#2962: Maksud Ruwaibidhah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada saya apa maksud ruwaibidhah sebagaimana di dalam hadith?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Anas ibn Malik dan juga Abu Hurairah R.Anhuma berkata: Sabda Rasulullah SAW:

 سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang benar dikatakan pendusta, pengkhianat dikatakan amanah sedangkan orang yang amanah dikatakan sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang taaffah (bodoh, akal pendek, lalai, celaru) yang turut campur dalam urusan manusia.”

Riwayat Ibn Majah (4036) dan Ahmad (7912). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (3650)

Para ulama’ telah menafsirkan beberapa makna bagi al-Ruwaibidhah, antaranya ialah:

  • Al-Ruwaibidhah adalah sighah tasghir bagi Rabidhah (رابضة) dan ta’ marbutah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah. Al-Rabidhah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 2/494)
  • Riwayat di dalam Musnad Ahmad mengatakan: Orang yang bodoh bercakap perkara umum.(Musnad Ahmad, no. hadith 7912)
  • Riwayat di dalam Syarh Musykil al-Athar: Orang yang fasiq bercakap perkara umum. (Syarh Musykil al-Athar, no. hadith 13299)
  • Imam al-Syatibi di dalam al-‘Itisham: Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap. (Lihat al-‘Itisham, 3/100)

Kami katakan jelas menunjukkan ruwaibidhah ini orang yang bodoh, buta agama, fasik, keji dalam percakapan dan bukan berkeahlian dalam bidang tersebut tetapi ingin bercakap dan melontarkan idea. Itulah rumusan berkenaan dengan al-Ruwaibidhah. Kita bimbang ia boleh membawa kepada kekufuran kadang-kadang pada waktu petang dan kadang-kadang pada waktu pagi kerana ia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia. Benarlah apa yang disebut dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, di mana Rasulullah SAW dengan tegas menyebut:

بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

Maksudnya: Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia.

Riwayat Muslim (118)

Al-Imam al-Suyuti berkata: Hadis ini menggesa supaya melakukan amalan yang soleh dengan bersegera sebelum berlaku keuzuran kepada kita dan kesibukan disebabkan berlakunya banyak fitnah yang melalaikan dan bertimpa-timpa sebagaimana bertimpanya kegelapan malam tanpa sebarang cahaya bulan. Dan Rasulullah SAW mensifatkannya sejenis daripada ujian, bala daripada fitnah tersebut sehingga membawa seseorang itu di waktu petang beriman, kemudian pada waktu pagi boleh menjadi kufur atau sebaliknya. (Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, 1/134)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445