#2944: Hukum Bersangka Buruk Dengan Allah

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Apakah hukum kita bersangka buruk dengan Allah terhadap apa yang dah berlaku dalam hidup ini seperti apa yang terjadi pada hidup ini tidak seperti yang diinginkan sehingga menyangka bahawa Allah tidak menyayanginya. Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kewajipan seseorang mukmin itu bersangka baik kepada Allah SWT, serta memperbanyakkan lagi bersangka baik kepada-Nya ketika ditimpa musibah dan ujian. Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah.”

Riwayat Muslim (2877)

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadith berkenaan bersangka baik kepada Allah SWT dengan menyatakan, “Para Ulama’ berpendapat makna bersangka baik kepada Allah SWT dengan percaya Allah SWT maha penyayang dan maha pengampun” (Lihat: Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 17/210)

Al-Hattab berkata: “Sunat bagi orang yang dalam sakaratul maut bersangka baik dengan Allah. Dan sangkaan ini hendaklah bertambah ketika hampir mati dan ketika sakit. Ini tanpa dinafikan sangkaan baik bagi orang yang mukallaf hendaklah sentiasa kepada Allah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 10/220)

Sesungguhnya Allah SWT telah memilih manusia untuk menguji keimanannya untuk terus kekal beriman kepada Allah. Allah SWT tidak akan membebankan hamba-hambaNya melainkan ianya sesuai dengan kemampuan mereka, sebagaimana firman-NYA:

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan batas kemampuannya”

(Surah al-Baqarah: 286)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)

Hukum Bersangka Buruk Kepada Allah

Bersangka buruk kepada Allah merupakan dosa yang besar yang harus dihindari kerana Allah SWT merupakan yang Maha Pemurah dan Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.

Ibn al-Qayyim berkata: Antara sebesar-besar dosa di sisi Allah ialah bersangka buruk denganNya. Sesungguhnya sesiapa yang bersangka buruk dengan Allah, dia telah bersangka kepada-Nya sesuatu yang bercanggah dengan kesempurnaan-Nya yang suci, dia telah bersangka kepada Allah sesuatu yang bertentangan dengan nama-nama-Nya dan sifat-sifat-Nya. (Lihat al-Da’ wa al-Dawaa’, 1/318].

Antara sebab manusia bersangka buruk dengan Allah ialah apabila tidak memahami maksud doa mustajab sehingga apabila doa dan permintaan mereka tidak dikabulkan, mereka akan menyalahkan Allah dan bersangka buruk terhadap Allah kerana tidak menunaikan permintaan dan doa mereka. Sedangkan doa setiap hamba itu akan tetap dikabulkan oleh Allah SWT, tetapi dengan cara yang Allah kehendaki. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا ” ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ: اللَّهُ أَكْثَرُ .

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: (1) Akan disegerakan doanya itu, (2) ditangguhkan ke hari Akhirat, (3) dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberian-Nya lebih banyak

Riwayat Ahmad (10921). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa sanadnya Jayyid.

Ibn Hajar al-Asqalani berkata bahawa hadith ini menunjukkan bahawa doa yang dipohon oleh seseorang akan diterima, tetapi bentuk penerimaannya itu pelbagai berdasarkan nas di atas. Samada dimakbulkan segera, ditangguhkan ke hari Akhirat atau dihilangkan keburukan seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 11/95).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa adalah berdosa besar bagi seorang hamba bersangka buruk kepada Allah SWT dan wajib bertaubat bagi sesiapa yang melakukannya. Hal ini kerana sesiapa yang bersangka buruk kepada Allah, maka dia telah bersangka kepada-Nya dengan sesuatu yang bercanggah dengan kesempurnaan-Nya yang suci, dia telah bersangka kepada Allah sesuatu yang bertentangan dengan nama-nama-Nya dan sifat-sifat-Nya yang sempurna.

Selain itu, Baginda SAW melarang umatnya merungut dan menyalahi takdir yang di tetapkan Allah SWT sehingga bersangka buruk kepada-Nya. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَىْءٌ فَلاَ تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا ‏.‏ وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ

Maksudnya: “Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan “kalaulah aku melakukan itu dan ini”. Akan tetapi katakanlah “takdir (ketentuan) Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi.”

Riwayat Muslim (2664)

Sebaiknya bersangka baik kepada Allah SWT serta bersabar dengan ujian dan musibah yang dihadapi. Firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajadah: 24)

Kami juga menasihati supaya memperbanyakkan berdoa agar diberi kekuatan iman. Serta mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan tentang agama dan akidah supaya dapat memahami dan menambah keyakinan terhadap Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445