#2983: Maksud al-Mufakkir al-Islami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terdengar Dato’ Seri selalu menyebut mufakkir al-Islami Syeikh Muhammad al-Ghazali. Apakah maksud sebenar mufakkir al-Islami ini?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ‎﴿١٩٠﴾‏ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah Ali ‘Imran: 190-191)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Firman Allah SWT, ‘ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ’, maksudnya agar mereka menjadikannya sebagai dalil atas maksud darinya. Ini menunjukkan bahawa berfikir adalah ibadah dan merupakan salah satu sifat daripada sifat-sifat wali Allah yang berilmu. Apabila mereka memikirkannya, nescaya mereka mengetahui bahawa Allah tidaklah menciptakan mereka dengan sia-sia. Maka mereka berkata: ‘رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ’ (Wahai Tuhan Kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau). (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 384)

Kami telah nyatakan dalam buku kami beberapa takrif dan maksud al-mufakkir. Terdapat beberapa pengertian, antaranya:

  • Ibn Sab’an mendefinisikan mufakkir sebagai seorang yang mencipta dan mendalami dalam bidang keilmuannya kemudian dapat menyelami realitinya, seterusnya mengemukakan fikrah yang baru tanpa didahului oleh sesiapapun. Boleh jadi dalam bidang muzik, teori, sastera atau lain-lain.
  • Mufakkir ialah orang yang menggunakan akal fikirannya untuk disumbangkan kepada ummah sehingga memberi manfaat kepada keseluruhan dalam pelbagai bidang.
  • Antara mufakkir Islami yang terkenal seperti Malik bin Nabi, Syeikh Muhammad al-Ghazali dan lain-lain. (Lihat Gelaran Ulama, 143)

Berdasarkan pengamatan kami, mufakkir biasanya sentiasa mendatangkan buah fikiran yang boleh menjadi pedoman kepada ummah serta menunjukkan solusi apabila berlaku sebarang bentuk kemelut yang dihadapi. Begitu juga, pandangan mereka jauh ke depan dalam membentuk anak bangsa serta jati diri ummah. Telahan mereka amat tepat dan apabila difikirkan begitu masak dan matang sesuai untuk menjadi rujukan kepada ummah.

Saya nyatakan di sini sebagai contoh Maulana Abi Hasan Ali Al-Nadwi yang kami telah terjemahkan biografinya. Ketika masa muda, beliau telah memikirkan permasalahan ummah dan ketika itu masih banyak negara umat Islam dijajah dan ditakluk oleh kuasa Barat. Umat Islam ditindas serta dinyahkan dari persada dunia dan kepimpinan dunia dikuasai oleh mereka. Akibatnya, terlalu banyak khazanah Islamiyyah yang mempunyai nilai yang tinggi, makrifah dan pengetahuan dibiarkan begitu sahaja.

Maka, jadilah kelesuan bagi umat ini. Memikirkan hal tersebut, maka Syeikh Abi Hasan Ali Al-Nadwi walaupun usianya ketika itu baru mencecah 30 tahun telah mengemukakan sebuah buku yang dianggap antara yang terbaik di dunia sehingga ulama Azhar tercengang dan kagum apabila bukunya diterbitkan. Mereka menyangkakan bahawa Syeikh Maulana Abi Hasan al-Nadwi seorang ulama yang tua tetapi sangkaan mereka meleset dan ini menambahkan lagi kekaguman mereka kepada beliau. Buku yang kami maksudkan ialah Maza Khasira al-‘Alam bin Hitati al-Muslimin. Kami pernah bertanya kepada guru kami Fadhilatul Syeikh Wahbah al-Zuhaili tentang buku tersebut dan beliau mengatakan, inilah buku yang terbaik untuk kurun ini dalam pencerahan dengan buah fikiran yang bernas, tuntas lagi tajam.

Kami nyatakan di sini biografi ringkas Syeikh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi:

Nama sebenarnya ialah Sayyid Abi al-Hassan Ali bin Abd al-Hayy bin Fakhruddin al-Hasani. Beliau dilahirkan pada 24 November 1914 di Kalan, di Raeberily, wilayah Uttarpradesh, India. Berketurunan Arab yang telah lama berhijrah ke India.

Nasabnya berasal dari bangsa Arab sekalipun mereka sudah lama menetap di India sejak berkurun-kurun, tetapi mempunyai kekuatan dengan berpegang kepada syariat Islamiyah. Dikatakan nasabnya sampai kepada Muhammad bin Abdullah bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Imam al-Hassan bin Ali bin Abi Talib. Justeru keluarganya terkenal dengan gelaran Hasaniyah. Begitu juga dari pihak ibunya, juga daripada anak orang alim, Dhia’ al-Nabi bin Said al-Din bin Ghulam Jailani bin Muhammad Wadih bin Muhammad Sabir bin Ayatillah bin Syeikh al-Kabir Alamallah bin Muhammad Fudail bin Muhammad Mua’zam. Seterusnya bertemu nasab antara ibu dan bapanya.

