#3002: Maksud Nama Ifti Tihani

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya berkenaan maksud nama Ifti Tihani untuk anak perempuan? Sekian terima kasih untuk penerangannya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tahniah kami ucapkan kepada saudara yang baru sahaja menimang cahaya mata. Semoga anak tersebut membesar dengan sempurna dan menjadi seorang yang dapat memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Daripada Abi al-Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏”Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Sebaik-baik menamakan anak adalah dengan nama yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti Hasan, Husin, Ibrahim, Muhammad, Abdullah, Ahmad dan juga lain-lain nama-nama orang-orang yang soleh. Termasuk juga, jika perempuan seperti nama Maryam, Khadijah, Aisyah, Zainab dan lain-lain. Kami telah bahaskan sebahagiannya dalam buku Garis Masa Hayat Rasul SAW dalam ruangan Ummahat al-Mukminin serta nama putera-puteri Rasulullah SAW serta cucu-cucu Baginda SAW.

Berkenaan dengan nama Iftihani, kami tidak menjumpainya jika dia satu kalimah. Tetapi ia memberi maksud, jika dua kalimah Ifti Tihani. Adapun Ifti dengan maksud tanyalah, fatwalah, soal lah, sedangkan maksud yang kedua, Tihani dengan maksud tahniah. Tetapi bahasa yang lebih tepat dengan Tahani. Itulah maklumat yang kami dapat secara rujukan yang ringkas.

Walaupun begitu, jika ingin menamakan seperti itu adalah dibolehkan kerana tidak membawa kepada maksud yang tidak baik, seperti dalam maklumat kami. Kami syorkan mungkin dinamakan seperti Ibtisam, Hanan, ‘Afaf, Afifah, Isytisyhad, Nabilah, Khadijah, Fatimah, Ruqaiyah, Zainab dan lain-lain.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445