Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah wanita yang diceraikan dan masih dalam tempoh ‘iddahnya dipinang atau menzahirkan diri seolah-olah ingin dirinya dipinang semasa masih dalam tempoh ‘iddah tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu secara ringkas takrifan ‘iddah. ‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan. Manakala dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta‘abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61).
Seterusnya, secara umumnya, hukum meminang wanita yang masih dalam tempoh ‘iddahnya adalah berbeza-beza mengikut lafaz pinangan tersebut sama ada secara jelas atau berkias. Begitu juga hukumnya berbeza-beza mengikut keadaan wanita yang dalam ‘iddah tersebut sama ada disebabkan oleh talak raj‘i atau ba’in, atau fasakh atau kematian atau lain-lain.
Tambahan lagi, Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah al-Azhar juga ada menjelaskan mengenai hukum meminang wanita semasa tempoh ‘iddah, dan menegaskan bahawa seseorang lelaki tidak boleh melamar wanita semasa dia masih dalam tempoh ‘iddah. Ini kerana tempoh ‘iddah adalah bagi menyucikan kehidupan hubungan perkahwinan sebelumnya dan suatu penghormatan terhadap nilai ikatan hubungan yang suci. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Selain itu, ditegaskan juga bahawa tempoh ‘iddah adalah perkara ta‘abbudi yang wajib dipatuhi oleh wanita. Wanita hendaklah menjaga dirinya sepanjang tempoh ‘iddah bagi menyucikan dirinya daripada kesan-kesan perkahwinan sebelumnya.[1]
Dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu hendaklah dibezakan di antara pinangan yang jelas dan pinangan secara berkias.
Pinangan yang jelas
Berkenaan pinangan yang jelas kepada wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, para fuqaha bersepakat bahawa meminang wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah dengan pinangan yang jelas (tasrih) adalah haram, tidak kira wanita itu dalam ‘iddah disebabkan talak raj‘i atau ba’in, atau kematian suaminya atau fasakh atau lain-lain. Hal tersebut adalah berdasarkan kepada apa yang difahami menerusi firman Allah SWT:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ ۚ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَٰكِن لَّا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّا أَن تَقُولُوا قَوْلًا مَّعْرُوفًا ۚ وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنفُسِكُمْ فَاحْذَرُوهُ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ
Maksudnya: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis ‘iddah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.”
(Surah al-Baqarah: 235)
Hal ini kerana orang yang meminang apabila secara jelas menyatakan niatnya untuk meminang wanita itu, maka terbuktilah keinginannya dalam hal tersebut dan seolah-olah dia telah mendustakan ayat yang memerintahkan agar menunggu sehingga berakhirnya tempoh ‘iddah. Malah, Ibn ‘Atiyyah dan selainnya menukilkan ijma‘ mengenai perkara tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/191).
Pinangan secara berkias
Berkenaan pinangan secara berkias kepada wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, hukum pinangan secara berkias kepada wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah tidak sama. Akan tetapi ia berbeza-beza mengikut keadaan atau sebab ‘iddah tersebut sama ada kerana talak raj‘i atau ba’in, atau fasakh atau kematian suami.
Kami akan bahaskannya satu persatu secara ringkas sebagaimana berikut:
Pertamanya: Para fuqaha bersepakat bahawa haram untuk meminang secara berkias kepada wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah disebabkan oleh talak raj‘i. Hal ini kerana wanita tersebut masih dalam makna perkahwinan kerana dia masih boleh dikembalikan kepada hubungan perkahwinannya yang asal melalui proses merujuk semula (bi al-Raj‘ah). Maka dia menyerupai wanita yang masih dalam perkahwinan yang sah. Begitu juga kerana perkahwinan awalnya masih lagi sah (diambil kira).
Tambahan lagi, al-Imam al-Akbar Dr. Ahmad al-Tayyib, Syeikh al-Azhar, juga ada menyebutkan bahawa wanita yang dalam tempoh ‘iddah disebabkan talak raj‘i adalah haram untuk dipinang secara jelas mahupun berkias kerana perkahwinan masih lagi sah dan isteri yang masih dalam tempoh ‘iddah masih dalam perlindungan dan tanggungan suaminya, yang mana dia berhak untuk merujuknya pada bila-bila masa. Selain itu, terdapat kekhuatiran bahawa jika dibenarkan pinangan secara jelas atau berkias kepada wanita yang dalam sedang tempoh ‘iddah akan menimbulkan rasa takjub/minat kepada orang yang meminangnya.
Sehubungan dengan itu, dengan membenarkan hal ini juga akan menyebabkan hak suami yang sah menurut syarak dirampas, iaitu haknya untuk merujuk semula isterinya. Malah, ini mungkin akan mendorongnya untuk berbohong mengenai tempoh ‘iddahnya, dengan mengatakan: “Saya telah tamat tempoh ‘iddah saya,” dan dia mungkin akan mengaku bahawa tempoh ‘iddahnya telah berakhir, kerana dia adalah rujukan dalam perkara ini. Bahaya di sini adalah ketidakpastian mengenai penyucian rahim — daripada bekas/kesan suaminya pada perkahwinan yang lalu. Oleh itu, tidak dibenarkan untuk bertunang dengan wanita yang dalam tempoh ‘iddah, baik secara pinangan jelas atau pinangan berkias. Ini kerana dia mungkin ingin melepaskan diri daripada suaminya atau berkeinginan kepada orang yang meminangnya. Islam tidak membina institusi kekeluargaan atas keinginan atau nafsu semata-mata, lalu ia menyebabkan kehancuran rumah tangga dan anak-anak terbiar.[2]
Keduanya, para fuqaha juga bersepakat bahawa harus meminang secara berkias wanita yang masih dalam ‘iddah disebabkan kematian suaminya, supaya dapat difahami kehendak peminang secara berkias tersebut dan bukannya supaya dijawab (pinangan itu). Perkara tersebut adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah).”
