Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa pendapat dan pandangan ustaz mengenai banyaknya sekatan dan halangan untuk kita berdakwah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.”
(Surah Ali ‘Imran: 104)
Begitu juga sabda Nabi SAW:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat,”
Hadis riwayat Bukhari (3461)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa pemerintah mempunyai niat dan tujuan yang amat murni agar kepastian pendakwah benar-benar layak dan menepati kehendak Islam sebenar berdasarkan kepada banyak nas atau kisah di dalam pemberian tauliah ini.
Maka di sinilah keperluan Tauliah Mengajar yang antara lain untuk memastikan bahawa;.
- Seseorang itu benar-benar layak dan sesuai untuk mengajar agama.
- Mengekang penyebaran ajaran atau fahaman yang menyeleweng daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.
- Mengelak sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.
- Mencegah mana-mana pihak yang menggunakan platform ceramah untuk menghina atau mengaibkan orang atau kumpulan tertentu.
- Memastikan pemegang Tauliah Mengajar mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang telah berkuatkuasa.
Pandangan Saya
Pertama: Saya mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
(Surah al-Taubah: 122)
Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47)
Kedua: Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kamu) kepada golongan ulil amri dari kalangan kamu.”
Surah al-Nisa’ (59)
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.
Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)
Ketiga: Pemerintah dan agama adalah dua elemen yang tidak akan terpisah dalam sesebuah negara. Ramai tokoh ulama’ sejak zaman dahulu hingga kini memperakukan hal ini. Antaranya:
Imam al-Ghazali berkata:
الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ
Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)
Imam al-Mawardi pula menyebut:
الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه
Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)
Imam al-Haramain al-Juwaini juga pernah berkata:
الإمَامَةُ رياسَةٌ تَامَّةٌ وزعامَةٌ تَتَعَلَّق بِالْخَاصَّةِ وَالعَامَّةِ فِي مهماتِ الدِّين وَالدُّنْيَا
Maksudnya: “Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.” (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam, hlm. 15)
Imam al-Nasafi berkata:
نِيَابَةٌ عَنِ الرَّسُولِ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي إِقَامَةِ الدِّيْنِ بِحَيْثُ يَجِبُ عَلَى كَافَّةِ الْأُمَمِ الاتِّبَاعُ
Maksudnya: “Pemerintah adalah pengganti rasul Alaihimussalam dalam menegakkan agama sekira-kira menjadi wajib atas semua umat dan pengikut.” (Lihat al-Aqaid al-Nasafiyyah, hlm.179)
Imam Al-Iji Rahimahullah berkata:
هِيَ خِلَافَةُ الرَّسُوْلِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي إِقَامَةِ الدِّيْنِ بِحَيْثُ يَجِبُ اتِّبَاعُهُ عَلَى كَافَّةِ الْأُمَّةِ
Maksudnya: “Pemerintah adalah pengganti Rasul SAW dalam menegakkan agama di mana ia adalah wajib diikutinya ke atas semua umat.” (Lihat al-Mawaqif, hlm. 395)
Ibn Khaldun berkata:
هِيَ حَمْل الْكَافَّةِ عَلَى مُقْتَضَى النَّظَرِ الشَّرْعِيِّ، فِي مَصَالِحِهِمُ الأُخْرَوِيَّةِ، وَالدُّنْيَوِيَّةِ الرَّاجِعَةِ إِلَيْهَا ، إِذْ أَحْوَالُ الدُّنْيَا تَرْجِعُ كُلُّهَا عِنْدَ الشَّارِعِ إِلَى اعْتِبَارِهَا بِمَصَالِحِ الآخِرَةِ، فَهِيَ فِي الْحَقِيْقَةِ خِلَافَةٌ عَنْ صَاحِبِ الشَّرْعِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا بِهِ
