#2979: Ganti Puasa Dan Membayar Fidyah; Yang Mana Perlu Didahulukan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri saya ingin bertanya, yang manakah yang harus diutamakan dahulu, ganti puasa atau bayar fidyah terlebih dahulu? Terima kasih

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Fidyah

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Dalil Pensyariatan Fidyah

Firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ani,14/212)

Hadith daripada Abdullah bin Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadhan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (718) dan Ibnu Majah (1757)

Sebab-Sebab Dikenakan Fidyah

  • Uzur menunaikan puasa wajib

Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

  • Perempuan hamil

Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

  • Ibu yang menyusukan Anak

Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

  • Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

  • Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan

Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

  • Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan

Menjawab bagi persoalan di atas, jika seseorang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan, dia hendaklah menggantinya sebelum bulan Ramadhan tahun berikutnya tiba. Jika sudah masuk bulan Ramadhan yang berikutnya dan dia masih belum sempat mengqadha puasa yang tertinggal, maka dia perlu membayar fidyah dan juga mengqadha puasa yang telah ditinggalkan  tersebut.  Hal ini berdasarkan hadith Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصِّيَامُ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَمَا أَقْضِيَهُ حَتَّى يَجِيْءَ شَعْبَانُ

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadhan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba”

Riwayat al-Nasa’ie (2319) dan Ibn Majah (1669)

Hadith ini menunjukkan perlunya qadha’ puasa ramadhan sebelum tiba Ramadan seterusnya. Sekiranya dilambatkan puasa qadha’ tanpa keuzuran sehingga bertemu ramadhan seterusnya, maka para ulama’ daripada mazhab syafie menyatakan bahawa wajib menqadha’kan puasa dan membayar fidyah. Pandangan ini disokong oleh Ibnu Umar, Abu hurairah, Mujahid, al-Thauri, Imam Malik, al-Auzaie dan Ishak. Hal ini kerana tindakannya mengambil ringan dalam melakukan perkara wajib, sedangkan dia berkemampuan untuk melakukannya. ( Lihat al-Mughni, 3/153)

Dalam isu ini kami berpandangan bahawa menggantikan puasa lebih baik didahulukan daripada membayar fidyah. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan  daripada  Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.

Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

Hadith ini menunjukkan bahawa waris dituntut untuk menggantikan puasa bagi pihak si mati. Difahami juga berdasarkan hadith ini  menggantikan puasa itu lebih baik didahului  daripada  membayar fidyah.

Imam al-Nawawi menyatakan: Sesiapa yang melewatkan ganti puasa dalam keadaan dia mampu sehingga masuknya Ramadhan seterusnya maka wajib ke atasnya menggantikan puasa tersebut bersama-sama dengan membayar fidyah. (Lihat Minhaj al-Tolibin,hlm.78)

Justeru kami katakan di sini menggantikan puasa hendaklah diutamakan berbanding membayar fidyah. Namun sekiranya ia dilaksanakan secara serentak, itulah yang terbaik. Kami nasihati juga bagi sesiapa yang mempunyai puasa ganti, gantilah puasa tersebut dengan segera supaya tidak dikenakan fidyah.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445