Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada 2 persoalan di sini:
- Mengapakah Allah memberikan kita mimpi jika kita tidak tahu bagaimana untuk menafsir mimpi tersebut?
- Apakah maksud mimpi banjir? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”
Riwayat al-Bukhari (6985)
Menjawab persoalan saudara, walaupun kita tidak tahu menta’bir mimpi, maka, kita boleh bertanya kepada yang mengetahuinya kerana menta’bir mimpi bukan semua orang mengetahuinya. Nas menunjukkan mereka yang terpilih di kalangan para rasul dan juga orang-orang soleh sahaja yang tafsir dan ta’bir mimpinya tepat. Kami nukilkan di sini daripada buku kami Mimpi dan Ta’bir Mimpi.
Antara yang terkenal dalam menta’bir mimpi sudah pasti Rasulullah SAW, para nabi dan di kalangan sahabat ialah Abu Bakar R.A, Umar R.A, Anas bin Malik R.A dan lain-lain. Di kalangan tabi’in pula sebagai mana yang disebut oleh al-Waqidi ialah Sa’id ibn al-Musayyib, beliau mempelajarinya daripada Asma’ binti Abi Bakar dan Asma’ mempelajarinya daripada ayahnya Abi Bakar al-Siddiq R.A.
Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: “Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya, mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.”
Mimpi banjir melambangkan emosi yang boleh jadi baik atau buruk. Ia juga menandakan perubahan hidup yang radikal, perubahan paradigma dalam cara berpikir dan tingkah laku yang lain dari kebiasaannya.
Sebaik-baik dalam menafsirkan mimpi, biarlah orang yang soleh lagi berilmu kerana tafsiran mereka lebih kepada tafa’ul yang baik. Ini kerana, mimpi orang beriman sejuzuk daripada 46 juzuk kenabian. Sebagaimana dalam hadith daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda SAW bersabda:
رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”
Riwayat al-Bukhari (6987)
Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.
Begitu juga, inilah tabsyir atau berita gembira yang diberi kepada orang-orang soleh di akhir zaman. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.
Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”
Riwayat al-Bukhari (6990)
Sekali lagi kami katakan insya-Allah saudara akan dikurniakan dengan kebaikan yang banyak. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445