#2951: Mencukur Bulu Kemaluan Si Mati

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato Seri, semoga berada dalam sihat wa al-a’fiyat, saya ingin bertanya, ketika menguruskan jenazah adakah bulu kemaluan si mati perlu dicukur ? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menurut Imam al-Ramli, perkataan al-Jana’iz merupakan jamak dari perkataan janazah. Perkataan janazah adalah nama bagi mayyit (mayat) yang mana diletakkan di atas keranda. (Lihat Nihayah al-Muhtaj Syarah al-Minhaj, 8/16) Selain itu, al-Nawawi menukilkan pandangan daripada Ibn Faris, yang mana beliau mengatakan perkataan al-Jana’iz itu adalah kalimah jamak dari masdar al-Janazah. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 94)

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan merasai kematian  dan kematian adalah suatu yang pasti bahkan tiada siapa yang akan terlepas dari kematian dari kalangan yang bernyawa.

Firman Allah SWT :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

 (Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka menjadi fardhu kifayah kepada orang yang hidup terhadap si mati untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut:

  • Memandikan
  • Mengkafankan
  • Menyembahyangkan
  • Mengebumikan (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/494)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa mencukur bulu kemaluan si mati  adalah perkara yang diperselisihi dikalangan ulama.

Pandangan pertama: Diharamkan mencukur bulu kemaluan si mati. Ini merupakan pandangan dari mazhab Hanafi dan pandangan yang masyhur dari mazhab Hanbali.

Al-Buhuti menyatakan dalam kitabnya Kasyaf al-Qina’: Diharamkan mencukur bulu kemaluan si mati kerana ia boleh menyebabkan bersentuh dengan aurat si mati dan ia mungkin memerlukan untuk melihatnya sedangkan ia dilarang. Maka, janganlah melanggar larangan demi melakukan perkara yang sunat .(Lihat Kasyaf al-Qina, 4/79 )

Mereka berhujah dengan hadith yang memerintahkan untuk disegerakan dalam urusan jenazah sepertimana yang telah diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Pandangan kedua: Makruh mencukur bulu kemaluan si mati. Ini merupakan pandangan dari mazhab Maliki dan Syafi’e.

Imam al-Syafie berkata: “Tidak mencukur bulu atau memotong kuku itu  aku lebih sukai.” Imam al-Nawawi berkata: “Maka hasilnya bahawa pandangan mazhab atau pandangan yang benar ialah tidak harus mencukur bulu dan memotong kuku, kerana anggota badan jenazah tersebut merupakan sesuatu yang dihormati, maka janganlah mencemarinya dengan perkara ini. Tiada nas yang sahih daripada Nabi SAW dan para Sahabat berkaitan perkara ini, maka hukum melakukannya adalah makruh. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5:179-180)

Pandangan ketiga: Tidak makruh dan tidak juga sunat. Ini merupakan salah satu pandangan dari mazhab Syafie’

Telah dinyatakan dalam kitab al-Umm: Jika terdapat rambut pada bahagian kemaluannya iaitu si mati, terdapat di kalangan manusia yang enggan mencukurnya, sementara ada di antara mereka yang membiarkannya. Bagi mereka yang membolehkannya , tiada masalah untuk mencukurnya menggunakan pisau cukur atau memotongnya dengan gunting. (Lihat al-Umm,1/319 )

Justeru dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pandangan yang ke dua iaitu makruh mencukur bulu kemaluan si mati. Hal demikian disebabkan kerana apa yang terdapat pada tubuh si mati harus dihormati. Selain itu bagi mengelakkan daripada melihat dan menyentuh aurat si mati  kerana aurat si mati hendaklah dijaga sebagaimana ketika dia masih hidup. Oleh yang demikian kami berpandangan meninggalkannya adalah lebih baik daripada mencukurnya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445