Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mutawif mengambil hadiah yang diberikan oleh tokey pasar kurma? Hal ini kerana mutawif tersebut bawa jemaah membeli belah di pasar kurma di Madinah, sedangkan bawa jemaah tersebut di pasar kurma memang tugas mutawif dan aktiviti itu ada dalam tentatif program. Hadiah yang diberikan seperti duit. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab soalan di atas, kami melihat ia lebih dekat atau mirip kepada komisen[1] yang memakai kontrak ju‘alah. Seterusnya, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menjelaskan, kata nama itu merujuk kepada sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang kerana sesuatu yang dilakukan. Ia juga boleh disebut sebagai Ju‘lun (جُعْل) atau Ja‘ilah (جعيلة).
Manakala dari segi syarak, ju‘alah ialah mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui, oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali. Maksudnya kerja ini dilakukan oleh seseorang pekerja yang dikenali atau tidak dikenali. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/161).
Ju‘alah dibenarkan oleh syara‘. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
قَالُوا نَفْقِدُ صُوَاعَ الْمَلِكِ وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا بِهِ زَعِيمٌ
Maksudnya: “Orang-orang menteri menjawab: ‘Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu.’”
(Surah Yusuf: 72)
Menurut Ibn Jarir perkataan (صُوَاعَ) merujuk kepada alat menyukat makanan sebagaimana ditafsirkan oleh kebanyakan ahli tafsir. Seterusnya Ibn Jarir menjelaskan konteks ayat itu merujuk kepada sesiapa yang menjumpai alat menyukat, maka dia akan diberikan balasan makanan seberat unta. Perkara ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam kitab tafsirnya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 16/177).
Tambahan lagi, Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat, “وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ” menyatakan bahawa ia merujuk kepada bab al-Ju‘alah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/401)
Selain itu, pensyariatan Ju‘alah ini turut dinyatakan oleh hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:
انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ العَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ، فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الحَيِّ، فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَيْءٌ. فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ، فَأَتَوْهُمْ فَقَالُوا: يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ، إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ، وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ، فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْقِي، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضَيِّفُونَا، فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلًا. فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الغَنَمِ. فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ، وَيَقْرَأُ: {الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ}، فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ، فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ. قَالَ: فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: اقْسِمُوا. فَقَالَ الَّذِي رَقَى: لاَ تَفْعَلُوا، حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ، فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا. فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ، فَقَالَ: وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟ ثُمَّ قَالَ: قَدْ أَصَبْتُمْ، اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا. فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya: “Sekelompok sahabat Nabi SAW berangkat dalam suatu perjalanan sehinggalah mereka singgah di salah satu perkampungan Arab, lalu mereka meminta untuk menjadi tetamu, namun penduduk kampung itu enggan menjadikan mereka tetamu. Setelah itu, pemimpin kampung itu digigit oleh binatang berbisa. Mereka berusaha dengan segala upaya (untuk menyembuhkannya), tetapi tidak berhasil. Sebahagian mereka berkata: ‘Bagaimana kalau kamu mendatangi rombongan yang singgah di tempat kita, barangkali ada salah seorang di antara mereka yang dapat menolong.’ Maka mereka pergi kepada mereka dan berkata: ‘Wahai ahli rombongan, sesungguhnya pemimpin kami disengat binatang berbisa, dan kami telah berusaha dengan segala upaya (untuk merawatnya, tetapi tidak berhasil. Maka adakah ada salah seorang di antara kamu yang dapat menolong?’ Maka mereka berkata: ‘Ya, demi Allah, sesungguhnya aku boleh merawatnya (meruqyah), akan tetapi demi Allah kami telah meminta untuk dijadikan tetamu namun kamu tidak mahu menjadikan kami tetamu, maka aku tidak akan merawatnya untuk kamu sehinggalah kamu meletakkan upah (sagu hati) bagi kami.’ Maka penduduk di tempat itu sepakat dengan mereka untuk memberikan sejumlah kambing. Maka sahabat tersebut berangkat (untuk mengubatinya) dan menyemburkan sedikit ludah (kepada pemimpin kampung yang sakit itu) lalu membaca: “الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِين” (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam) [Surah al-Fatihah: 1]. Setelah itu, seakan-akan pemimpin itu terlepas daripada ikatan, dia bangkit dan berjalan tanpa rasa sakit.” Dia berkata: “Maka mereka (penduduk di tempat itu) memberikan upah (sagu hati) mereka yang telah disepakati. Sebahagian sahabat berkata: ‘Bahagikanlah.’ Lalu orang yang mengubati itu berkata: ‘Jangan kamu lakukan sehingga kita pergi kepada Nabi SAW, lalu kita menceritakan kepadanya apa yang terjadi dan kita menunggu apa yang Baginda perintahkan kepada kita.’ Maka mereka datang kepada Rasulullah SAW dan menceritakan kejadian itu kepada Baginda. Lalu Baginda bersabda: ‘Apakah yang membuatkan engkau tahu bahawa itu adalah ruqyah?’ Kemudian Baginda bersabda: ‘Kamu benar, bahagikanlah (di antara kamu) dan berilah kepada aku sebahagian.’ Lantas Rasulullah SAW pun tertawa.”
Riwayat al-Bukhari (2276) dan Muslim (2201)
Sabda Baginda SAW ini merupakan suatu perakuan kepada perbuatan para sahabat dan menjadi dalil yang mengesahkan ju‘alah (الجُعْل). Perkataan “جُعْلًا” dalam hadith di atas adalah suatu pemberian kerana sesuatu yang dilakukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/162).
Rukun-rukun Ju‘alah
Terdapat empat rukun bagi Ju‘alah iaitu kerja, bayaran sagu hati, sighah dan pihak yang berkontrak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu‘ wa al-Fara’idh, hlm. 148).
Seterusnya, pengarang al-Fiqh al-Manhaji ada menjelaskan lebih lanjut berkenaan rukun-rukunnya sebagaimana disebutkan bahawa pihak yang berkontrak terdiri daripada dua pihak iaitu:
- Pemberi sagu hati (الجَاعِلُ) iaitu pemilik kerja yang akan memberikan sagu hati dan disyaratkan mestilah dia seorang mukallaf iaitu baligh, berakal dan waras.
- Pekerja (العَامِلُ) iaitu orang yang melakukan kerja tersebut dan berhak mendapat bayaran sagu hati dan tidak disyaratkan mesti orang yang telah ditentukan. Contohnya, pengupah berkata: “Sesiapa yang kembalikan kereta aku, dia akan memperolehi sagu hati ini.” Ini kerana pemberi sagu hati mungkin mempunyai kerja yang perlu diselesaikan tetapi dia tidak tahu siapa yang boleh melakukannya. Maka dengan cara ini dia boleh memberikan sagu hati dengan jumlah tertentu untuk orang yang bersedia melakukan kerja tersebut, walaupun dia tidak mengenali orang tersebut.
Kemudian sighah pula ialah lafaz yang digunakan bagi merujuk kepada kebenaran untuk melakukan sesuatu kerja dengan bayaran yang wajib. Contohnya pemberi sagu hati berkata: “Sesiapa yang memulangkan kereta aku kepadaku, dia akan memperolehi bayaran sagu hati ini,” ataupun dia berkata kepada seorang doktor: “Jika kamu dapat merawat penyakit aku sehingga sembuh, kamu akan memperolehi bayaran sagu hati ini,” ataupun dia berkata kepada seorang guru: “Jika kamu dapat mengajar anak aku membaca dan menulis, kamu akan memperolehi bayaran sagu hati ini,” dan begitulah seterusnya. Selain itu, tidak disyaratkan persetujuan orang yang melakukan kerja tersebut, walaupun orang tersebut telah ditentukan. Ini kerana kerja ini boleh dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Apa yang penting ialah kerja tersebut.
