#2971: Dakwah Kepada Non-Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara yang paling berkesan untuk berdakwah kepada non-Muslim?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik,”

(Surah Al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Dalam menyampaikan dakwah kepada non-Muslim, saya syorkan seperti berikut:

  • Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah yang terbaik. Kami telah nyatakan dalam buku kami Garis Masa Hayat Rasul SAW bagaimana Nabi SAW menyampaikan dakwah di kota Mekah dan Madinah dengan jayanya.
  • Pamerkan peribadi dan akhlak yang unggul kerana ia amat terkesan dalam kehidupan seseorang. Dengan sebab itu dikatakan, lisan al-hal lebih kuat daripada lisan al-maqal.
  • Bersikap jujur dan benarlah kepada mereka, ini kerana ia lebih menusuk kalbu sehingga memberi sebuah kesedaran kepada jiwanya.
  • Bersifat pemurahlah kepada mereka seperti memberi makan dan membantu apabila mereka memerlukan kerana kesannya akan dibalas dengan ingin memluk agama Islam atau mengikut pendakwah tersebut.
  • Elakkan perbahasan atau perdebatan tetapi berilah penerangan dan bersabarlah kerana kesannya cukup besar.

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ ‎﴿١﴾‏ قُمْ فَأَنذِرْ ‎﴿٢﴾‏ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ ‎﴿٣﴾‏ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ ‎﴿٤﴾‏ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ ‎﴿٥﴾‏ وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ ‎﴿٦﴾‏ وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ ‎

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

(Surah al-Muddathir: 1-7)

Pada hemat kami, nas ini menunjukkan betapa pendakwah amat memerlukan sifat dan sikap yang baik, tegas, berani, mengagungkan Allah SWT, meninggalkan sifat-sifat yang mazmumah di samping bersabar. Salah satu daripada ayat daripada perbahasan di atas ialah وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ yang memberi maksud “Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445