#2941: Ibadah yang Boleh Dilakukan Wanita Yang Dalam Nifas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya akan bersalin tidak lama lagi. Jadi, saya ingin bertanya, apa amalan yang saya boleh buat selepas saya bersalin, iaitu ketika saya masih dalam tempoh nifas? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara asasnya, darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لَحْظَة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafi’i, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/82)

Justeru, tempoh nifas yang kebiasaan adalah 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya adalah 60 hari, dan tempoh minimumnya adalah sedetik. Kata Ibn Hajar al-Haitami: “Kadar yang lebih sesuai bagi tempoh minimum (nifas) ialah sedetik. Dan sebanyak-banyak nifas ialah 60 hari, dan kebiasaan tempoh nifas ialah 40 hari.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/413)

Dalam menjawab persoalan di atas, antara ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita yang sedang nifas adalah:

  • Berzikir mengingati Allah SWT seperti tahlil (ucapan لَا إلَهَ إِلَّا الله), tahmid (ucapan الْحَمْدُ لِلَّهِ), takbir (ucapan اللهُ أَكْبَرُ) dan istighfar
  • Belajar ilmu yang bermanfaat melalui internet dan sebagainya
  • Berinfaq pada jalan Allah
  • Bersedekah kepada fakir miskin
  • Mendengar bacaan al-Quran dan mentadabburnya
  • Membaca al-Quran tanpa menyentuhnya
  • Melazimi zikir pagi dan petang
  • Membaca zikir sebelum tidur
  • Membaca doa-doa seperti ketika masuk atau keluar rumah, naik kenderaan dan pelbagai doa dan zikir yang lain.

Namun, wanita yang sedang nifas diharamkan melaksanakan solat, puasa dan iktikaf di masjid selama mana masih dalam tempoh nifasnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445