#2977: Makmum Ruku’ Kerana Tidak Mengetahui Imam Melakukan Sujud Tilawah Dalam Solat

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Apa perlu saya lakukan apabila imam sujud sajdah manakala saya rukuk seperti biasa? Saya dan makmum lain tidak mengetahui ayat sajdah tersebut dan tidak pula dapat melihat perbuatan imam. Kesalahan hanya disedari apabila imam meneruskan bacaan selepas bangun dari sujudnya. جزاك اللهُ خيرا

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sujud tilawah atau sujud sajadah adalah merupakan sujud yang yang dilakukan ketika seseorang itu membaca atau mendengar ayat sajadah. (Lihat Sujud Tilawah Wa Ahkamuhu, hlm. 17; al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 112)

Sujud tilawah membawa definisi yang sama dengan sujud sajadah. Akan tetapi perbezaan antara keduanya adalah sujud sajadah dilakukan di dalam sembahyang, manakala sujud tilawah dilakukan di luar solat.

Amalan ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ، حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka baginda bersujud dan kami turut bersujud bersamanya sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud.”

Riwayat Muslim (575)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan situasi ini berlaku di luar solat yang mana thabitnya sujud tilawah dan ia telah disepakati oleh para ulama’ dan juga di sisi kami serta jumhur ulama’ bahawa ia disunatkan dan bukannya wajib. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/74)

Terdapat beberapa tempat dalam al-Quran diperintahkan kita untuk sujud tilawah atau jika dalam solat disebut sebagai sujud sajadah. Antaranya:

  • Surah al-A’raf ayat 206
  • Surah al-Ra’d, ayat 15
  • Surah al-Nahl, ayat 49-50
  • Surah al-Isra’, ayat 109
  • Surah Maryam, ayat 58
  • Surah al-Hajj, ayat 18
  • Surah al-Hajj, ayat 77
  • Surah al-Furqan, ayat 60
  • Surah al-Naml, ayat 25-26
  • Surah al-Sajdah, ayat 15
  • Surah Fussilat, ayat 38
  • Surah al-Najm, ayat 62
  • Surah al-Insyiqaq, ayat 21
  • Surah al-’Alaq, ayat 19

Manakala dalam sujud sajadah ketika bacaan surah al-Sajadah pada solat subuh hari jumaat adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةُ وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ

Maksudnya: “Biasanya Nabi SAW membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat, “الم تَنْزِيلُ” (iaitu Surah  al-Sajdah) dan “هَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ” (iaitu Surah  al-Insan).”

Riwayat al-Bukhari (1068)

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Pada hadith ini menunjukkan sunat membaca dua surah ini di dalam solat subuh pada hari tersebut (Jumaat). Ini kerana, daripada bentuk hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melaziminya atau banyak melakukannya.” (Lihat Fath al-Bari, 2/378)

Makmum Ruku’ Kerana Tidak Mengetahui Imam Melakukan Sujud Tilawah Dalam Solat

Sujud Tilawah adalah sunat bagi orang yang membaca ayat al-Quran yang mengandungi perkataan Sajdah sama ada semasa di dalam solat atau di luarnya. Begitu juga bagi orang yang mendengarnya semasa di luar solat.

Namun begitu, dalam situasi imam melakukan sujud tilawah, tetapi makmum menyangka bahawa imam sedang ruku’, lalu dia melakukan ruku’, maka ia terbahagi kepada dua situasi:

Situasi Pertama: Ketika makmum ruku’, makmum menyedari bahawa imam sedang sujud. Dalam keadaan ini, wajib bagi makmum untuk melakukan sujud mengikut imam.

Situasi Kedua: Makmum tidak menyedari bahawa imam telah sujud sehingga imam bangun daripada sujud. Maka dalam situasi ini, makmum perlu berdiri dan terus mengikuti imam sehingga selesai solat. Hal ini kerana sujud tilawah bukanlah rukun dalam solat.

