Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya amat tertarik dengan buku karya Imam Al Ghazali berjudul “The Alchemy of Happiness”. Buku ni banyak menerangkan nilai kerohanian & aspek spiritual yang perlu difahami oleh setiap muslim , Moga ustaz menitikberatkan untuk menterjemah karya kitab ini ke edisi bahasa melayu . Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan biografi Imam al-Ghazali secara ringkas.
Kelahiran dan Pendidikan
Nama penuhnya Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazali al-Tusi. Nama panggilannya (kunyah) pula Abu Hamid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah Hujjatul al-Islam, Siraj al-Mujtahidin dan Zain al-‘Abidin.
Abu Hamid al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazalah, di pinggir kota Tus, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khurasan.
Keluarga Abu Hamid al-Ghazali kuat beragama. Ayahnya bekerja menenun kain dari bulu biri-biri. Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazalah ke kota Tus[1] untuk dijual di sana. Walaupun si ayah adalah seorang lelaki yang miskin, dia juga merupakan seorang yang jujur dan baik hati.
Dia suka bergaul dengan para ulama dan juga para sufi sambil memetik ilmu-ilmu agama, serta berbakti dan berkhidmat kepada mereka. Kerana selalu mendampingi orang-orang yang berilmu dan sering pula mendengar ceramah-ceramah daripada mereka, si ayah telah merasa kesan positifnya, lalu berdoa agar dia dikurniakan seorang anak yang cerdik, berilmu dan juga soleh. Doanya itu telah diperkenankan Allah SWT.
Lahirlah anaknya yang telah diberikan nama Muhammad. Pada hari tuanya, Muhammad ini telah menjadi bukan sahaja seorang soleh, malah telah menjadi seorang guru pula kepada golongan al-solihin di zamannya, dan telah dikenali umum sebagai al-Imam Abu Hamid al-Ghazali.
Ayah Abu Hamid al-Ghazali telah meninggal dunia ketika Abu Hamid berusia lebih kurang enam tahun. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau dan adik lelakinya yang bernama Ahmad, telah hidup di bawah asuhan seorang sahabat ayah mereka, seorang mutasawwif.
Selepas habis wang peninggalan arwah bapanya, Imam al-Ghazali berhijrah ke Tus dan belajar di sebuah sekolah yang dibangunkan oleh perdana menteri Nizam iaitu Al-Madrasah al-Nizamiyyah. Madrasah ini membiayai makanan, pakaian, dan juga kitab-kitab kegunaan para pelajarnya.
Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah belajar ilmu fiqh daripada seorang alim yang bernama Al-Syeikh Ahmad ibn Muhammad al-Radhakani. Dia juga telah mempelajari ilmu nahu dan ilmu hisab, serta telah berjaya menghafal isi al-Quran. Dia lebih menggemari ilmu-ilmu yang zahir seperti ilmu fiqh, sedangkan adiknya yang bernama Ahmad itu, sejak masa mudanya lagi sudah mula cenderung kepada ilmu tasawuf.
Kemudian, pada tahun 465 Hijrah, al-Imam Abu Hamid al-Ghazali telah pergi ke Jurjan (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgan dan kota lama ini terletak lebih kurang 160 kilometer dari Tus) dan telah belajar daripada seorang guru yang bernama Abu Nasr Al Ismaili dan mempelajari tasawuf daripada Yusuf al-Nasaj, seorang sufi terkenal serta ramai guru lain.
Karya dan Penulisan Imam al-Ghazali
Sebelum meninggal dunia, Al-Ghazali telah mengarang ratusan buku dalam berbagai bidang antaranya:
• Ihya’ Ulum al-Din
• Bidayah al-Hidayah
• Mizan al-A’mal
• Minhaj al-Abidin
• Al-Mustasfa Min Usul al-Fiqh
• Al-Iqtisad Fi al-I’tiqad dan lain-lain.
Berkenaan buku di atas, sudah ramai yang menterjemahkannya ke dalam pelbagai bahasa dan mungkin sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Saya yakin dan percaya, buku tersebut juga telah diterjemahkan. Justeru, cukuplah jika anda membeli senaskhah buku Ihya’ Ulum al-Din yang juga mengandungi kisahan tersebut.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
[1] Tus ialah sebuah bandar purba di Wilayah Razavi Khurasan di Iran berhampiran Mashhad. Bagi orang Yunani kuno, ia dikenali sebagai Susia (Yunani Purba: Σούσια). Ia juga dikenali sebagai Tusa. Tus dibahagikan kepada empat bandar iaitu Tabran, Radakan, Noan dan Teroid. Seluruh kawasan yang kini hanya dipanggil Tus adalah bandar terbesar di seluruh kawasan pada abad kelima.
Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445