Pendidikan dan Guru-Guru

Syeikh Abi al-Hassan al-Nadwi merupakan tokoh yang penuh dengan kelebihan dan keunikan hasil daripada tarbiyah yang diterima dari gurunya yang mengajar dengan penuh keikhlasan, ketaqwaan dan kedalaman ilmu. Justeru, barakah ilmu mengalir daripada guru-gurunya kepada Syeikh Abi al-Hassan al-Nadwi yang seterusnya membentuk keperibadian dan syaksiah yang unggul sesuai dengan akhlak yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Hal ini diwarisi oleh Syeikh berdasarkan syahadah dan pengakuan para ulama sezamannya. Antara guru-guru yang membentuk perwatakan Syeikh dan juga keilmuan yang begitu mendalam antaranya ialah:

Pendidikannya bermula sejak dari rumah lagi daripada ibunya. Beliau mempelajari pembacaan al-Quran daripada ibunya. Semasa kecil, kehidupannya sedikit berbeza berbanding kanak-kanak lain yang seusianya. Beliau lebih gemar membaca kitab daripada bermain permainan. Selain itu, beliau juga berguru dengan Mawlana Azizurrahman dalam ilmu al-Quran.

Ketika zamannya, Bahasa Arab tidak begitu diberi perhatian yang serius oleh masyarakat Muslim India. Ia hanya berperanan sebagai alat untuk memahami bidang Syari’ah dan Usuluddin. Muslim di India lebih ghairah mendalami Bahasa Parsi termasuk Syeikh Abi al-Hassan al-Nadwi sendiri pada awal pengajiannya.

Abang beliau, Sayyid Abdul ‘Aliyy al-Hasani  kemudiannya menyedari perkara ini dan menyuruh Abu al-Hassan al-Nadwi mengalihkan fokus kepada mendalami Bahasa dan Kesusasteraan Arab.

Selain pendidikan formal, beliau juga banyak bertalaqqi dengan ulama dari seluruh India semasa beliau di Nadwatul Ulama. Antaranya ialah Syeikh Khalil bin Muhammad al-Yamani (Bahasa Arab), Syeikh Khawwajah Abdul Hayy Farouqi (Tafsir), Syeikh Sayyid Muhammad Talhah (Nahu). Setelah selesai pengajiannya di Nadwatul Ulama, beliau melanjutkan pelajarannya ke Lucknow University dan muncul sebagai pelajar terbaik pada 1929.

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya ke Lahore. Di sinilah beliau berkenalan dengan penyair terkenal, Muhammad Iqbal. Setelah setahun di Lahore, Abi al-Hassan al-Nadwi kembali ke Lucknow dan memberi fokus kepada pengajian ilmu hadis. Beliau berguru secara talaqqi dengan Syeikh Haidar Hassan Khan al-Tunki, enam kitab hadis yang utama (Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan Ibn Majah, Sunan al-Nasa’i).

Beliau juga mendalami ilmu Bahasa Arab dengan seorang ulama Maghribi yang tinggal di India bernama Syeikh Muhammad Taqiyuddin al-Hilali. Pada 1931, Abu al-Hassan al-Nadwi meneruskan rihlah ilmiahnya ke Lahore. Di sana, beliau berguru dengan Syeikh Ahmad Ali al-Lahori dan mendapat ijazah dalam bidang tafsir disamping mendalami kitab Hujjatullah al-Balighah  dengannya.

Pada tahun 1932, beliau pergi ke Darul Ulum Deoband dan berguru dengan Syeikh Hussain Ahmad al-Madani secara khusus kitab Sahih Bukhari dan Sunan Tirmizi.

Syeikh juga mempunyai guru yang khusus dalam ilmu kerohanian. Beliau telah berbai’ah dengan Syeikh Abd al-Qadir al-Raibury dalam Tariqat Naqshabandiah Mujaddidiah Chistiyyah. Syeikh Abd al-Qadir Raibury meninggalkan pengaruh yang cukup besar dalam jiwa Abu al-Hassan al-Nadwi sehinggakan kisah gurunya ini diabadikan dalam bukunya, Rabbaniyyah La Rahbaniyyah.

Peribadi Syeikh Abi Al-Hassan Ali al-Nadwi

Beliau adalah seorang yang memelihara solat jemaah sejak dari kecilnya lagi begitu juga dengan qiamullail. Di samping itu, beliau beristiqamah dalam membaca al-Quran serta mengamalkan wirid harian hingga sampai usianya tua dan uzur.

Pernah satu ketika sekitar tahun 40-an beliau berjalan kaki daripada rumahnya di Lucknow dan beliau mahu solat Isyak di kampungnya sedangkan apabila sampai solat jemaah sudah selesai. Lantas beliau pergi ke masjid yang lain dan mendapati orang ramai sudah selesai solat jemaah dan beliau mahu juga solat berjemaah dan diberitakan kepadanya ada masjid yang ketiga yang akan mendirikan solat berjemaah kemudian beliau sampai dan sempat solat berjemaah dengan penuh kegembiraan.

