Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seseorang akan diganjarkan pahala apabila dia sabar melawan nafsunya dan memaksa dirinya demi melaksanakan amalan-amalan ketaatan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sabar bermaksud tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi, di antara sifat sabar itu, terdapat sifat sabar kerana mengerjakan ketaatan dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama, lebih utama daripada sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.
Dalam membicarakan berkenaan kesabaran, para ulama’ menyebut bahawa terdapat tiga jenis kesabaran, iaitu:
- Sabar ketika ditimpa musibah dan perkara-perkara yang tidak disukai
- Sabar dalam menjauhi kemaksiatan
- Sabar dalam melaksanakan ketaatan
Darjat sabar yang paling agung adalah sabar terhadap ketaatan. Kerana itulah sabar yang paling agung yang diharapkan. Hal ini dengan maksud tatkala seseorang mengerjakan amalan ketaatan, lalu dia bersabar terhadapnya dan menyabarkan dirinya, agar dia tetap sentiasa melaksanakannya sesuai dengan bentuk yang paling sempurna, dengan segala kekhusyukan dan ketundukannya.
Berkenaan persoalan di atas, seseorang yang memaksa dirinya untuk memberikan sepenuh komitmen dalam melaksanakan dan menjaga ketaatan tidak diragui lagi akan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Allah SWT juga akan memberikan kepadanya taufiq (bimbingan) dan memberinya petunjuk ke jalan yang lurus dengan izin-Nya, sepertimana ditegaskan dalam firman-Nya:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “Dan, orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan, sungguh Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”[1]
(Surah al-Ankabut: 69)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: “Berjihadlah kamu dalam melawan hawa nafsu dalam mentaati Allah, bersyukurlah atas kurniaan-Nya dan bersabarlah atas ujian-Nya, nescaya Allah akan memberi hidayah dengan menambahkan jalan ke arah kebaikan.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 8/367)
Al-Suddi berkata: “Yakni, berjihadlah semata-mata kerana Kami dengan penuh keimanan dan keteguhan, nescaya Kami tunjukkan kamu jalan-jalan ke Syurga.” Abu Sulaiman al-Darani pula berkata: “Mereka yang berjihad atas apa yang diketahui dan dipelajari, nescaya Allah akan menunjukkan kepada mereka apa yang mereka tidak ketahui.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 8/367)
Sayyid Qutb berkata: “Keimanan mereka tidak akan sia-sia dan jihad mereka tidak akan dilupakan. Allah SWT akan memberi sepenuh perhatiannya kepada mereka dari maqam-Nya yang Maha Agung dan kerana itu, Dia melimpahkan keredhaan-Nya kepada mereka. Allah SWT memandang tinggi jihad mereka, dan kerana itu Dia memberi hidayah kepada mereka. Allah SWT menghargai usaha-usaha mereka untuk sampai kepada-Nya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/62)
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ
Maksudnya: “Dan, orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan kepada mereka (balasan) ketaqwaan mereka.”
(Surah Muhammad: 17)
Ibn Kathir berkata: “Orang-orang yang berusaha mendapatkan hidayah, maka Allah memberikannya taufiq untuk mendapatkannya, lalu Dia memberi mereka hidayah, kemudian meneguhkannya, menambahnya dan memberikan ketakwaan kepada mereka serta mengilhamkan mereka petunjuk dan kecerdasan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/43)
Sayyid Qutb berkata: “Takwa adalah suatu keadaan hati yang membuatkan seseorang itu selama-lamanya takut kepada kebesaran Allah SWT, merasakan Allah SWT sentiasa memerhatikannya, merasa bimbang kepada kemurkaan-Nya, sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya dan merasa serba salah daripada dilihat Allah SWT dalam keadaan tidak diredhai-Nya. Perasaan peka seperti inilah yang dinamakan takwa. Ia merupakan balasan yang dikurniakan Allah SWT kepada mana-mana hamba-Nya yang dikehendaki-Nya apabila mendapat hidayah dan menaruh minat untuk mencapai keredhaan Allah SWT.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/225)
Justeru, dapat difahami bahawa orang yang berusaha melawan hawa nafsunya demi melaksanakan amalan ketaatan, maka dia akan diberi ganjaran pahala atas kesabarannya dalam mengerjakan hal tersebut.
Kemudian, Allah SWT akan memberikan kepadanya taufiq dan bimbingan serta menunjukkan kepadanya jalan yang membawa kepada redha-Nya, dan Allah SWT juga akan menambah hidayah baginya.
Permasalahan berusaha melawan hawa nafsu ini adalah termasuk masalah taufiq yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki di antara para hamba-Nya.
Antara dalilnya adalah berdasarkan hadith daripada Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami R.A, katanya: “Aku pernah bermalam bersama Rasulullah SAW. Lalu aku datang kepadanya dalam keadaan berwudhu’ dan membawa hajatnya. Lalu Baginda SAW berkata kepadaku: ‘Mintalah.’ Lalu aku berkata: ‘Aku meminta agar dapat mendampingi kamu di syurga.’ Baginda berkata: ‘Adakah selain dari itu?’ Aku katakan: ‘Itu sahaja.’ Baginda pun bersabda:
فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ.
Maksudnya: “Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud (melakukan solat).”
Riwayat Muslim (489)
Imam al-Nawawi menjelaskan, bahawa hadith ini menunjukkan galakan dan motivasi untuk memperbanyakkan sujud. Sujud yang dimaksudkan adalah dengan memperbanyakkan solat. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 4/206)
Dalam hadith di atas, difahami bahawa banyak melakukan sujud sudah tentu memerlukan kesungguhan, ketabahan dan mujahadah (perjuangan yang kuat) dalam melawan hawa nafsu.
Berdasarkan kenyataan di atas, difahami bahawa orang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk melawan hawa nafsunya dalam mengerjakan amalan ketaatan, maka dia akan diganjarkan pahala atas kesabarannya dalam mengerjakan hal tersebut.
Penutup
Sesungguhnya mujahadah merupakan sifat yang mulia terutamanya menentang hawa nafsu. Di samping itu perlu mendapat didikan dan asuhan guru agar ianya benar-benar mengikut neraca Syariat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”
Wallahu a’lam
[1] Imam Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan: Yakni, sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan amalan ketaatan, maka Allah SWT pasti akan menunjukkan kepada dirinya jalan untuk menuju ke Syurga. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 25/94) Al-Sabuni berkata: “Mereka yang berjihad melawan nafsu, syaitan, syahwat dan orang kafir yang menjadi musuh agama semata-mata mencari keredhaan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan yang mudah untuk sampai kepada Kami.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/430)
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445