Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terdengar ada orang tafsir surah al-Zukhruf ayat 84 menunjukkan bahawa lafaz Ilah atau tuhan didatangkan dengan nakirah di mana kaedah menyebut 2 nakirah pada satu ayat dua subjek atau orang yang berlainan, benarkah begitu?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَهُوَ ٱلَّذِى فِى ٱلسَّمَآءِ إِلَـٰهٌۭ وَفِى ٱلْأَرْضِ إِلَـٰهٌۭ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dia ialah Tuhan yang disembah di langit dan Dia adalah Tuhan yang disembah di bumi. Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Zukhruf: 84)
Dia adalah Tuhan yang disembah oleh makhluk di langit dan Tuhan yang disembah oleh sekalian makhluk di bumi, semuanya tunduk dan merendahkan diri di hadapan-Nya dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Dialah juga yang menciptakan, yang memiliki dan yang mengatur keduanya tanpa ada yang menyaingi dan menentang-Nya. Maka Maha Suci Allah SWT daripada segala kekurangan dan yang tidak layak bagi-Nya. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa sudah merupakan suatu ketetapan bagi-Nya bersih daripada semua kecelaan dan sifat kekurangan kerana Dia-lah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, Yang memiliki segala sesuatu dan semua urusan di bawah penguasaan-Nya. Begitu juga, pengetahuan tentang hari kiamat tiada sesiapa mengetahui akan waktunya kecuali Allah SWT. Maka Dia akan memberikan pembalasan kepada setiap orang sesuai dengan amal perbuatannya. Jika amalannya baik, maka balasannya juga akan baik dan jika amalannya buruk, maka balasannya juga adalah buruk. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/190; al-Misbah al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibnu Kathir, hlm. 1252)
Seterusnya Allah SWT menjelaskan pula bahawa berhala-berhala dan sekutu-sekutu yang menjadi sembahan mereka tidak mampu memberikan syafaat kepada mereka yang menyembahnya, tetapi orang yang dapat memberi syafaat ialah orang yang mengakui akan perkara yang hak iaitu mentauhidkan Allah SWT dan meyakininya dengan penuh kesedaran dan berpengetahuan, maka syafaat yang diberikan itu dapat memberi manfaat kepadanya dengan izin daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/191; al-Tafsir al-Munir, 25/197)
Seandainya ditanyakan kepada mereka yang mempersekutukan Allah SWT, dengan menyembah juga selain-Nya: “Siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab, “Allah SWT.” Mereka mengakui bahawa Dia-lah Allah SWT Yang menciptakan segala sesuatu keseluruhannya, hanya Dia semata-mata tiada sekutu bagi-Nya dalam hal ini. Tetapi sekalipun dengan pengakuan ini, mereka masih tetap menyembah selain-Nya, iaitu menyembah makhluk yang tidak memiliki sesuatu apa pun dan tidak mampu berbuat apa pun. Dengan demikian, bererti mereka dengan perbuatannya itu adalah termasuk dalam kalangan orang yang sangat bodoh, bebal dan sangat lemah akalnya kerana bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah SWT sesudah mengetahui semua kebenaran tersebut? (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/191; Tafsir al-Tabari, 21/656.)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, memang benar apabila nakirah ada dua pada satu ayat, maka, kedua-duanya memberi makna subjek dan orang yang berlainan. Berlainan pula jika sekiranya, jika dua makrifah ia memberi maksud subjek dan orang yang sama. Inilah yang disebut oleh ulama lughah atau bahasa. Justeru, dalam hal ini, sekali pandang seolah-olah ia menepati dengan dua tuhan kerana kalimah Ilah إِلَـٰهٌۭ memberi maksud nakirah. Firman Allah SWT:
وَهُوَ ٱلَّذِى فِى ٱلسَّمَآءِ إِلَـٰهٌۭ وَفِى ٱلْأَرْضِ إِلَـٰهٌۭ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dia ialah Tuhan yang disembah di langit dan Dia adalah Tuhan yang disembah di bumi. Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Zukhruf: 84)
Dalam ayat ini, disebut dua kali إِلَـٰهٌۭ iaitu:
- فِى ٱلسَّمَآءِ إِلَـٰهٌۭ
- فِى ٱلْأَرْضِ إِلَـٰهٌۭ
Syeikh al-Sya’rawi berkata: “Aku telah pergi ke Masjid al-Ahmadi di Tanta yang ketika itu Syeikhul Azhar ialah ‘Allamah Syeikh Mahmud Syaltut dan persoalannya ini aku bertanya kepadanya. Kami membincangkan hampir setengah jam dan buntu untuk mendapatkan jawapan. Memikirkan berkenaan ayat tersebut dan kaedah nahu serta bahasa Arab yang seolah-olah menunjukkan Tuhan itu ada dua. Tiba- tiba, masuk seorang lelaki tua yang berjubah dan nampak biasa di samping bertongkat. Kemudian, menggunakan bahasa lahjah ammiyah Mesir, seraya berkata, “Hai ulama-ulama, jangan kamu lupa ism mausul kemudian berlalu pergi. Selepas itu, kami berfikir dan menekuni semula. Akhirnay, kami mendapat satu jawapan. إِلَـٰهٌۭ pada ayat tersebut sekali pun nakirah tetapi di hadapannya terdapat ism mausul iaitu وَهُوَ ٱلَّذِى di mana ia menjadi silah kepada إِلَـٰهٌۭ . Sebagaimana yang diketahui, ism mausul adalah makrifah maka, terlerailah kami dan fahamlah kami. Demi Allah, kami tidak tahu siapakah dia orang tua tersebut, tetapi hanya datang menyelesaikan masalah kami dalam memahami ayat 84 surah al-Zukhruf ini.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445