Kemudian ‘kerja’ pula adalah merujuk kepada tugasan yang ditetapkan oleh pemilik bagi membolehkan seseorang itu memperolehi bayaran sagu hati. Contohnya, memulangkan barangan yang hilang atau mengajar kanak-kanak atau merawat penyakit atau sebagainya. Dalam kontrak ini, kerja yang dilakukan tidak disyaratkan diketahui secara terperinci seperti yang dikehendaki dalam kes khidmat (manfaat) bagi kontrak sewa. Seperti yang kita fahami, dalam kontrak sewa, khidmat perlu diperincikan mengikut kerja atau masa. Ini bermakna, kontrak Ju‘alah dibenarkan walaupun tabiat kerja tidak diketahui. Maksudnya, kerja tersebut tidak dinilai mengikut kerja atau masa.
Hal ini kerana berkemungkinan usaha untuk mencari barang yang hilang atau mengajar kanak-kanak itu memakan masa yang lama dan mungkin juga singkat. Mungkin juga ia membabitkan ramai orang dan mungkin tidak. Semua keadaan ini menyebabkan kerja ini tidak dapat dipastikan, walau bagaimanapun ini masih dibenarkan kerana kerja ini diperlukan.
Kemudian rukun yang terakhir ialah bayaran sagu hati iaitu bayaran yang wajib dibayar oleh pemilik kerja kepada pekerja. Bayaran ini disyaratkan mestilah berupa kadar yang dimaklumi kerana ia dikategorikan sebagai kontrak pertukaran. Pembayaran yang tidak ditetapkan kadarnya tidak dibenarkan dalam kontrak ini. Jika kadar bayaran sagu hati tidak ditetapkan, kontrak tersebut adalah tidak sah. Dalam kes ini (iaitu bayaran sagu hati tidak ditetapkan), jika kerja telah dilakukan oleh seseorang, maka dia berhak mendapat bayaran sagu hati yang sepadan. Ini kerana setiap kontrak yang diwajibkan kadar yang tetap dan tertentu untuk menjadikannya sah, ia juga wajib dibayar mengikut kadar sepadan ketika kontrak tersebut tidak sah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/162-163).
Selain itu, akad Ju‘alah ini juga merupakan akad yang tidak lazim kerana ia merupakan akad di mana pekerjaannya tidak diketahui dengan pertukaran (upah). Oleh itu, ia tidak lazim. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-‘Imrani. (Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 7/412).
Dalam erti kata lain, kontrak ini merupakan akad yang tidak lazim kerana ia kontrak yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak membatalkannya tanpa sebarang persetujuan bersama (iaitu pihak yang satu lagi) seperti kontrak wakalah, berbeza halnya dengan akad sewa yang merupakan akad lazim, di mana ia adalah kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak yang memeterai kontak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak sewa dan jual beli. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Syairazi dalam kitabnya bahawa diharuskan bagi setiap pihak membatalkan akad kerana ia merupakan akad yang tidak diketahui pekerjaannya dengan pertukaran upah maka dibolehkan bagi setiap pihak membatalkan akadnya seperti akad mudharabah.
Meskipun begitu, pembatalan akad mestilah dibuat sebelum pekerjaan yang dipersetujui bersama dilaksanakan. Jika pekerjaan itu telah selesai dan pengupah membatalkan akad maka pembuat kerja mesti dibayar sesuai dengan kerja yang dilakukan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 2/273).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan diharuskan seseorang itu menerima upah/komisen/sagu hati daripada apa-apa pekerjaan yang dilakukannya seperti membawa pelanggan ke kedai-kedai tertentu. Hal ini kerana ia termasuk dalam konsep/akad Ju‘alah dan ia adalah dibenarkan oleh syarak berdasarkan kepada syarat-syaratnya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, komisen ialah sejumlah (peratusan) bayaran yang dibayar kepada seseorang, ejen, jurujual, dan sebagainya kerana perkhidmatannya. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=komisen. Diakses pada 30 Ogos 2023).
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445