Pernah suatu ketika di bulan Ramadan selepas solat Isyak, beliau keluar daripada Lucknow ke Raebarily dan solat Tarawih dalam keretapi sebanyak dua puluh rakaat serta khatam surah al-Baqarah. Daripada sini jelaslah beliau amat prihatin dengan solat berjemaah dan amat mengambil berat khususnya pada hari jumaat.

Antara adabnya ialah pada hari Jumaat, beliau akan mandi awal, memakai hiasan yang sempurna, membaca Surah al-Kahfi sebelum keluar ke masjid dan melaksanakan semua sunat-sunat yang digalakkan pada hari Jumaat. Kemudiannya, barulah beliau keluar ke masjid samada sebelum azan atau selepasnya.

Beliau amat bersederhana dalam pakaian dan kebiasaannya, apabila keluar untuk menyampaikan ceramah atau menghadiri perhimpunan, beliau akan memakai pakaian khusus dan berhias mengikut kesesuaian sebagai seorang ulama dan pendakwah.

Kegemaran beliau adalah pada makanan yang dipanggang dan sebahagian halawiyat. Di samping itu, nasi merupakan satu makanan asasi yang mesti baginya. Beliau juga suka daging yang dimasak dengan sayur-sayuran. Kesemuanya di ambil dalam kuantiti yang sederhana dan tidak membazir.

Dikisahkan oleh muridnya iaitu Syeikh Mustafa al-Nadwi, bahawa Syeikh Abu al-Hassan Ali al-Nadwi amat jarang sekali dilihat makan berseorangan. Setiap kali menjamu selera, pasti ada tetamu bersamanya.

Beliau juga amat jarang menjadi imam solat dan lebih suka menjadi makmum. Ini menggambarkan sikap beliau yang sangat merendah diri dan tidak sukakan kemegahan.

Kehidupan Harian

Menjadi kelaziman beliau untuk bangkit awal pagi sebelum Subuh dan membaca al-Quran. Apabila fajar menyinsing, beliau mula berzikir dengan kuat dan solat fajar. Kemudian beliau keluar berjalan kaki sambil membaca surah Yasin, zikrullah dan pulang untuk bersarapan pagi.

Sebelum solat dhuha, beliau akan tidur seketika dan kemudiannya setelah selesai solat, akan membaca satu juzuk daripada al-Quran. Waktu beliau agak padat selepas itu dengan penulisan buku di samping menjawab surat-surat yang diutuskan kepadanya. Biasanya, beliau membalas antara 20-25 pucuk surat pada setiap hari. Kadangkala, ia mencecah sehingga 55 pucuk surat dalam satu ketika.

Pada waktu Zohor, beliau akan solat berjemaah,  makan tengah hari dan tidur sebentar (qailulah). Beliau akan bangun sejam sebelum solat Asar untuk persediaan solat dan selepas Asar sehingga Maghrib, beliau akan melayani tetamu-tetamu yang menziarahinya.

Beliau solat Maghrib dan solat sunat selepas itu di samping membaca satu juzuk setengah daripada al-Quran. Kemudian kadang-kadang duduk dan meneruskan zikrullah. Jika sekiranya beliau berada di Raebaerily, beliau akan berada di rumahnya bersama keluarganya.

Beliau keluar rumah apabila hampir Isyak. Sekiranya berada di Darul Ulum, beliau akan menghabiskan masa dengan membaca kitab atau mengadakan pertemuan khusus dengan tetamu yang datang menziarahinya, kemudian solat Isyak.

Apabila usianya sudah lanjut, menjadi kesukaran baginya untuk tidur. Beliau mula tidur selepas fajar satu jam atau lebih. Surah Yasin yang dilaziminya setiap hari, dibacakan sehingga 13 kali atau lebih di tahun-tahun terakhirnya sebelum meninggal dunia.

Abi al-Hassan al-Nadwi meninggal dunia pada hari Jumaat, 23 Ramadan 1420 Hijrah bersamaan 31 Disember 1999 di daerah kelahirannya. Pada pagi hari pemergiannya, beliau seperti biasa bersiap sedia untuk bersolat Jumaat.

Kebiasaannya, beliau akan membaca Surah al-Kahfi pada pagi Jumaat dengan menggunakan mushaf al-Quran. Muridnya yang ditugaskan mengambil mushaf al-Quran untuknya melihat seakan-akan terkumat-kamit membaca sesuatu. Apabila dirapatkan telinga ke mulut Syeikh, apa yang didengari adalah Surah Yasin. Sampai sahaja pada ayat yang ke 11, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Begitulah indahnya pemergian ulama yang mewakafkan seluruh hidupnya atas jalan dakwah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445