Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah pendakwah menyampaikan ilmu dengan mengguna atau merujuk kitab atau buku yang mengandungi hadith-hadith palsu dan cerita khurafat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:
وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”
Riwayat al-Bukhari (110)
Berdasarkan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa ancaman yang cukup keras terhadap pendusta-pendusta terhadap hadith Nabi SAW. Untuk itu, dapat kita simpulkan bahawa hukum berdusta di atas nama Nabi SAW adalah haram secara jelas berdasarkan nas-nas di atas.
Tidak diketahui daripada kalangan sahabat Nabi SAW yang berdusta di atas nama Nabi SAW. Ini kerana, Rasulullah SAW merupakan insan yang mulia dan agung untuk didustakan di atas nama Baginda SAW. Telah diriwayatkan lebih daripada seratus orang sahabat Nabi SAW akan hadith yang menceritakan berkaitan ancaman terhadap orang yang berdusta ini dengan neraka sebagai nasihat (peringatan) buat umat ini (Nabi Muhammad SAW) dan juga menjauhkan mereka daripada berdusta di atas nama Rasulullah SAW.
Menurut ahli sejarah bermulanya pemalsuan hadith Nabi SAW adalah apabila berlakunya fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman bin Affan RA. Ini kerana, pada waktu itu masuklah golongan-golongan al-Ahwa’ (golongan yang mengikut hawa nafsu) apabila berlakunya perpecahan dan perselisihan yang membawa kepada pendustaan terhadap hadith Nabi SAW agar hadith yang didustakan itu bertepatan dengan tuntutan hawa nafsunya. (Lihat al-Wadha’ Fi al-Hadith al-Nabawi, 19-20)
Kedudukan hadith palsu adalah seburuk-buruk hadith dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama’ seperti:
Imam Ibn Salah (643 H) berkata:
اعْلَمْ أَنَّ الْحَدِيثَ الْمَوْضُوعَ شَرُّ الْأَحَادِيثِ الضَّعِيفَةِ
Maksudnya: “Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya hadith palsu adalah termasuk di dalam hadith-hadith dhaif yang paling buruk.” (Lihat al-Muqaddimah, 98)
Imam al-Nawawi (676 H) juga berkata:
الْمَوْضُوعُ: هُوَ الْمُخْتَلَقُ الْمَصْنُوعُ، وَشَرُّ الضَّعِيفِ
Maksudnya: “Hadith palsu adalah hadith yang direka atau dicipta dan ia adalah seburuk-buruk hadith dhaif.” (Lihat Tadrib al-Rawi, 1/323)
Hukum Meriwayatkan Hadith Palsu
Para ulama’ menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuthi (911 H) dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akan tetapi, hukum ini tidak terpakai kepada hadith dhaif kerana ia boleh diriwayatkan di dalam perkara fadhail apabila menepati syarat-syaratnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan kami sudah pun menjawabnya pada artikel yang lepas di bawah tajuk hadith dhaif.
Justeru, kami nasihatkan jangan ambil atau merujuk kitab mahu pun buku yang mengandungi hadith-hadith palsu dan cerita khurafat. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445