Syeikh Abd al-Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan hal ini, beliau menjawab: “Bagi orang yang melakukan ruku’ ketika imam sedang sujud tilawah, dan dia tidak menyedarinya melainkan setelah imam bangun daripada sujud, maka dia perlu terus mengikuti imam sehingga solat dan tidak ada masalah padanya disebabkan dia tidak mengetahui tindakan imam tersebut. Begitu juga jika imam melakukan ruku’ dan makmum menyangka imam sedang sujud tilawah, maka makmum tersebut mesti kembali berdiri dan kembali melakukan ruku’, bangun dan terus mengikuti imam dalam sehingga selesai solat tanpa ada masalah padanya. Hal ini kerana dia tidak sengaja untuk menyelisihi imam dalam hal ini dan tidak mengetahui situasi yang sebenarnya. Semoga Allah memberi petunjuk.” (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalat al-Syeikh Ibn Baz, 30/169).

Sekiranya seseorang makmum melakukan sujud sahwi selepas imam menyelesaikan solat, maka ia merupakan tindakan yang tidak disyariatkan, namun, solatnya masih sah kerana dia tidak mengetahui hukumnya. Sekiranya seseorang menggantikan sujud tilawah selepas solat selesai, maka terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama dan pendapat yang lebih kukuh dalam hal ini adalah bahawa ia tidak disyariatkan kerana ia merupakan sunnah yang sudah terlewat dan tempatnya sudah berlalu.

Imam al-Nawawi berkata: Jika seseorang sedang solat dan seorang qari membaca ayat sujud, jika dia telah menyelesaikan solatnya, adakah dia perlu menggantikan sujud tilawah? Pendapat majoriti ialah dia tidak perlu menggantikannya, dan pendapat ini disokong oleh al-Syasyi dan yang lain. Imam al-Haramain memilih pendapat ini kerana bacaan qari yang bukan imamnya tidak memerlukan sujud tilawah, dan jika kita tidak melaksanakan tindakan yang memerlukan sujud, maka sujud tilawah tidak diwajibkan, dan jika tindakan tersebut tidak dijalankan, maka menggantikannya agak jauh dan terlewat. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/323)

Ibn Qudamah memilih bahawa sujud tilawah tidak perlu digantikan atau diqadha’kan jika terlewat. Katanya: “Jika seseorang membaca ayat sujud tilawah dalam solat dan dia tidak sujud, maka dia tidak perlu melakukan sujud selepas solat. (Lihat al-Mughni, 2/359)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa dalam masalah ini, ketika makmum ruku’ dan setelah itu menyedari bahawa imam sedang sujud, maka wajib bagi makmum untuk melakukan sujud mengikut imam. Namun, jika makmum tidak menyedari bahawa imam telah sujud sehingga imam bangun daripada sujud, maka, makmum perlu berdiri dan terus mengikuti imam sehingga selesai solat. Hal ini kerana sujud tilawah bukanlah rukun dalam solat.

Selain itu, perkara seperti ini bukan sahaja berlaku di tempat kita, tetapi ia juga berlaku di Masjid al-Haram dan Masjid Nabi SAW. Pernah sekali ketika kami solat di Masjid al-Jami’ah al-Islamiyyah di Madinah al-Munawwarah yang mana imam membaca surah yang terdapat ayat sajadah, lantas imam ruku’ kemudian bangkit daripada rukuk sedangkan makmum yang memahaminya terus sujud sajadah. Apabila hal ini berlaku, maka menjadi perbincanganlah di kalangan para pelajar dan guru. Lantas, seorang syeikh bernama Syeikh Ghunaiman telah memberi pandangan sehingga melegakan semua pihak.

Justeru, kami katakan dalam isu di atas amat perlu bagi makmum keseluruhannya mempelajari al-Quran dan mengenali ayat-ayat sajadah agar dapat mengikuti pergerakan imam sama ada dia sujud sajadah atau dia hanya rukuk sahaja. Kami katakan, jika terjadi seperti persoalan yang ditanya, maka selepas daripada imam bangkit daripada sujud sajadah dengan takbir, sedangkan makmum bangkit daripada ruku’, teruskan mengikut seperti biasa. Kerana perbuatan ini adalah tersilap atau tersalah. Apabila imam rukuk, maka rukuklah dan ikutlah imam sehingga selesai salam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445