Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah huraikan berkenaan hukum solat jama’ ta’khir di rumah setelah tiba daripada permusafiran. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Setiap solat fardhu 5 waktu yang disyariatkan mempunyai waktu-waktu khusus yang telah ditetapkan untuk setiap solat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)
Antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjama‘kan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Jama‘ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjama‘kan di antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab , 4/249)
Manakala keringanan (rukhsah) untuk mengqasarkan solat adalah sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Menurut Imam al-Nawawi, ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut. (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Dalam hadith lain, daripada Ya’la bin Umayyah, katanya:
قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ (لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا) فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ؟ فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab RA: Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”, sedangkan sekarang manusia berada dalam keadaan aman. Umar RA menjawab: Aku juga berfikir perkara yang sama denganmu, maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentangnya, lalu Baginda bersabda: “Ia merupakan sedeqah daripada Allah SWT untuk kamu, maka terimalah sedeqah-Nya.”
Riwayat Muslim (686)
Menurut Imam al-Zarkasyi bahawa mengqasarkan solat (ketika musafir) adalah lebih afdhal berbanding solat secara penuh (tamam). (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id, 2/415)
Hukum Menjama’kan Solat Ketika Tiba di Rumah
Para ulama’ bersepakat bahawa menjama’kan solat setelah di rumah daripada permusafiran adalah diharuskan, kerana syarat mengharuskan jama’ ta’khir ialah uzur itu berterusan sehingga masuk waktu yang kedua. Tetapi tidak dibenarkan untuk menqasarkan solat kerana telah terputusnya keuzuran permusafiran tersebut.
Ibn Hajar al-Haitami berkata:Jika seorang musafir menangguhkan solat Zohor dengan niat untuk ta’khirkan solat tersebut, sehingga tamat waktunya, kemudian dia tiba dan ingin masuk ke dalam rumahnya sebelum melaksanakan solat tersebut semasa permusafiran, maka perbuatan tersebut adalah dibenarkan dengan beberapa cara, seperti yang diterangkan dalam Hasyiah Manasik al-Nawawi al-Kubra, untuk menolak pendapat yang mengatakan ia tidak boleh. Sebab ia dibolehkan adalah kerana solat jama’ adalah dibolehkan semasa dalam perjalanan sahaja dan ia terhasil dengan sifat “أَدَاء” sahaja. Berbeza dengan melaksanakan solat ketika berada di tempat tinggal, yang mengeluarkan status “أَدَاءِ” tersebut dan menyebabkan ia menjadi sebagai solat qadha. Namun ia tidak menjadi haram kerana walaupun kami mengatakan bahawa ia adalah solat qadha, namun ia bukanlah dosa kerana melakukannya. Hal ini kerana solat qadha’ yang berdosa adalah apabila seseorang sengaja menunda waktu solat tanpa keuzuran, tetapi dalam kes ini, dia melewatkan solat kerana keuzuran permusafiran. Hal ini sama seperti jika seseorang membaca al-Quran dalam solat sehingga tamat waktu solat, tetapi dia tidak menyelesaikan satu rakaat dalam solat tersebut. Solat tersebut akan dianggap sebagai solat qadha dan tidak ada dosa ke atas individu ini sebagaimana pendapat yang muktamad. Dan solat permusafiran walaupun dijadikan dua waktu kepada satu waktu, ia adalah kedudukan “ مُؤَدَّاةً” yang dilakukan dalam waktunya walaupun dilakukan pada waktu lain kerana solat tersebut dilakukan di dalam permusafiran. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/124)
Ibn Qudamah menyatakan: “Jika dijama’kan kedua solat itu di dalam waktu kedua disebabkan berkekalan uzur itu sehingga masuknya waktu solat yang kedua yang mana jika keuzuran itu hilang pada waktu pertama, seperti pesakit yang sembuh, musafir telah tiba, dan hujan berhenti, maka jama’ ta’kht tidak dibolehkan kerana sebabnya sudah hilang. Tetapi jika keuzuran itu berterusan sehingga masuk waktu solat kedua, maka dibolehkan untuk jama’ walaupun keuzuran itu telah hilang, kerana kedua-dua solat itu wajib atasnya dan dia perlu melaksanakan keduanya.”. (Lihat al-Mughni, 3/140)
Ini adalah berkaitan dengan jama’ solat. Namun, berkenaan dengan qasar, maka dia mesti melakukan solat jama’ tersebut dengan sempurna tanpa qasar, kerana sebab yang membolehkan qasar adalah permusafiran dan apabila dia sampai ke rumahnya, maka rukhsah musafir itu telah tamat dan wajib dia solat sebagai orang yang bermuqim.
Pihak al-Lajnah al-Daimah li al-Ifta’ pernah ditanya: “Jika saya berada dalam perjalanan dan telah masuknya waktu solat zohor kemudian saya berniat untuk menta’khirkan solat zohor bersama solat Asar, tetapi saya tiba di rumah saya sebelum masuk waktu solat Asar. Adakah saya boleh solat Zohor secara qasar dan Asar secara tamam, kerana saya telah tiba sebelum masuk waktu solat Asar, atau apa yang sepatutnya saya lakukan?”, maka mereka menjawab: “Kamu mesti solat Zohor sebanyak empat rakaat kerana kamu telah tiba di tempat kamu pada waktu solat zohor sebelum kamu solat Zohor, maka hukum kamu adalah seperti hukum penduduk tempatan (muqim), kemudian kamu solat Asar secara berjemaah pada waktunya. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 8/151)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin juga ditanya tentang perkara yang sama, maka beliau menjawab: “Yang penting adalah melaksanakan solat. Jika kamu melakukannya ketika kamu berada di tempat kamu, maka solatlah secara penuh. Jika kamu melakukannya ketika dalam permusafiran, maka solatlah dengan qasar, sama ada waktu solat masuk di tempat ini atau sebelum itu. (Lihat Majmu’ Fatawa, 15/428)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seseorang itu dibolehkan untuk melakukan jama’ ta’khir apabila tiba di rumah daripada permusafiran dengan syarat waktu untuk solat kedua itu telah pun sama sebelum tiba di rumah kerana keuzuran musafir itu masih kekal sehingga dia tiba di rumah, tetapi dia perlu solat secara sempurna dan tidak boleh melakukan solat secara qasar kerana keuzuran musafir itu telah pun terputus apabila dia tiba di rumah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445