Soalan:
Assalamualaikum Dato seri saya ingin bertanya, apakah hukum isteri keluar tanpa izin suami disebabkan berlaku perselisihan rumahtangga ? Adakah ketika itu isteri layak mendapat nafkah dari suami ?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu.”
(Surah al-Ahzab: 33)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni lazimi (kekal) di rumah dan tidak keluar melainkan jika adanya keperluan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/363)
Nas di atas menunjukkan bahwa para isteri hendaklah tetap berada di rumah dan tidak boleh keluar melainkan setelah mendapat keizinan daripada suami kerana kewajipan hak suami ke atas isteri adalah mentaatinya. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ
Maksudnya: “Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Kewajipan mendapatkan izin suami sebelum keluar rumah ini juga diistinbat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ
Maksudnya: “Jika isteri-isteri kalian meminta izin pada waktu malam untuk ke masjid (bagi menunaikan solat Isyak), maka berilah keizinan pada mereka.”
Riwayat al-Bukhari (865) dan Muslim (442)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Imam al-Nawawi, katanya bahawa hadith di atas digunakan untuk berhujjah bahawa para isteri tidak boleh keluar daripada rumah melainkan dengan izin suami. (Lihat Fath al-Bari, 2/348)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam melayari bahtera rumahtangga setiap pasangan mempunyai hak masing-masing yang harus dijaga dan dipenuhi. Hal ini telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”
(Surah al-Baqarah: 228)
Al-Jassas ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan: “Allah SWT telah menyatakan dalam ayat ini bahawa setiap pasangan mempunyai hak-hak yang berbeza kepada pasangannya, dan suami mempunyai hak-hak khusus yang tidak dimiliki oleh isteri seumpamanya.” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/453)
Dalam isu ini kami ingin menekankan bahawa dalam situasi apa sekalipun isteri tidak boleh meninggalkan rumah tanpa izin suami, walaupun terdapat perselisihan di antara mereka kecuali jika terdapat alasan yang kuat seperti ancaman bahaya atau kemudaratan yang memaksa isteri untuk keluar. Maka dalam situasi tersebut ia dibolehkan. Hal ini kerana Allah SWT telah memerintah para istri untuk menetap dirumah seperti firmanNya yang telah dinyatakan di atas. Pandangan ini juga merupakan pandangan yang telah disepakati oleh mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali
Al-Nawawi menyatakan bahawa: Isteri keluar rumah tanpa izin suami adalah dikira nusyuz (Lihat Minhaj al-Talibin,hlm.264)
Dinyatakan dalam Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa: Setiap wanita layak mendapat nafkah kecuali wanita yang nusyuz iaitu wanita yang tidak mentaati suami seperti keluar rumah tanpa keizinan suami atau menghalang suami untuk bergurau senda atau sebagainya.(Lihat Tuhafah al-Muhtaj,7/441 )
Ibn Taimiyah juga menyatakan: Tidak halal bagi isteri keluar dari rumah melainkan dengan izin suami. Jika dia keluar tanpa izin maka dia dikira sebagai wanita yang nusyuz yang melakukan dosa maksiat kepada Allah dan Rasul. (Lihat al-Fatawa al-Kubra,3/153)
Justeru kami katakan, isteri yang meninggalkan rumah tanpa izin dari suami dianggap sebagai tindakan yang bertentangan dengan perintah syara’, dan dianggap sebagai wanita nusyuz yang boleh menggugurkan nafkahnya. Oleh kerana itu, menghormati dan mentaati suami menjadi kewajipan ke atas isteri sebagai melaksanakan perintah Allah SWT.
Kami juga ingin mengingatkan bahawa dalam situasi apapun, penting bagi pasangan suami-isteri untuk berkomunikasi dengan baik. Apabila terjadi perbezaan pendapat atau konflik dalam rumah tangga, kami syorkan supaya mengadakan perbincangan yang baik. Dengan cara ini, masalah-masalah tersebut dapat diatasi secara bersama-sama dan menemui jalan penyelesaian yang terbaik seterusnya dapat meneruskan kehidupan rumahtangga dengan sejahtera dan harmoni.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan:74)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445