#2992: Niat Solat Sebelum Takbir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah status solat yang di mana dibaca niat sebelum mengangkat takbir? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs Umar bin al-Khattab RA berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis

Antaranya:

Pertama: Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira daripada sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Hal ini juga sepakati oleh Ibn Hajar al- Asqalani yang berkata: “Amalan menepati syara’.”

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (العبادة المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafie dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

Kedua: Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat.” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Niat juga ditakrifkan sebagai:

قَصْدُ الشَيْءِ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ ، وَمَحَلُّهَا القَلْبُ

Maksudnya: Memaksudkan melakukan sesuatu yang disertai dengan pekerjaan. Dan tempat niat adalah di dalam hati. (Lihat Fath al-Qarib, hlm. 75)

Berkenaan dengan persoalan di atas, kami nukilkan beberapa pendapat ulama’ al-Syafi’i antaranya:

  • Kata Imam al-Nawawi: “Niat itu di dalam hati. Dan sunat (mandub) mengucapkannya sebelum takbir.” (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/343)
  • Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Sunat (mandub) mengucapkan apa yang diniatkan seketika sebelum takbir, agar lidah dapat menolong hati, juga kerana ada yang mewajibkannya, dan juga diqiyaskan kepada apa yang terjadi dalam mengerjakan haji.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, Juzuk 2).
  • Kata Imam al-Ramli: “Sunat mengucapkan yang diniatkan itu seketika sebelum takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/340)
  • Kata Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari: “Mengucapkan niat itu seketika sebelum takbir, supaya bacaan dapat menolong hati.” (Lihat Fath al-Wahab, Jilid 1)
  • Kata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “Sunat mengucapkan yang diniatkan sebelum takbir, supaya bacaan dapat menolong hati, dan supaya tidak terlalu jauh dari fatwa mereka yang memfatwakan wajib.” (Lihat Fath al-Mu’in, Bab Solat).

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelas menunjukkan niat boleh didahulukan daripada takbir. Begitu juga, niat tempatnya di dalam hati tetapi melafazkan dengan lidah bagi menghadirkan hati adalah dibolehkan mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama’ Syafi’iyyah.

Walaupun begitu, memang tidak dinafikan niat seiring dengan takbir. Dengan sebab itu, para ulama mengatakan rukun qauli dan qalbi dilakukan serentak. Begitu juga dengan mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Semoga Allah SWT kukuhkan kita dalam agama dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445