Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa ulama dahulu ada nama lain dari nama asal?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Al-Qurtubi menukilkan pendapat Ibnu Mas’ud yang berkata, “Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini dan makna Allah SWT mengangkat golongan yang berilmu atas yang beriman yang tidak dikurniakan ilmu dengan beberapa darjat pada agama mereka apabila mereka melakukan apa-apa yang diperintahkan.”
Menjawab persoalan di atas, kami telah nyatakan dalam buku Gelaran Ulama di mana terdapat banyak gelaran yang digunapakai oleh ulama sama ada secara umum atau secara khusus. Sebagai contoh, gelaran Syeikh sendiri dalam mazhab Syafi’i dengan maksud Imam al-Syirazi dalam mazhab Maliki dimaksudkan dengan Abu Muhammad Abdullah bin Abi Zaid al-Qariawani dan juga kepada Khalil bin Ishak. Sedangkan mazhab Hanbali pula dengan maksud Ibnu Qudamah atau Ibn Taimiyah atau Ibn Qundus.
Mereka terkadang-kadang lebih masyhur dengan gelaran sama ada dari segi keturunan seperti Imam al-Syafi’e sedangkan nama sebenarnya Muhammad. Kadang-kadang dengan gealran kampung atau tempat tinggalnya seperti Imam al-Nawawi yang dinisbahkan di perkampungannya yang bernama Nawa, jarak lebih kurang 50 km dari kota Damsyik sedangkan nama sebenarnya Yahya bin Sharaf al-Nawawi. Begitu juga, seperti Imam Bukhari berasal dari Bukhara dan nama sebenarnya Muhammad.
Contoh-contoh yang lain seperti berikut:
- Al-Auza’ie – nisbah kepada Auza’ sebuah perkampungan di Damsyik. Nama sebenarnya Abdul Rahman bin Amr. Meninggal dunia pada tahun 157 H.
- Al-Baji – iaitu sebuah negeri dinamakan Bajah terletak di Andalus. Beliau seorang ahli hadith dan fiqh dalam mazhab Maliki, nama sebenarnya Sulaiman bin Khalaf, meninggal dunia oada tahun 474 H.
- Al-Bajuri – beliau ialah Ibrahim bin Muhammad, juga dibaca dengan al-Baijuri. Seyikh Jami’ al-Azhar, faqih dalam mazhab Syafi’i. Lahir di Bajur sebuah perkampungan di al-Manufiyah, Mesir dan lain-lain lagi.
Justeru, hal ini banyak berlaku sejak zaman dahulu lagi. Sama ada mereka menggelarkan dengan gelaran Abu seperti Abu Hanifah yang nama sebenarnya Nu’man bin Thabit atau Ibnu seperti Ibn al-Mubarak, nama sebenarnya ialah Abdullah.
Yang penting, mereka dikenali dengan nama yang dipanggil untuk mereka sekali pun nama asalnya adalah berlainan. Hal ini juga berlaku kepada para sahabat, seperti Abu Hurairah mengikut yang masyhur nama sebenarnya Abdul Rahman bin Sakhar dan ada menyatakan namanya Abdullah.
Semoga kita termasuk di kalangan yang mencintai ulama serta mengenali merka dengan lebih dekat lagi.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445