#2982: Kalimah Sultan al-Ulama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Sultan al-Ulama digelar kepada Izzudin bin ABdul Salam dan apakah maksudnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Al-Qurtubi menukilkan pendapat Ibnu Mas’ud yang berkata, “Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini dan makna Allah SWT mengangkat golongan yang berilmu atas yang beriman yang tidak dikurniakan ilmu dengan beberapa darjat pada agama mereka apabila mereka melakukan apa-apa yang diperintahkan.”

Menjawab persoalan di atas, kami katakan beanr sekali dan maksud Sultan al-Ulama ialah penghulu bagi para ulama atau raja kepada ulama. Di dalam mazhab Syafi’i perkataan ini sinonim dengan seorang tokoh yang cukup berwibawa iaitu Izzudin bin Abdul Salam. Kami sertakan sedikit kisahnya:

Syeikh ‘Izzuddin Menasihati Sultan al-Malik al-Asyraf

Ketika Sultan al-Malik al-Asyraf sakit, baginda meminta Syeikh ‘Izzuddin datang. Perjumpaan tersebut telah menyelesaikan ketidaksefahaman yang berlaku antara mereka berdua suatu ketika dahulu.

Sultan lalu meminta beliau memaafkan kesalahannya dan menasihatinya, lalu beliau berkata:

“Saya sentiasa memaafkan semua orang yang menimbulkan kebencian terhadap saya. Ini kerana, saya tidak akan benarkan matahari terbenam sedangkan saya masih ada permusuhan dengan seseorang. Saya hanya inginkan balasan daripada Allah SWT jua kerana Dia berfirman:

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ

Maksudnya: “…Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya)…”

(Surah al-Syura: 40)

“Berkenaan nasihat dan doa saya, maka saya sentiasa mendoakan kebaikan Sultan kerana ia bermaksud kebaikan Islam dan umat Islam. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayat dan kefahaman kepada Sultan berkenaan hal-hal yang memberi manfaat bagi di hari akhirat.”

“Tanggungjawab saya untuk memberikan nasihat dalam memilih jalan yang benar. Saya tahu, Sultan terkenal dengan sikap keberaniannya dan kejayaan cemerlangnya. Namun, puak Tartar sedang menceroboh tanah-tanah jajahan Islam. Mereka menjadi berani disebabkan Sultan sedang menghalakan senjatanya melawan saudaranya, al-Malik al-Kamil, menjadikan Sultan tiada masa bagi menghadapi musuh-musuh Allah dan penindas umat Islam.

“Oleh itu, saya memberikan syor kepada Sultan agar berhenti berperang dengan saudaranya. Sepatutnya, Sultan hendaklah menghalakan kekuatan tentera yang dimilikinya untuk melawan musuh-musuh Islam.

“Sultan hendaklah memutuskan dalam saat-saat genting ketika sakitnya ini supaya berperang kerana Allah semata-mata dan untuk meninggikan agama-Nya. Kami harapkan kaum kafir dapat dikalahkan dengan pertolongan Sultan apabila Allah memulihkan kesihatannya. Ia sudah tentu pencapaian besar dan sekiranya Allah menghendaki begitu, maka sudah tentu baginda Sultan akan diberi pahala disebabkan niatnya untuk membela Islam.”

Sultan al-Malik al-Asyraf lalu berterima kasih atas nasihat ikhlas yang diberikan oleh Syeikh ‘Izzuddin  tersebut. Baginda serta merta memberikan arahan agar tenteranya dihalakan semula untuk menghadapi tentera Tartar. Lalu apabila perintah tersebut sampai kepada panglima tenteranya, mereka lalu berpaling menghadapi Tartar.

Syeikh ‘Izz al-Din memberikan nasihat selanjutnya apabila diminta oleh Sultan al-Malik al-Asyraf dengan katanya:

“Sultan terlantar di atas katil sedangkan pegawai dan pembesarnya sedang berseronok dengan arak dan maksiat sementara umat Islam pula dibebani dengan cukai-cukai baru. Sumbangan paling baik yang Sultan boleh berikan untuk Allah SWT adalah dengan membersihkan lembah keruntuhan ini, menghapuskan cukai-cukai yang haram serta memberhentikan penindasan dan memperkenalkan keadilan bagi rakyat jelata.”

Sultan al-Malik al-Asyraf bukan sahaja mengikut nasihat Syeikh ‘Izzuddin malah baginda lantas menzahirkan rasa terima kasihnya dengan berkata:

“Semoga Allah memberikan balasan atas jasa kamu menunaikan tuntutan agama bagi semua pihak umat Islam yang dikasihimu itu. Tuan, benarkan saya menjadi sahabatmu di Syurga.”

Sultan juga memberikan hadiah kepada Syeikh sebanyak seribu duit emas Mesir. Namun, beliau menolaknya dengan berkata:

“Saya datang berjumpa denganmu hanya kerana Allah SWT. Saya tidak mahukan tarikan dunia menjadi sebab tambahan atas kedatangan saya ini.”

(Lihat Tarikh al-Da’wah wa al-Azimah oleh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi (diterjemahkan dengan tajuk 10 Tokoh yang Mengubah Dunia) hlm. 190-192)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445