Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum saya ada sedikit persoalan tahun lepas saya bersalin secara caesarean (czer) dan selepas czer setiap ibu yang melahirkan secara czer perlu mengambil suntikan mengelakkan darah beku, doktor menerangkan ada dua jenis ubat iaitu Heparin sumber dari kuda dan enoxaparin sumber dari khinzir, Saya memilih untuk suntikan heparin namun mereka memaksa sehingga saya terpaksa mengambil suntikan enoxaparin selama 10hari Apakah hukum nya Dato, kerana sesetengah rakan saya yang melahirkan secara czer doktor sendiri tidak memberikan mereka suntikan jenis enoxaparin kerana berunsurkan babi. Sampai ke hari ini saya memikirkan hal ini dan rasa tidak seronok terpaksa menerima suntikan enoxaparin. Boleh dato doktor jelaskan keadaan ini,sekiranya akan datang saya terpaksa bersalin secara czer lagi maaf sekiranya susun atur ayat saya tidak sempurna, terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Definisi Czer/ Caesarean (Pembedahan)
Pembedahan caesarean (C-Pembedahan) adalah pembedahan yang mana doktor akan membuat insisi di dalam abdomen dan dalam rahim bagi melahirkan bayi tersebut.
Lazimnya, doktor akan menjalankan pembedahan ini jika proses kelahiran normal si ibu (melalui faraj) mempunyai komplikasi atau kesukaran. Antara sebab pembedahan ini dilakukan adalah:
- Bayi anda kurang berkembang atau janin lemah.
- Si ibu mempunyai kelahiran berganda.
- Si ibu mempunyai komplikasi yang membuat C-Pembedahan lebih sesuai untuk anda.
- Si ibu mempunyai penyakit yang meningkatkan risiko komplikasi ketika melahirkan seperti tekanan darah tinggi atau diabetes.
Placenta previa meliputi serviks. (Lihat Portal Hello Doktor)[1]
Definisi Suntikan Heparin dan Enoxaparin
- Heparin adalah ubat cair darah yang menghalang darah daripada beku. Ia digunakan untuk menghalang pembekuan darah pada vena, arteri dan paru-paru. Pembekuan darah ini boleh menyekat pengaliran darah ke organ-organ penting dalam badan dan menyebabkan aliran darah terganggu. (Lihat Portal Jabatan Farmasi Hospital Kuala Lipis)[2]
- Enoxaparin adalah ubat cair darah yang menghalang darah daripada beku. Namun, ia dihasilkan dari sumber yang haram dalam Islam iaitu porsin atau Babi. Ia juga didapati lebih berkesan dari heparin. Pemberian suntikan ini akan diberikan selepas mendapat kebenaran secara bertulis oleh pesakit. Ia selaras dengan Panduan Penggunaan Ubat-ubatan yang Mengandungi Unsur Tidak Halal kepada Pesakit Muslim di Kementerian Kesihatan Malaysia. (Lihat Dewan Kosmik)[3]
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#1596: Suntikan Tifoid (Typhoid)[4]
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan hukum mengambil suntikan yang berunsur babi dalam keadaan darurat adalah diharuskan. Hal ini kerana ia dalam keadaan serius yang mengaitkan nyawa si ibu dan anak. Maka, dalam isu ini ia bertepatan dengan prinsip maqasid syariah yang kedua iaitu menjaga nyawa dan kaedah menyebut:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: “Perkara yang darurat boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85)
Akan tetapi kaedah ini terikat dengan kaedah lain, yang menyebut:
الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا
Maksudnya: “Perkara yang darurat hendaklah ditakdirkan berdasarkan kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).
Ia bukan secara langsung dan masalah ini juga termasuk khilaf. Bahkan ia mungkin termasuk dalam bab istihalah[5], dengan maksud, ia adalah dibolehkan. Justeru itu, kami tegaskan di sini sekiranya terdapat ubatan yang berkesan dan tidak ada unsur yang haram, maka pilihlah jenis suntikan tersebut. Namun, sekiranya dalam situasi darurat, maka dibenarkan menggunakan suntikan yang mengandungi sumber haram mengikut kadarnya sahaja.
Kami nasihatkan kepada anda agar tinggalkan yang menjadi ragu-ragu serta syak kerana ia boleh melahirkan was-was sehingga hidup anda tidak lagi tenang. Inilah yang Rasulullah SAW ajar kepada kita.
Daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib R.Anhuma, cucu Rasulullah SAW dan orang kesayangan Baginda. Beliau berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW hadis:
دَعْ مَا يَرِيْبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan (4/668) (2520) Kitab Sifat Kiamat, al-Nasaie dalam Sunan (4/732) (5727) Kitab al-Asyribah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam
[1] https://hellodoktor.com/kehamilan/kelahiran-bayi/beranak/pembedahan-caesarean/
[2] https://imed2.github.io/HTML/Kaunseling/Heparin.html
[4] https://maktabahalbakri.com/1596-suntikan-tifoid-typhoid/
[5] Al-Istihalah merujuk kepada teori perubahan jirim atau zat sesuatu bahan kepada zat bahan yang lain di mana identiti asalnya tidak lagi dapat dikenalpasti untuk dikaitkan dengan zat bahan yang asal. (Lihat al-Muhalla, 7/418)
Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445