalam penjelasannya tentang kitab al-Tirmidzi: Majoriti ulama Mazhab al-Syafi’i cenderung kepada makan dengan tangan kanan adalah sunat dalam perkara ini. Dan pendapat ini dinyatakan dengan tegas oleh al-Ghazali kemudian al-Nawawi. Tetapi, Imam al-Syafi’i menyatakan dalam risalahnya dan tempat lain dalam kitab al-Umm bahawa hukumnya adalah wajib… Kemudian Taj al-Din al-Subki dalam penjelasannya menyatakan bahawa Imam Syafi’i dengan tegas menyatakan dalam tempat lain bahawa seseorang yang memakan apa yang tidak dilarang dengan pengetahuan penuh tentang larangannya, maka dia telah melakukan dosa dan maksiat.” (Lihat Fath al-Bari, 9/522)

Beliau menyatakan lagi: “Ibn al-Arabi telah dengan jelas menyatakan bahwa perbuatan makan dengan tangan kiri adalah dosa. Dia berhujjah dengan prinsip bahawa setiap perbuatan yang dikaitkan dengan syaitan adalah haram.” (Lihat Fath al-Bari, 9/523)

Imam al-San’ani berkata bahawa Rasulullah SAW tidak mungkin mendoakan keburukan kecuali untuk orang yang meninggalkan kewajiban. Jika doa itu kerana alasan orang itu bersikap sombong, memang ada kemungkinan demikian. Dan tidak dapat dinafikan juga kemungkinan Nabi SAW berdoa kerana kedua-dua alasan tersebut. (Lihat Subul al-Salam, 3/159).

Imam al-Munawi pula menyatakan pendapatnya bahawa perbuatan menyerupai syaitan tidak semestinya menunjukkan pengharaman, kadangkala ia merujuk kepada kemakruhan. Manakala doa Nabi SAW terhadap lelaki tersebut adalah disebabkan oleh kesombongannya daripada menuruti arahan Nabi SAW. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/298)

Terdapat juga riwayat yang daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْكُلُ البِطِّيخَ بِالرُّطَبِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama kurma basah.”

Riwayat Abu Dawud (3836) dan al-Tirmizi (1834). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut menilai sanad hadith ini adalah baik

Al-Mubarakfuri berkata: “Kata ‘Baginda makan tembikai dengan rutob (kurma basah).’ Abu Dawud menambahkan dalam riwayatnya yang menyatakan, “Yang menyingkirkan panas ini yang menyejukkan pun ini, dan yang menyejukkan ini yang memanaskan pun ini.” Al-Hafiz dalam Fath al-Bari berkata: ‘Dalam riwayat al-Tabarani mengenai bagaimana cara baginda makan keduanya. Ini sebagaimana dalam al-Ausat dan juga dalam aspek perubatan menurut riwayat Abu Nuaim daripada hadith Anas, bahawa baginda mengambil kurma dengan tangan kanan baginda dan tembikai dengan tangan kiri baginda, lalu memakan kurma itu bersama tembikai. Dan tembikai adalah buah yang paling dicintainya. Namun, sanadnya lemah.'” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/467)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan hal ini, beliau menjawab: Tidak menjadi masalah jika seseorang menggunakan tangan kirinya untuk membantunya makan, maka tidak ada masalah. Namun, makan sebaiknya dilakukan dengan tangan kanan. Seperti contoh, Nabi Muhammad SAW biasanya menggunakan tangan kirinya (yusra) untuk memotong daging dan sejenisnya.[1]

Selain itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: Memakan dengan tangan kiri, minum dengan tangan kiri, mengambil dengan tangan kiri, dan memberi dengan tangan kiri, semuanya bertentangan dengan Sunnah. Makanan harus dimakan dengan tangan kanan, minuman diminum dengan tangan kanan, mengambil daripada orang lain dilakukan dengan tangan kanan, dan memberi kepada orang lain juga dengan tangan kanan. Ini adalah Sunnah. Justeru, memakan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri adalah dilarang, berdasarkan perkataan Nabi SAW: “Tidak ada salah seorang di antara kalian makan dengan tangan kirinya atau minum dengan tangan kirinya, kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya.” Nabi SAW melarang makan dan minum dengan tangan kiri, dan alasannya adalah kerana tindakan syaitan. Ini menegaskan pentingnya menghindari makan dan minum dengan tangan kiri. Aku tidak tahu bagaimana seorang Muslim akan memilih antara mengikuti langkah-langkah syaitan dalam makan dan minumnya, meniru syaitan dalam makanan dan minumannya, atau mengikuti Rasulullah SAW dan petunjuk serta panduannya. Namun, yang pasti adalah setiap mukmin akan memilih untuk mengikuti Rasulullah SAW dan mengikuti petunjuk serta panduannya. Dengan demikian, kita berpendapat bahawa dilarang bagi seseorang untuk makan atau minum dengan tangan kirinya. Dan jika hal ini diharamkan, maka sesuatu yang diharamkan menurut prinsip syariah tidak dihalalkan kecuali dalam keadaan darurat. Ketika ada keadaan darurat, seperti ketika tangan kanan lumpuh, patah, terbakar, atau hal-hal serupa yang mencegah makan atau minum dengan tangan kanan, maka dalam situasi tersebut diizinkan untuk makan atau minum dengan tangan kiri. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 24/2)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa dalil-dalil dan perbahasan pandangan para ulama, kami menyimpulkan bahawa bila mana Rasulullah SAW menyuruh umatnya untuk makan dengan tangan kanan dengan memberi sebab bahawa syaitan makan dengan tangan kiri begitu juga minum. Makanya, kita diperintahkan untuk tidak mengikuti syaitan dan menyalahi syaitan. Sebaliknya, mengikut perintah Allah SWT dan rasul-Nya. Maka, perintah ini sewajarnya dijunjung oleh setiap orang bernama Muslim.

Justeru, berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa makan dan minum dengan tangan kiri bukanlah sunnah seperti yang didakwa, tetapi ia dibolehkan sekiranya terdapatnya darurat dan keuzuran yang menghalangnya daripada menggunakan tangan kanan seperti tangan kanannya lumpuh, luka, kudung dan seumpamanya.

Dalam hal ini, kami katakan hukum makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunat dan sunnah berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ dan juga wajib mengikut sesetengah pendapat yang lain berdasarkan arahan yang jelas dalam hadith Nabi SAW, manakala menggunakan tangan kiri adalah makruh, tetapi ia menjadi haram jika ia dilakukan dengan sengaja beserta niat untuk memperlekehkan sunnah Nabi SAW dan syariat Islam.

Selain itu, menggunakan kedua-dua belah tangan juga tidak diharamkan ketika makan dalam keadaan yang memerlukan penggunaan kedua-dua belah tangan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang melibatkan penggunaan sudu dan garfu untuk sesetengah jenis hidangan dan jenis makanan, namun tangan yang memasukkan makanan ke dalam mulut mestilah dengan tangan kanan, sementara tangan kiri pula digunakan untuk membantu sahaja.

Oleh itu, seboleh-bolehnya hendaklah berusaha untuk menyuap makanan dan minuman menggunakan tangan kanan dalam setiap keadaan dan inilah yang benar-benar beramal dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/28702/حكماستخداماليسرىمعاليمنىفيالطعام

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445