#2981: Guna Umpan Hidup untuk Mengail Ikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan menggunakan umpan hidup yang terdiri daripada serangga seperti cengkerik atau seumpamanya, atau daripada cacing, ulat dan seumpamanya ketika memancing atau mengail ikan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl: 90)

Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447).

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah: 128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

(Surah al-Ma’idah: 13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123),

Begitu juga, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan dengan tujuan bagi mendapat manfaat daripadanya seperti untuk memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Riwayat al-Nasa’ie (4349)

Bukan itu sahaja, bahkan ketika hendak menyembelih haiwan pun kita disuruh untuk berbuat baik kepada haiwan itu dengan mematikannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan yang lain. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).

Dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kami mendapati bahawa ia berkait rapat dengan perbahasan memakan atau menyiang ikan dan haiwan seumpamanya secara hidup-hidup. Ini adalah sebagaimana dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa seseorang yang mendapatkan ikan yang masih hidup, maka dia tidak boleh terus untuk memakannya (yakni secara hidup-hidup) sehinggalah ikan itu mati atau dimatikan terlebih dahulu. Begitu juga makruh hukumnya memanggang ikan tersebut hidup-hidup kerana perbuatan itu telah menyeksanya tanpa keperluan. Hal ini kerana ikan ialah hidupan yang cepat mati, maka boleh ditunggu sehingga ia mati terlebih dahulu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/131).

Selain itu, al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan. Maka dalam hal ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram. Manakala pendapat yang kedua ialah haram dan ini merupakan pendapat al-Ghazali. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/73).

Justeru, berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa tidaklah haram menggunakan umpan hidup seperti cacing, cengkerik, ikan kecil dan seumpamanya, sebaliknya hukumnya adalah makruh. Hal ini kerana adanya keperluan untuk menggunakannya dan begitu juga kerana tujuan penggunaannya adalah betul dan bukannya sesuatu yang sia-sia iaitu bagi tujuan mendapatkan makanan halal berupa ikan dan seumpamanya.

Selain itu, ini juga kerana manusia adalah makhluk yang lebih mulia dan haiwan-haiwan lain diciptakan untuk kegunaan manusia jua. Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menguasakan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499).

Bahkan sebahagian ulama membenarkan penjualan cacing (dan haiwan seumpamanya) bagi tujuan memancing ikan (sebagai umpan) seperti yang dinyatakan oleh ulama mazhab Hanbali. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 3/152). Secara tidak langsung dapat difahami bahawa penggunaan umpan seperti cacing, ulat, serangga dan seumpamanya bagi memburu/memancing ikan adalah dibolehkan.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan umpan hidup seperti cacing, ulat, cengkerik, ikan kecil dan seumpamanya, sekiranya ada keperluan untuk menggunakannya seperti bagi tujuan mengail atau memancing ikan sebagai makanan. Akan tetapi hukumnya adalah makruh jika penggunaannya ketika masih hidup dikhuatiri menyakiti atau menyeksanya.

Penggunaan umpan hidup bagi tujuan memancing ikan dibolehkan kerana tujuan penggunaannya itu adalah betul dan bukannya sesuatu yang sia-sia iaitu bagi mendapatkan makanan halal yang lain seperti ikan dan seumpamanya. Lebih-lebih ia bertepatan dengan keumuman firman Allah SWT yang telah menjadikan segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan lain-lain, untuk manusia mengambil manfaat daripadanya sebagaimana yang kami telah nyatakan di atas.

Sekalipun begitu, jika umpan tersebut dapat dimatikan terlebih dahulu dengan cara yang terbaik dengan mencabut kepalanya atau memotong bahagiannya yang kritikan (yang dapat segera mematikannya), maka ia adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf mereka yang menghukumkannya sebagai makruh.

Bahkan ia lebih dekat dengan sifat ihsan yang diajarkan dalam agama kita, agama Islam. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445