Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya berwuduk kemudian bercakap dengan rakan di handphone selama 5-10 minit. Boleh atau tidak selepas itu saya solat sunat wuduk?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan di sini terlebih dahulu hadith berkenaan dengan solat sunat wuduk:
Solat sunat wuduk merupakan salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak berdasarkan beberapa nas daripada Rasulullah SAW. Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal ketika waktu solat Subuh:
يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: دَفَّ نَعْلَيْكَ يَعْنِي تَحْرِيكَ.
Maksudnya: “Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling engkau harapkan yang telah engkau lakukan apabila memeluk Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kasutmu di hadapanku di dalam syurga. Beliau menjawab: ‘Tidak ada amalan yang lebih aku harapkan berbanding apabila aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan mendirikan solat dengan wuduk itu apa yang telah ditakdirkan untuk aku solat.’” Abu ‘Abdillah berkata: “دَفَّ نَعْلَيْكَ”, maksudnya tautan langkah.”
Riwayat al-Bukhari (1149)
Al-‘Iraqi menyebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan bahawa terdapatnya galakkan untuk mendirikan solat dua rakaat selepas berwuduk. (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/59). Selain itu, hadith di atas juga menjelaskan bahawa antara fadhilat mengerjakan solat sunat wuduk ini ialah seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga. Bahkan Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau ke atas hadith ini menyebutkan, sesungguhnya masuknya Bilal ke dalam syurga serta memperoleh kelebihan ini adalah disebabkan perbuatan beliau yang berwuduk setiap kali hadas dan mendirikan solat setiap kali berwuduk sebanyak dua rakaat. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 7/08).
Begitu juga dengan hadith lain daripada riwayat Humran maula Uthman yang menceritakan secara sempurna bagaimana sifat wuduk Nabi SAW dan di dalamnya disebutkan bahawa Baginda SAW bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian melakukan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak menyibukkan hatinya dengan perkara-perkara lain, nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Riwayat al-Bukhari (159)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas mengenai lafaz “ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ” menyebutkan bahawa padanya terdapat galakkan untuk mendirikan solat dua rakaat selepas berwuduk. (Lihat Fath al-Bari, 1/260). Begitu juga ‘Azim Abadi turut menyebutkan hal yang sama dalam kitabnya, ‘Aun al-Ma‘bud (1/126).
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, ulama’ dalam kalangan mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa digalakkan (sunat) untuk orang yang berwuduk untuk mendirikan solat sunat dua rakaat selepas selesai berwuduk. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ الْوُضُوءَ وَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ يُقْبِلُ بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ عَلَيْهِمَا إِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang berwuduk, kemudian dia memperelokkan wuduknya lalu mendirikan solat dua rakaat yang dia memfokuskan jantung hati serta wajahnya dalam mengerjakannya melainkan wajib buat dirinya itu syurga.”
Riwayat Abu Dawud (906)
Ulama’ dalam kalangan mazhab Syafi‘i juga menyatakan, dalam hadith di atas terdapatnya galakan untuk mendirikan solat dua rakaat mahupun lebih selepas setiap kali berwuduk dan hukumnya adalah sunat muakkad. Begitu juga solat sunat ini boleh didirikan pada waktu yang dilarang — yakni untuk solat — atau selainnya kerana terdapatnya sebab untuk menunaikannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/379).
Untuk menjawab persoalan di atas, kami katakan hukumnya terbatal solat wuduk dengan sebab pemisahan yang panjang secara ‘uruf sebagaimana yang disebut di dalam kitab-kitab Syafi’iyyah. Dhabit dianggap panjang apabila melebihi zikir yang ma’thur dan bacaan surah al-Qadr sebanyak 3 kali dengan kadar 2 rakaat yang ringkas. (Lihat Fatawa al-Kurdi, hlm. 8, al-Tuhfah, 2/237 dan al-Nihayah, 2/121)
Dinukilkan daripada fatwa al-Samhudi bahawa dianggap luput solat 2 rakaat wuduk dengan sebab berlakunya hadas. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidi, 1/319-320).
Pada hemat kami, berdasarkan huraian di atas kami berpendapat masih lagi harus untuk seseorang itu solat sunat wuduk jika sekiranya sekadar 5 minit atau lebih sedikit dengan sebab bercakap atau yang lain. Ini kerana, kadang-kadang di masjid yang besar dan luas jadi tempat wuduk atau tandas untuk menuju ke ruangan utama perjalanan sahaja sudah memakan masa hanpir 5 minit atau lebih seperti di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445