Maksudnya: “Ia adalah memikul ke semua urusan syarak dalam maslahat mereka dunia dan akhirat yang kembali kepadanya. Ini kerana segala urusan dunia semuanya di sisi syarak dilihat kepada maslahat akhirat. Maka ia pada hakikatnya adalah pengganti kepada pemilik syarak dalam mengawal agama dan bersiasah dengannya.” (Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 190)
Saidina Ali R.A bila melihat al-Hasan al-Basri mengajar di dalam masjid. Pengarang kitab al-Tanwir menyebut:
وَقَدِمَ عَلِي بنُ أَبِي طَالِب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ البَصْرَةَ فَدَخَلَ جَامِعَهَا فَوَجَدَ القَصَّاصَ يَقُصُّونَ فَأَقَامَهُمْ حَتَّى جَاءَ إِلَى الْحَسَنِ البَصْرِي رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ فَقَالَ: يَا فَتَى إِنِّي سَائِلُكَ عَنْ أَمْرٍ فَإِنْ أَجَبْتَنِي عَنْهُ أَبْقَيْتُهُ, وَإِلَّا أَقَمْتُكَ كَمَا أَقَمْتُ أَصْحَابَكَ – وَكَانَ قَدْ رَأَى عَلَيْهِ سَمْتًا وَهَدْيًا – فَقَالَ الْحَسَنُ : سَلْ عَمَّا شِئْتَ قَالَ: مَا مَلَاكُ الدِّيْنِ؟ قَالَ: الْوَرَعُ قَالَ: فَمَا فَسَادُ الدِّينِ؟ قَالَ: الطَّمَعُ. قَالَ: اجْلِسْ فَمِثْلُكَ مَنْ يَتَكَلَّمُ عَلَى النَّاسِ.
Maksudnya: ‘Ali bin Abi Talib R.A datang ke kota Basrah. Kemudian dia masuk ke dalam masjid Basrah dan mendapati para pencerita sedang bercerita. Beliau pun melarang para pencerita tersebut, hingga akhirnya dia bertemu dengan al-Hasan al-Basri R.A, dan kemudian dia berkata: “Wahai pemuda, sesungguhnya aku ingin bertanya tentang satu persoalan, jika engkau mampu menjawabnya maka aku akan membiarkanmu, jika tidak, maka aku akan melarangmu sebagaimana aku melarang teman-temanmu.” Al-Hasan al-Basri berkata: “Silakan tuan bertanya tentang apa yang tuan inginkan.” Saidina Ali bertanya: “Apa intisari dari agama?” Al-Hasan al-Basri menjawab: “Sikap wara’.” Saidina Ali terus bertanya: “Apa yang menjadi perosak kepada agama?” Al-Hasan al-Basri menjawab: “Sikap tamak.” Saidina Ali R.A pun berkata: “Duduklah untuk mengajar. Orang sepertimu yang sepatutnya berbicara kepada orang ramai!”
(Lihat al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, hlm. 103 dan al-Mukhtasar al-Munir fi Tadbir al-Rizq oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari, hlm. 74. Kisah ini juga terdapat dalam al-Mawahib al-Saniyyah Syarh Hizb al-Fath li al-Sadat al-Wafa’iyyah oleh Muhammad bin Taj al-Din al-Wasimi, hlm. 111; Siraj al-Talibin Syarh Minhaj al-‘Abidin ila Jannati Rabb al-‘Alamin, hlm. 112; Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 158; Muzakkirat fi Manazil al-Siddiqin wa al-Rabbaniyyin min Khilal al-Nusus wa Hikam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari oleh Sa’id Hawwa, hlm. 347; al-Lata’if al-Ilahiyyah fi Syarh Mukhtarat oleh Dr. ‘Asim Ibrahim, hlm. 86)
Kisah yang kedua adalah Syeikh Abu Hatim bin Khamush, seorang alim besar daripada Ray yang tugasnya memberikan tauliah kepada mana-mana pengajar agama di sana. Sesiapa yang tidak diizinkannya, tidak dibenarkan untuk mengajar agama. Hal ini dikisahkan oleh Abdullah al-Ansari al-Harawi (Lihat Al-Qadhi Abu Ya’la, Tabaqat al-Hanabilah, 1/44)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445