#2958: Membeza-bezakan Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato seri, mohon pencerahan Dato mengenai ibu bapa yang membezakan anak-anak kerana saya melihat ada segelintir ibu bapa lebih memberi perhatian kepada anaknya yang lebih berjaya daripada yang lain, termasuklah juga dalam pemberian.Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Anak merupakan anugerah Allah SWT dan ia adalah hibah serta kurniaan daripada-Nya. Firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, tidak sewajarnya ibu bapa membezakan antara anak-anak. Seharusnya bagi mereka bersikap adil tanpa memihak kepada mana-mana anak. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa:

أنّ رجلًا كان جالسًا مع النبيِّ ﷺ فَجاء بُنَيٌّ لهُ فأخذَهُ فَقَبَّلهُ وأَجْلَسَهُ في حِجْرِهِ ثُمَّ جاءتْ بُنَيَّةٌ لَه فأخذَها وأَجْلَسَها إلى جَنبِهِ فقال النبِيُّ ﷺ فما عَدَلَتْ بينَهُما

Maksudnya: “Seorang lelaki sedang duduk Bersama Nabi SAW dan dia berkata: Lalu seorang anak lelakinya datang kepadanya lalu dia mengambilnya, menciumnya dan meletakkannya di pangkuan. Kemudian seorang anak perempuannya pula datang kepadanya lalu dia mengambilnya dan meletakkannya di atas pangkuan. Nabi SAW bersabda: Mengapa kamu tidak memperlakukan kedua-duanya secara adil?”.

(Riwayat al-Baihaqi dalam al-Syua’b,6/410)

Begitu juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقوا اللهَ، و اعدِلوا في أولادِكم.

Maksudnya: Bertakwalah kalian kepada Allah dan berbuat adillah pada anak-anak kalian.

Riwayat Bukhari(2587) dan Muslim (1623)

Nas-nas hadith di atas menunjukkan pentingnya ibu bapa untuk berlaku adil terhadap anak-anak, sama ada dalam memberi perhatian atau memberikan sesuatu kepada mereka. Sekiranya tidak berlaku adil maka ia dihukumkan sebagai makruh disisi al-Syafie dan haram disisi Hanbali. (Lihat Taisir Jami’ al-Soghir,1/27)

Imam al-Nawawi juga menyatakan: Sewajarnya bagi bapa berlaku adil antara anak-anak dalam pemberian. Sekiranya dia tidak berlaku adil maka dia telah melakukan perkara yang makruh akan tetapi pemberian tersebut tetap sah.(Lihat Raudah al-Tolibin,hlm.378)

Dalam isu kasih sayang pula ibu bapa tidak dituntut untuk berlaku adil kerana kasih sayang merupakan perkara hati yang tidak boleh dikawal. Hal ini telah disebut dalam Hasyiah Ibn ‘Abidin : Tiada masalah dalam memberi keutamaan kepada beberapa orang anak dalam kasih sayang, kerana ia adalah perbuatan hati (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin,5/696)

Justeru, kami ingin menekankan bahawa ibu bapa perlu memperlakukan semua anak dengan adil tanpa memihak kepada mana-mana anak baik dari segi perhatian atau pemberian. Perlakuan yang tidak adil ini dapat menimbulkan gangguan emosi pada anak yang merasa diabaikan. Mungkin juga kurangnya perhatian yang menjadi sebab tidak mentaati dan menghormati ibu bapa. Dengan demikian, adalah sangat penting bagi ibu bapa untuk bersikap adil terhadap semua anak  demi menjaga kemaslahatan mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445