#3005: Lelaki Tayang Six Pack

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang lelaki menayangkan atau mendedahkan “six pack”, lalu ia dilihat oleh kaum wanita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat, bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi sesama manusia dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”

(Surah al-Nur: 30)

Ayat di atas merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka. Begitu juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 353).

Aurat dari segi syarak bermaksud semua anggota yang wajib ditutup atau yang haram dilihat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124). Menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, aurat lelaki dalam solat dan ketika di luar solat adalah bahagian tubuh yang berada di antara pusat dan lututnya mengikut pendapat al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah. Ini juga merupakan pendapat kebanyakan fuqaha’. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

أَسْفَل السُّرَّةِ وَفَوْقَ الرُّكْبَتَيْنِ مِنَ الْعَوْرَةِ

Maksudnya: “Bahagian tubuh yang bawah dari pusat dan atas dari kedua lutut adalah termasuk dalam aurat.”[1]

Namun, terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa auratnya hanyalah kedua kemaluannya sahaja. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A bahawa Nabi SAW pada hari berangkatnya ke Khaibar untuk berperang. Kemudian Baginda menyingkap kain izarnya (kain yang menutupi bahagian bawah pinggang) dari pahanya hingga aku melihat putihnya paha Nabi SAW. (Riwayat al-Bukhari (371)

Sekalipun begitu, dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/124-125) dinyatakan bahawa batasan aurat ketika di luar solat. Aurat lelaki sesama lelaki walau apapun keadaannya dan aurat lelaki terhadap perempuan mahramnya ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut.

Sementara aurat lelaki terhadap perempuan lain (iaitu ajnabiyyah) pula mengikut pendapat yang muktamad adalah seluruh anggota badan selain muka dan dua tapak tangan. Oleh itu tidak harus bagi perempuan melihat anggota lelaki bukan mahramnya selain muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, hukum melihat muka lelaki dengan berahi (syahwat) tetap haram. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).

(Surah al-Nur: 31)

Dalam menjawab soalan di atas, apabila Islam hanya membataskan aurat lelaki sesama lelaki bahagian tubuh di antara pusat dan lutut, ia tidaklah bermaksud seseorang lelaki itu dibenarkan untuk memperlihatkan bahagian dadanya mahupun bahagian “six pack” di hadapan lelaki lain, apatah lagi di hadapan wanita. Sekalipun bahagian dada dan “six pack” lelaki tidak dikira sebagai termasuk dalam auratnya, tetapi tindakan memperlihatkannya tanpa sebarang sebab adalah suatu tindakan yang tidak sopan, boleh menjatuhkan maruahnya, dan termasuk dalam perbuatan orang fasik.

Tambahan lagi, salah satu perkara yang perlu difahami adalah jika sesuatu perkara yang dibolehkan, tetapi terhasil daripada perkara tersebut kerosakan, maka ia dilarang untuk dilakukan disebabkan oleh kerosakan yang mungkin terhasil daripadanya. Justeru, jika perbuatan mendedahkan dada atau “six pack” lelaki menjadi sebab kepada timbulnya fitnah atau membuka pintu/ruang kepada keburukan dan kejahatan, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan disebabkan faktor-faktor tersebut. Ini juga adalah sebagai mengambil langkah Sadd Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Sesungguhnya pakaian telah disyariatkan pemakaiannya atas pelbagai hukum dan sebab, di antaranya sebagai mematuhi fitrah manusia, perhiasan, melindungi daripada cuaca panas dan sejuk, dan menutup aurat. Setelah Allah SWT memberikan kurniaan kepada hamba-hamba-Nya dengan menciptakan pakaian yang menutupi keburukan mereka, Dia mengingatkan atau menekankan kepada mereka mengenai pakaian yang lebih besar dan utama iaitu pakaian ketakwaan. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

(Surah al-A‘raf: 26)

