Soalan:
Assalamualaikum wbt Dato Seri, saya ingin bertanya, saya ada menyusukan anak lelaki kepada sahabat saya selama tiga hari iaitu tiga kali sususan. Adakah anak tersebut menjadi mahram saya ? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Penyusuan ataupun dalam bahasa Arabnya al-Rada‘ (الرّضَاع) menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (22/238) ialah perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu. Manakala menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada‘ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119).
Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 23)
Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah R.A:
لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”
Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)
Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/23).
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pengiktirafan sebagai anak susuan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat seperti berikut:
- Hendaklah penyusuan itu sebanyak lima kali atau lebih secara berasingan. Sekiranya penyusuan tersebut kurang daripada lima kali maka anak tersebut tidak diiktiraf sebagai anak susuan menurut pandangan mazhab al-Syafi’e.
Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha yang mana telah berkata:
كَانَ فِيمَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ يُحَرِّمْنَ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ فَتُوُفِّيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُنَّ مِمَّا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Adapun apa (yang dahulu) diturunkan oleh Allah SWT daripada al-Quran adalah dengan sepuluh kali susuan (yang menjadikannya mahram) kemudian telah dimansukhkan dengan lima kali susuan. Rasulullah SAW telah wafat ianya dikalangan ayat yang pernah dibacakan dahulu.”
Riwayat Abu Dawud (2062)
Telah dinyatakan dalm fiqh al-Manhaji bahawa: penyusuan yang boleh menjadikannya anak susuan adalah sebanyak lima kali secara berasingan. Penyusuan dianggap sebagai sesuatu yang terpisah atau tidak terpisah adalah mengikut uruf setempat. Jika bayi berhenti menyusu kerana sudah kenyang, itu dikira sebagai satu susuan. Jika sekiranya bayi tersebut berhenti menyusu disebabkan bersenda atau berpindah dari payudara ke payudara yang lain, maka ia dikira sebagai satu penyusuan. (Lihat Fiqh al-Manhaji,4/209)
Ibn Qudamah dalam isu ini beliau menyatakan : Apa yang menyebabkan berlakunya pengharaman dengannya adalah lima kali penyusuan ke atasnya. Ini adalah pendapat sohih dalam mazhab. Hal ini diriwayatkan dari Aisyah, Ibnu Mas’ud, Ibnu Zubair, Ata, dan Towus. Ini juga merupakan pendangan daripada Imam Syafie. (Lihat al-Mughni,11/310)
- Hendaklah sesuatu penyusuan itu dilakukan ketika umur bayi tersebut tidak melebihi dua tahun. Jika usianya melebihi dua tahun, penyusuan itu tidak menjadikannya mahram dan tidak menjadikannya ahli keluarga bagi ibu yang menyusukannya.
Firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap Iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.
(Surah al-Baqarah, 2:233)
Begitu juga hadis, al-Daraqutni meriwayatkan:
لاَ رَضَاعَ إِلاَّ مَا كَانَ فِى الْحَوْلَيْنِ
Maksudnya: “Penyusuan adalah dalam lingkungan umur dua tahun.”
Riwayat al-Daraqutni (4/174)
Al-Syairazi meyatakan bahawa: Tidak disabitkan pengharaman disebabkan dengan penyusuan sekiranya umur bayi itu lebih dari tahun dan tiada apa-apa hukum dikenakan bagi penyusuan selapas umur tersebut. (Lihat al-Muhazzab,3/143)
Justeru, dalam situasi yang dijelaskan di atas kami berpandangan, anak tersebut tidak menjadi anak susuan saudari dan dia bukanlah mahram bagi saudari kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang telah dijelaskan di atas. Oleh yang demikian anak tersebut dihukumkan sebagai ajnabi dan halal untuk dikahwini.
Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian mengikut syariat Allah SWT yang telah ditetapkan dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah:201)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445