#2994: Tajdid al-Wudhu’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bila mana waktu disunatkan tajdid al-wudhu’?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;

(Surah al-Ma’idah: 6)

Kami mulakan dengan takrif tajdid al-wudhu’ iaitu memperbaharui wuduk dan maksud memperbaharui wuduk iaitu wuduk masih lagi sah tetapi mungkin sudah lama atau melakukan sesuatu yang lain, maka dibolehkan untuk kita tajdid al-wuduk.

Dalam menjawab persoalan di atas, waktu disunatkan tajdid al-wudhu’ ialah 5 keadaan:

  • Yang paling sahihnya selepas solat yang pertama walaupun solat itu solat sunat.
  • Selepas menunaikan solat fardhu.
  • Selepas dia memerlu dan mahu untuk berwuduk.
  • Selepas solat atau sujud atau bacaan pada
  • Wuduk secara mutlak.

Inilah yang disebut di dalam Syarh al-Muhazzab dan juga kami nukilkan daripada Bughyah al-Mustarsyidin 1/320-321.

Ibnu Hajar berkata, haram tajdid wuduk sebelum melakukan solat. Sedangkan Imam Ramli berkata hukumnya makruh. (Lihat al-Tuhfah, 1/282 dan al-Nihayah, 1/228)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445