(Surah al-Baqarah: 235)
Ayat di atas merujuk kepada ‘iddah wanita kerana kematian suaminya. Ini kerana Rasulullah SAW masuk menemui Ummu Salamah R.Anha dan ketika itu beliau seorang janda disebabkan kematian Abu Salamah R.A, lalu Baginda bersabda:
لَقَدْ عَلِمْتُ أَنِّي رَسُول اللَّهِ وَخِيرَتُهُ وَمَوْضِعِي مِنْ قَوْمِي
Maksudnya: “Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui bahawasanya aku ialah Rasulullah SAW, pilihan-Nya (daripada makhluk-Nya) dan kedudukanku dalam kalangan kaumku.”
Riwayat al-Daraqutni (3528)
Begitu juga kerana sudah terputusnya penguasaan suami ke atas isterinya — disebabkan kematiannya.
Ketiganya, berkenaan pinangan secara berkias kepada wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah disebabkan oleh talak ba’in. Para ulama berbeza pendapat mengenainya kepada dua pendapat: Pendapat pertama, ulama Malikiyyah, Syafi‘iyyah (mengikut pendapat yang azhar di sisi mereka) dan Hanabilah berpendapat bahawa diharuskan untuk meminang secara berkias terhadap wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah disebabkan talak ba’in berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah).”
(Surah al-Baqarah: 235)
Selain itu, hal ini juga berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Fatimah binti Qais R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya ketika suaminya menceraikannya dengan talak tiga:
إِذَا حَلَلْتِ فَآذِنِينِي
Maksudnya: “Jika kamu telah halal (selesai masa ‘iddah), maka beritahulah kepadaku.”
Riwayat Muslim (1480)
Dalam riwayat yang lain datang dengan lafaz:
لاَ تَسْبِقِينِي بِنَفْسِكِ
Maksudnya: “Janganlah kamu mendahuluiku dengan dirimu (iaitu tidak tergesa-gesa membuat keputusan dengan memberikan persetujuan perkahwinan sebelum memberitahu kepada Baginda).”
Riwayat Muslim (1480)
Dalam riwayat yang lain datang dengan lafaz:
لاَ تَفُوتِينَا بِنَفْسِكِ
Maksudnya: “Janganlah kamu mendahului kami (dalam memutuskan urusanmu).”
Riwayat Muslim (1480)
Ini adalah pinangan secara berkias ketika dalam tempoh ‘iddahnya dan begitu juga kerana sudah terputusnya penguasaan suami ke atas isterinya — untuk merujuk kembali disebabkan oleh talak ba’in tersebut.
Manakala pendapat kedua, ulama Hanafiyyah dan salah satu pendapat Syafi‘iyyah (iaitu pendapat yang berlawanan dengan pendapat yang azhar di sisi mereka) menyatakan, tidak dibolehkan untuk meminang secara berkias wanita yang dalam tempoh ‘iddah disebabkan talak ba’in bagi menghindarkan dirinya ke dalam permusuhan orang yang mentalakkannya (iaitu bekas suaminya). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/192-193)
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan pendapat kami berkenaan soalan yang diajukan sebagaimana berikut:
- Kami berpendapat bahawa haram untuk meminang dengan pinangan yang jelas terhadap wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya, tidak kira wanita itu dalam ‘iddah disebabkan talak raj‘i atau ba’in, atau kematian suaminya atau fasakh atau lain-lain.
- Begitu juga kami turut berpendapat bahawa haram untuk meminang dengan pinangan secara berkias terhadap wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh talak raj‘i. Manakala meminang wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh talak ba’in, kami berpendapat ia adalah dibolehkan.
- Selain itu, kami juga berpendapat bahawa diharuskan untuk meminang dengan pinangan secara berkias terhadap wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh kematian suaminya.
Sekalipun begitu, perbuatan meminang yang dihukumkan sebagai haram tidak semestinya memberi kesan kepada kesahan perkahwinan yang dilakukan jika ia memenuhi rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya seperti bukan ketika dalam ‘iddah dan lain-lain.
Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada semua, tidak kira lelaki mahupun perempuan, terutamanya wanita yang sedang menjalani tempoh ‘iddahnya agar sentiasa memelihara diri masing-masing dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan tohmahan kepada diri mereka sekali gus mencemarkan maruah dan imej sebagai seorang Muslim dan Muslimah. Ingatlah, sebelum melakukan sesuatu tindakan atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Begitu juga Umar R.A pernah berkata:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[3]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a’lam
[1] Lihat https://www.elbalad.news/4193165#. Diakses pada 30 Ogos 2023.
[2] Lihat https://www.elbalad.news/4193165#. Diakses pada 30 Ogos 2023.
[3] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445