Syeikh al-Sa‘di ketika mensyarahkan ayat di atas menyatakan, kemudian Allah memberi nikmat kepada mereka dengan apa yang Dia sediakan untuk mereka berupa pakaian utama (keperluan asas) dan pakaian lain yang tujuannya adalah untuk kecantikan. Begitu juga keperluan lainnya, seperti makanan, minuman, kenderaan, pernikahan, dan perkara-perkara lain yang disediakan Allah bagi manusia; baik yang bersifat asas mahupun yang menjadi pelengkap. Kemudian Dia menjelaskan kepada mereka bahawa semua itu bukanlah tujuan itu sendiri, akan tetapi Allah menyediakannya sebagai pendukung dan membantu untuk beribadah dan melakukan ketaatan kepada-Nya. Oleh kerana itu, Allah berfirman “وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ” (dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya) iaitu berbanding pakaian badan, kerana pakaian takwa akan selalu bersama hamba, tidak usang dan tidak rosak. Ia adalah keindahan hati dan rohani.

Adapun pakaian yang zahir, maka tujuannya hanyalah untuk menutupi aurat yang zahir pada suatu waktu atau ia sekadar menjadi keindahan bagi pemakainya. Dibalik itu tidak ada lagi sebarang kegunaannya. Seandainya pakaian zahir ini tidak ada lalu menjadikan aurat zahirnya itu terdedah, maka ia tidak memudaratkannya (yakni tidak mengapa) dalam keadaan darurat. Namun, seandainya pakaian takwa tidak ada, maka aurat batinnya akan terdedah dan dia akan mendapat kehinaan dan keaiban. Selanjutnya firman Allah SWT: “ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ” bermaksud pakaian yang disebutkan itu termasuk yang mengingatkanmu tentang apa-apa yang berguna (bermanfaat) dan apa yang tidak berguna bagimu, dan kamu memakai pakaian zahir sebagai sarana untuk pakaian batin. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 248).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika bahagian “six pack” yang didedahkan itu berada di atas pusat, maka ia belum lagi dikira mendedahkan aurat kerana aurat lelaki adalah bahagian yang berada di antara pusat dan lututnya mengikut jumhur ulama. Sekalipun begitu, perbuatan sengaja mendedahkan bahagian “six pack” tanpa sebarang keperluan bukanlah suatu perbuatan yang elok, bahkan boleh menjatuhkan maruahnya sebagai seorang lelaki Muslim yang sopan dan beradab, terutamanya dalam konteks budaya dan masyarakat Islam dalam negara kita. Oleh yang demikian, menjauhi daripada perbuatan sengaja mendedahkan bahagian “six pack” tanpa sebarang keperluan adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah.

Manakala bagi perempuan yang melihatnya pula, kami berpendapat bahawa tidak mengapa jika ia tidak disertai dengan syahwat. Akan tetapi jika ia disertai dengan syahwat, maka hukum melihatnya adalah haram. Meskipun begitu, mengelakkan diri daripada melihatnya, sekalipun tanpa disertai dengan syahwat adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf mereka yang menghukumkannya sebagai haram serta jauh daripada fitnah.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada semua, tidak kira lelaki mahupun perempuan, agar sentiasa memelihara diri masing-masing dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan tohmahan kepada diri mereka sekali gus mencemarkan maruah dan imej sebagai seorang Muslim dan Muslimah. Ingatlah, sebelum melakukan sesuatu tindakan atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz). (Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Ini adalah sebagai hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (11/36), Nabi SAW bersabda:

 وَإِذَا أَنْكَحَ أَحَدُكُمْ عَبْدَهُ أَوْ أَجِيرَهُ فَلَا يَنْظُرَنَّ إِلَى شَيْءٍ مِنْ عَوْرَتِهِ فَإِنَّ مَا أَسْفَلَ مِنْ سُرَّتِهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ مِنْ عَوْرَتِهِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu menikahkan hamba atau pekerjanya, maka janganlah sekali-kali melihat sesuatu daripada auratnya kerana sesungguhnya, apa-apa bahagian jasad yang berada di antara pusat sehingga kedua lututnya termasuk dalam auratnya.” Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445