Soalan:
Assalamualaikum Dato seri, saya ingin bertanya apakah hukum berkahwin dengan lelaki yang mensyaratkan tidak dikenakan mahar ke atasnya ? ِAdakah sah akad nikah yang dilakukan tersebut ? Mohon pencerahan daripada Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”
(Surah al-Nisa’: 4)
Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:
أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/190)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa merupakan pemberian yang wajib ke atas suami kepada isteri disebabkan dengan akad perkahwinan. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib
(Surah al-Nisa’: 4)
ِAl-Qurtubi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan: Ayat ini menunjukkan bahawa mahar merupakan kewajipan ke atas suami kepada isteri. Yang demikian merupakan perkara yang telah disepakati dikalangan para ulama.(Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran,5/24)
Dalam isu ini kami katakan akad nikah tersebut adalah sah dan syarat yang dikenakan itu terbatal kerana mahar merupakan kewajipan yang harus ditunaikan oleh suami. Hak Ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ اشتَرَطَ شَرْطًا ليس في كِتابِ اللهِ فهو باطلٌ
Maksudnya: Siapa yang membuat suatu syarat bukan daripada kitab Allah maka ia adalah terbatal.
Riwayat Bukhari (2155)
Dalam isu ini juga telah dinyatakan dalam fiqh al-Manhaji bahawa: Mahar adalah kewajipan yang perlu diberikan oleh suami kepada isteri sebaik sahaja pernikahan dijalankan, sama ada jumlah wang tertentu yang telah dinyatakan dalam perjanjian perkahwinan, seperti seribu pound Syria sebagai contoh, atau pun tidak dinyatakan. Walaupun suami bersetuju untuk tidak memberikan mahar atau tidak menyebutnya dalam perjanjian, persetujuan tersebut tidak sah, dan mahar tetap wajib ke atasnya. (Lihat Fiqh al-Manhaji,4/75)
Justeru kami katakan bahawa mahar bukanlah termasuk dalam rukun nikah namun, ia merupakan kewajipan yang mesti ditunaikan oleh suami kepada isteri disebabkan akad nikah yang dilakukan. Sebarang syarat yang menyelisihi apa yang telah ditetapkan oleh syara’ maka syarat tersebut adalah terbatal.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445