#2980: Hukum Menampal Ayat al-Quran atau Zikir di Cermin Kereta

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menampal ayat al-Quran atau zikir di cermin kereta?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, para ulama’ bersepakat meletakkan hukum haram pada perbuatan menggantung ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah zikir, atau kalimah Allah SWT dan Muhammad SAW di dalam rumah ataupun di kedai-kedai dan selainnya dengan tujuan menolak bala atau melariskan perniagaan atau dengan kepercayaan ia berfungsi sebagai tangkal atau penarik orang ramai dan sebagainya. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung)”.

Riwayat al-Tirmizi (2072)

Al-Mulla ‘Ali Al-Qari menukilkan daripada Ibn al-Athir, katanya: Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tangkal, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2882)

Hukum Menampal Ayat al-Quran Pada Kenderaan

Pada asasnya, tidak arahan dan juga larangan yang khusus berkenaan perkara ini, namun sekiranya seseorang ingin melekatkan ayat al-Quran atau pelekat berunsur agama seperti zikir-zikir hendaklah dengan niat yang betul seperti dengan tujuan niat berdakwah atau berkongsi perkara yang baik, dan bukannya sebagai tangkal atau seumpamanya. Hal ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah daripada aku walau pun hanya satu ayat.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

Namun begitu, sekiranya niat menampal ayat al-Quran dengan tujuan yang tidak baik seperti untuk menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan perasaan riya’ ataupun dengan tujuan sebagai tangkal, maka ia tidak bolehkan dan dilarang dalam Islam.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya soalan berkenaan terdapat dalam kalangan orang yang menggantung ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW di dalam bilik-bilik rumah mereka, restoran atau pejabat-pejabat, adakah ini dianggap menggunakan tangkal dan azimat yang diharamkan oleh syara’, tahu akan niat disebaliknya ialah memohon berkat dan menghalau syaitan, atau mengingatkan seseorang yang pelupa dan memberi amaran kepada yang lalai? Adakah ini menyerupai penggunaan tangkal dan azimat meletakkan al-Quran di dalam kereta bagi mendapat keberkatan?” Beliau menjawab: “Jika niatnya sebagaimana yang dinyatakan iaitu memperingatkan orang atau mengajar sesuatu yang bermanfaat, maka itu tidaklah salah. Akan tetapi jika dia percaya bahawa ia (al-Quran) boleh melindungi seseorang daripada syaitan atau jin, maka aku tidak tahu akan asal perbuatan tersebut. Begitu juga didalam keadaan yang sama, tidak ada asasnya meletakkan Mushaf al-Quran di dalam kereta seseorang bagi tujuan melindunginya, dan perbuatan tersebut tidak dibenarkan. Tetapi jika seseorang itu meletakkan di dalam kereta agar dia boleh membacanya kadangkala atau ada dikalangan penumpangnya boleh membacanya, maka ini sesuatu perbuatan yang baik, dan tidak ada salah melakukannya” (Lihat Fatawa Islamiyyah, 4/29)

Justeru, dalam hal ini, kami menasihati bagi sesiapa yang meletakkan pelekat ayat al-Quran atau yang berunsur agama seperti kalimah zikir pada kenderaan dengan mengikuti panduan seperti berikut:

  • Sekiranya pelekat yang berupa ayat Quran atau hadith atau yang berbahasa arab, adalah lebih baik diletakkan sekali terjemahannya kerana ia lebih mencapai kepada maksud dakwah dan tujuan pelekat itu diletakkan.
  • Letakkan ayat Quran atau hadith di tempat yang kelihatan mulia pada bahagian kenderaan kerana memuliakan Quran dan hadith-hadith Nabi itu adalah disuruh oleh syarak.
  • Tidak meletakkan perkataan-perkataan yang menghina agama lain kerana ia ditegah dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT:

وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu semua memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah. Takut nanti mereka akan memaki pula akan Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”

(Surah al-An’am: 108)

  • Tidak terlalu banyak sehingga boleh menggangu penglihatan pemilik kenderaan. Ini jelas akan membawa kemudharatan. Kaedah menyebutkan:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”

  • Jangan meletakkan ayat-ayat al-Quran berada pada tempat yang rendah sehingga dibimbangi apabila kotor debu atau sebarang najis boleh mengena kepada tulisan tersebut. Hal ini amatlah tidak wajar.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa menampalkan ayat-ayat al-Quran atau kalimah zikir dengan tujuan memberi peringatan atau dengan tujuan dakwah adalah tidak menjadi masalah jika dilakukan dengan sopan, seperti melekatkannya pada cermin kereta atau seumpamanya.

Namun, sekiranya perbuatan menampal ayat-ayat al-Quran pada cermin kereta dengan tujuan sebagai tangkal dan pelindung, atau pun mempunyai risiko untuk ayat-ayat tersebut dipandang rendah, terdedah kepada kemungkinan rosak, atau penyebab kepada kurangnya penghormatan terhadap keagungan ayat-ayat al-Quran, maka ia tidak dibolehkan dan diharamkan jika sekiranya ia digunakan sebagai tangkal dan pelindung kerana ia jelas merupakan perbuatan yang membawa kepada syirik. Oleh itu, dalam hal ini adalah lebih baik menghadkan tampalan tersebut kepada beberapa zikir atau nasihat yang bermanfaat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445