#2934: Tapak Tangan Ketika Sujud

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Zulkifli yang saya hormati. Saya pernah diberitahu dan ingin bertanya adakah benar, jika perempuan yang sedang solat, semasa sujud, tapak tangannya ditutupi kain telekung yang panjang. Adakah dikira tidak sah solat? Adakah tapak tangan sama seperti bahagian dahi? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sesungguhnya ibadat solat merupakan tiang seri kepada agama Islam yang perlu diberi kecaknaan dan dilakukan dengan sebaik mungkin. Ia semestinya mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Benarlah hadith Rasulullah SAW, daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Baginda SAW:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dipelihara kesempurnaannya agar solat itu sah dan diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn  ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ، عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ، وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.”

Riwayat al-Bukhari (812)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2400: Tidak Sah Sujud Atas Telekung: Pandangan yang Tidak Masuk Akal?[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sah solatnya meskipun tapak tangan berlapik dengan telekung (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/280). Namun, pada bahagian dahi ia perlu dikenakan secara langsung ketika sujud. Kewajipan membuka kawasan dahi ini berdasarkan hadis Khabab bin al-Arat RA, beliau berkata bahawa:

شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- شِدَّةَ الْحَرِّ فِى جِبَاهِنَا وَأَكُفِّنَا فَلَمْ يُشْكِنَا

Maksudnya: “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2764)

Akan tetapi, sekiranya tertutup sebahagian dahi dan sebahagian lagi mengenai tempat sujud, solatnya dikira sah.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/2400-tidak-sah-sujud-atas-telekung-pandangan-yang-tidak-masuk-akal/

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445