#2938: Kelebihan Surah al-Baqarah dan Ali Imran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kelebihan surah al-Baqarah dan surah Ali Imran?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith-hadith berikut:

Daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ. اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ: الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَـاجَّـانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا. اقْرَءُوا سُـورَةَ الْبَقـرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ.

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana ia akan memberikan syafat kepada para ‘sahabatnya’. Bacalah ‘Dua Bunga’: Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran, kerana pada hari Kiamat nanti, keduanya akan datang seolah-olah dia gumpalan awan, atau seperti dua bayang-bayang, atau seperti dua gerombol burung-burung yang berbaris, yang akan membela para ‘sahabatnya.’ Bacalah surah al-Baqarah kerana mengambilnya (membaca/menghafal) merupakan satu keberkatan dan meninggalkannya merupakan kerugian. Perkara ini tidak mungkin dilakukan oleh orang-orang yang batil (jahat/buruk perangainya).”

Riwayat Muslim (1337)

Daripada Buraidah R.A, katanya: Aku duduk bersama Nabi SAW dan aku mendengar Baginda SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ، فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ يَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ. ثُمَّ سَكَتَ سَاعَةً، ثُمَّ قَالَ: تَعَلَّمُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ وَآلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا الزَّهْرَاوَانِ، وَإِنَّهُمَا تُظِلاَّنِ صَاحِبَهُمَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ غَيَايَتَانِ أَوْ فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، وَإِنَّ الْقُرْآنَ يَلْقَى صَاحِبَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حِينَ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ كَالرَّجُلِ الشَّاحِبِ. فَيَقُولُ لَهُ: هَلْ تَعْرِفُنِي. فَيَقُولُ: مَا أَعْرِفُكَ. فَيَقُولُ: أَنَا صَاحِبُكَ الْقُرْآنُ الَّذِي أَظْمَأْتُكَ فِي الْهَوَاجِرِ، وَأَسْهَرْتُ لَيْلَكَ، وَإِنَّ كُلَّ تَاجِرٍ مِنْ وَرَاءِ تِجَارَتِهِ، وَإِنَّكَ الْيَوْمَ مِنْ وَرَاءِ كُلِّ تِجَارَةٍ فَيُعْطَى الْمُلْكَ بِيَمِينِهِ وَالْخُلْدَ بِشِمَالِهِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لاَ يُقَوَّمُ لَهُمَا الدُّنْيَا. فَيَقُولاَنِ: بِمَ كُسِينَا هَذَا ؟ وَيُقَالُ لَهُمَا: بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ. ثُمَّ يُقَالُ لَهُ: اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا، فَهُوَ فِي صُعُودٍ مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلاً.

Maksudnya: “Belajarlah kamu semua surah al-Baqarah. Sesungguhnya mengambilnya adalah suatu keberkatan dan meninggalkannya adalah satu kerugian, serta tidak dapat meninggalkan hal itu oleh mereka-mereka yang batil.”

Kemudian Nabi SAW dia sejenak, lalu kembali bersabda: “Belajarlah kamu semua surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran, kerana keduanya adalah bagaikan dua bunga, yang mana keduanya akan memayungi ‘sahabat-sahabatnya’ pada hari Kiamat nanti, seolah-olah seperti dua awan atau dua bayangan atau dua gerombolan burung yang berbaris.

Sesungguhnya al-Quran itu akan menemui ‘sahabatnya’ ketika dibangkitkan dari kubur dalam bentuk seperti seorang yang pucat, kemudian dia berkata: “Apakah kamu mengenalku?” Dijawab: “Aku tidak mengenalmu.” Dia berkata lagi: “Akulah temanmu. Aku al-Quran yang telah membuat kamu haus kerana kamu membaca dengan mengeluarkan suara, dan membuatmu berjaga pada malam-malam harimu. Sesungguhnya setiap pedagang itu mempunyai hasil daripada setiap dagangannya. Pada hari ini, kamu memperoleh hasil daganganmu itu.”

Kemudian orang itu diberikan kerajaan di tangan kanannya dan kekekalan di tangan kirinya. Kemudian diletakkan di atas kepalanya mahkota kewibawaan. Kedua ibu bapanya juga dipakaikan dua perhiasan yang keindahan dunia tidak sebanding dengannya. Kedua ibu bapanya pun bertanya: “Kerana apa kami dipakaikan ini?” Dijawab: “Kerana anak kamu berdua telah mengambil (mempelajari/menghafal) al-Quran.” Kemudian diperintahkan kepada keduanya untuk terus naik di tangga syurga dan (melihat) kamar-kamarnya. Mereka akan terus naik selama anaknya masih tetap membaca al-Quran.”

Riwayat Ahmad (21872) (21897) (218971) dan al-Darimi (3257)

Daripada Nawwas Ibn Sam’an R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي الْقُرْآنُ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا، تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ.

Maksudnya: “Akan datang al-Quran bersama para ‘ahlinya’ yang mengamalkannya di dunia, dikepalai (didahului) oleh surah al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran.”

Riwayat Muslim (1338) dan al-Tirmizi (2808)

Selain itu, terdapat juga hadith tentang kelebihan surah al-Baqarah sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”

Riwayat Muslim (780)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, yang dimaksudkan dengan menjadikan rumah seperti perkuburan adalah rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan, maka dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/146)

Selain itu, terdapat juga hadith tentang kelebihan dua ayat terakhir surah al-Baqarah seperti hadith riwayat Abu Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda:

 أَنَّ مَنْ قَرَأَ بِالآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: “Bahawa sesiapa yang membaca dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah pada waktu malam, telah cukup baginya dengan keduanya.”

Riwayat al-Bukhari (5009) dan Muslim (807)

Menurut Imam al-Nawawi, maksud cukup baginya di dalam hadith di atas adalah cukup bagi seseorang mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/91)

Penutup

Semoga kita mampu membaca Surah al-Baqarah dan Ali Imran sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam waktu-waktu tertentu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445