#2970: Cara Menarik Masyarakat Dalam Dakwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kebiasaannya program majlis ilmu akan dihadiri oleh orang yang sama. Jadi, bagaimana daya tarikan atau cara menarik mad’u yang lain?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.”

(Surah Al ‘Imran: 104)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan terdapat banyak uslub dan cara untuk menarik mad’u serta menambah bilangan mereka. Antaranya:

  • Adakan jamuan untuk mereka seboleh-bolehnya yang mereka suka seperti kambing bakar dan lain-lain.
  • Perlu adanya homework bagi pendakwah dengan memilih tajuk yang sesuai serta menarik minat mad’u. Dengan cara ini, sudah pasti akan menarik minat terutamanya tajuk yang benar-benar berlaku dalam realiti kehidupan mereka.
  • Buat kelainan dalam penyampaian dakwah, boleh jadi dengan cara menontonkan kepada mereka secara video agar mereka merasa sebuah perubahan.
  • Gunakan bahasa yang mudah difahami serta bersifat setempat, boleh jadi jika kita pergi ke kampung, kita menggunakan dialek dan bahasa tempatan yang dekat dengan kalam atau lisan mereka. Sebagai contoh, bahasa loghat Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Sabah, Sarawak agar mudah dihayati dan mengena pada hati mereka.
  • Bawakan kisah-kisah yang menarik, sama ada silam atau kisah yang benar-benar berlaku sebagai iktibar dalam hidup kita.
  • Menyampaikan dakwah dalam waktu yang pendek, ringkas, berfakta dan juga sampai kepada ufuk minda mereka. Ini sudah tentu banyak memberi kesan kepada mereka.
  • Sekali-sekala pendakwah hendaklah menziarahi rumah-rumah yang jarang ke masjid atau surau dan menyantuni mereka. Hal ini sudah tentu membekas dalam jiwa mereka terutamanya apabila mereka sakit atau memerlukan bantuan. Bahkan, ini akan menjadi turning point untuk mereka berubah.
  • Banyakkan berdoa untuk mereka kerana yang memberi taufik dan hidayah adalah Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 8)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445