#2935: Sukar Bangun Pagi untuk Solat Subuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah nasihat dan amalan bagi orang yang sukar untuk bangun awal pagi untuk solat subuh. Adakah hal ini berkaitan dengan dosa yang lalu dan keberkatan hidup? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ ‏‏

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan).

Riwayat Abu Dawud (2606)

Sesungguhnya solat hendaklah diberi kecaknaan dan prihatin yang sungguh-sungguh kerana ia mempunyai masa dan waktu yang tertentu. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Surah al-Nisa’ (103)

Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)

Justeru, hendaklah kita menjaga dan meraikan semua waktu solat, apatahlagi waktu Subuh dan Asar sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama’. Ianya benar-benar digalakkan berdasarkan kepada banyak nas-nas untuk kita lakukan pada awal waktu. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 أفضل الأعمال الصَّلَاةُ لِوَقْتِهَا وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: “Sebaik-baik amalan ialah solat pada waktunya dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”

Riwayat Muslim (85)

Antara sebab tidak bangun subuh adalah:

1) Tidur Lewat

Dalam dunia yang serba moden ini, kebanyakan orang pada hari ini, terutamanya mereka yang bergelar remaja, sering tidur lewat hingga menyebabkan solatnya terabai. Bahkan dari segi kesihatan juga ia akan menjejaskan beberapa perkara seperti tahap konsetrasi, masalah pergaulan, sukar bangun pagi, cepat marah, tiada mood, stress dan sebagainya. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]

2) Dosa yang Terbelenggu

Dosa atau maksiat merupakan antara faktor yang mengikat dan menghalang seseorang itu dari bangun mengerjakan solat malam dan solat Subuh.

Imam Sufyan Al-Tsauri berkata: ‘’Aku ini terhalang dari melakukan qiyamullail selama lima bulan disebabkan satu dosa yang telah aku lakukan’’.

Imam Al-Ghazali dalam mengulas isu ini berkata: ‘’Dosa-dosa itu kesemuanya mewariskan kekerasan pada jantung hati seseorang serta menghalangnya dari melakukan qiyamullail’’. (Lihat Ihya’ Ulum Al-Din, Al-Ghazali, 1/356).

Terdapat sebuah riwayat bahawa seorang lelaki bertanyakan kepada Imam Hasan Al-Basri: ‘’Wahai Abu Sa’id, sesungguhnya aku ini tidur dalam keadaan sejahtera, aku cintakan qiyamullail, dan aku juga telah bersiap sedia dengan wuduk aku, namun mengapakah aku masih tidak bangun?’’

Maka jawab Hasan al-Basri:

ذُنُوبُكَ قَيَّدَتْكَ

Maksudnya: Dosa-dosa kamu mengikat kamu (dari mengerjakan qiyamullail). (Lihat Fasl Al-Khitab Fi Al-Zuhd wa Al-Raqaiq, 9/400).

 Justeru, nasihat kami buat saudara, antara cara untuk kita bangun lewat terutamanya dalam mendirikan solat subuh adalah:

  • Tidur awal agar badan berasa lebih segar dan mudah untuk mendirikan solat.
  • Banyakkan amal ibadat seperti zikir, baca al-Quran, selawat dan seumpamanya.
  • Mengunci jam bagi membantu untuk bangun.
  • Tidak tidur selepas terjaga kerana hal ini merupakan punca tertinggalnya solat subuh.

Akhir kalam, banyakkanlah kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Allah memurahkan rezeki kita dan memberkati usaha kita untuk mendirikan solat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1] http://www.myhealth.gov.my/isu-remaja-dan-tidur/

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445