#2966: Perlekeh Ulama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon penjelasan, hari ini saya dapati ramainya yang tergamak memperlekeh ulama apa hukumnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَؤُا إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah SWT di antara hamba-hamba-Nya adalah ulama. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

(Surah Fatir: 28)

Al-Sobuni berkata: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah SWT adalah ulama. Ini kerana mereka mengetahui dan makrifahnya dengan sebenar-benar makrifah.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/285)

Ibn Kathir berkata: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut ialah para ulama yang arif dengan- Nya, kerana tatkala makrifah kepada yang Maha Agung lagi Perkasa lebih sempurna dan berilmu dengannya lebih lengkap, sudah pasti ketakutan baginya lebih besar dan banyak.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/543)

Seterusnya, kami definisikan terlebih dahulu makna dan maksud ulama:

Pada bahasa, definisi alim (عَالِمٌ) secara mufradnya atau ulama (عُلَمَاء) secara jamaknya merupakan isim fail atau pelaku serta pembuat, di mana ia diambil daripada perkataan ilmu yang bermaksud berlawanan dengan jahil atau yang mempunyai keilmuan serta kefahaman berkenaan ilmu atau maklumat.

Pada istilahnya pula, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

  • Seseorang yang dapat menghasilkan gambaran sesuatu yang sebenarnya dalam akalannya.
  • Adud Iji berkata: Seseorang yang mempunyai sifat dengannya dapat membezakan antara sebarang makna yang tidak mungkin berlaku pertentangan.
  • Sahib al-Kulliyat berkata: Wujudnya seseorang yang mempunyai idrak atau capaian maklumat sama ada pada hakikat uruf, istilah atau majaz.
  • Ibn Mas’ud berkata: Bukanlah ilmu dengan banyak meriwayatkan hadis, tetapi ilmu dengan takutkan Allah.
  • Sibawayh berkata: Tidak disebut perkataan ulama bagi sesiapa kecuali yang benar-benar alim.
  • Imam Syafie berkata: Bukanlah ilmu dengan petah berbicara, tetapi ilmu dengan perbuatan. Itulah hakikat seorang. (Lihat Gelaran Ulama, hlm. 2-3)

Sebahagian pendapat ulama tentang kematian ulama:

Daripada Abi Ja’far Rahimahullah berkata:

مَوْتُ عَالِمٍ أَحَبُّ إِلَى إِبْلِيسَ مِنْ مَوْتِ سَبْعِينَ عَابِدَا

Maksudnya: “Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat.”

Riwayat al-Baihaqi (4/344) dan Abu Nu’aim (3/183)

Pernah ditanya kepada Sa’id Bin Jubair: “Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: “Dengan kematian para ulama mereka.”

Daripada Nas dan kenyataan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa ilmu, hikmah dan juga para ulama mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru apabila berlaku kematian ulama, maka sebenarnya cacatlah dunia ini dan umat manusia dengan terpadamnya pelita atau obor yang menyuluh kehidupan mereka.

Seperkara yang perlu diingati, kematian para ulama biasanya akan dirasai oleh generasi dan kehilangannya begitu terasa sehingga membawa kepada sebutan dan nostalgia yang indah tatkala wujudnya ulama tersebut di kalangan masyarakat. Ini kerana mereka diibaratkan seperti bintang dilangit yang mana ramai yang boleh menjadikan mereka pedoman seperti kata Abu Muslim al-Khaulani.

Semoga para ulama diberkati Allah dan ilmu mereka terlebih dahulu dapat diambil dan dikutip dari mulut mereka oleh generasi selepasnya agar ilmu itu semakin berkembang. (Lihat Selamat Tinggal Ulama, hlm. 18-19)

Menjawab persoalan di atas, amat tidak wajar seseorang memaki, menghina dan mencela ulama kerana kedudukan mereka di sisi Allah SWT adalah amat baik dan mulia. Dengan sebab itu, sebuah hadith menyebut bahawa Abu Darda’ pernah bertanya kepada seorang: Apakah kamu tidak datang untuk berdagang atau hajat keperluan lain-lainnya, betul-betul kamu tidak datang kecuali untuk belajar hadis ini? Jawabnya: Benar-benar saya tidak datang kemari kecuali untuk belajar hadis ini, maka Abu Darda’ berkata: Saya mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الجَنَّةِ، وإنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطالِبِ الْعِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ، وَإِنَّ العَالِمَ يَسْتَغْفِرُ لَهُ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيْتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ. وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ القَمَر لَيْلَةَ البَدْر عَلَى سائر الْكَوَاكِب. وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِرْهَمَا وَلاَ دِيْنَارًا وإنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Siapa yang berjalan di jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan dari jalan-jalan syurga. Dan malaikat selalu menghamparkan sayapnya untuk menaungi orang yang menuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan. Dan orang alim itu diminta agar diampunkan oleh penduduk langit dan bumi dan ikan-ikan di dalam air, dan kelebihan seorang alim terhadap ahli ibadat sebagaimana kelebihan bulan purnama terhadap bintang-bintang yang lain. Dan ulama itu sebagai pewaris Nabi-nabi, dan Nabi-nabi itu tidak mewariskan harta perak atau emas, tetapi mereka mewariskan ilmu, maka siapa yang mendapatkannya bererti telah mendapat bahagian yang sebanyak-banyaknya.”

Riwayat al-Tirmizi (2682), Abu Daud (3641) dan Ibn Hibban (88)

Justeru, ulama yang menjadi pewaris nabi berada di kedudukan yang amat mulia. Maka, tidak sewajarnya kita menghina dan memperlekehkannya. Benar, mereka tidak maksum, tetapi kesungguhan mempelajari ilmu, mengajar dan mendidik ummah serta menyuruh perkara yang baik adalah sifat yang terpuji yang digalakkan oleh islam. Dengan sebab itu, Allah SWT mengangkat darjat mereka berdasarkan kepada nas yang telah disebutkan dalam banyak hal.

Sejarah membuktikan, penghina dan orang yang mencerca dan merendahkan para ulama berakibat dengan balasan yang buruk. Di mana Allah SWT mendatangkan bala kepadanya.

Daripada Ibn Asakir, katanya: “Ketahuilah hai saudaraku, semoga Allah taufikkan kami dan kamu untuk mendapat keredaannya dan menjadikan kami mereka yang takut dan bertaqwa kepadanya dengan sebenar-benar. Bahawa daging-daging ulama Rahimahumullah itu beracun dan adat Allah dalam menjatuhkan sitar atau kain dinding yang menghina mereka amat maklum. Ini kerana, mereka yang terbabit dalam menghina ulama sedangkan para ulama’ berlepas diri adalah perbuatan dan perkara yang amat besar. Sementelahan lagi menghina maruah mereka dengan ucapan dusta, tipu daya dan pembohongan mengakibatkan kesudahan yang amat dahsyat.” (Lihat Tabyin Kazib al-Muftari, hlm 29-30)

Akhir kalam, marilah kita beristighfar memohon kepada Allah SWT atas kelemahan kita dan munajat kepada-Nya:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445