#3025: : “Tak kahwin!”, Adakah Jatuh Talak?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. baru-baru ini semasa mencari kad nikah saya, saya memberitahu suami saya yang saya kehilangan kad tersebut dan suami saya secara berseloroh dan sambil ketawa menyebut “tak kahwin!” dan apabila saya panik bertanya, suami saya lekas-lekas menjawab “Tak! Tak! Maksud saya nanti orang lain ingat (kita) tak kahwin” Terlepas cakapkah suami saya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.

Riwayat Abu Daud (2194). Syeikh Syuaib berkata hadis ini hasan li ghairih.

Al-Khattabi menukilakan bahawa : para ahli ilmu bersepakat bahawa lafaz talak yang jelas, jika diucapkan oleh seseorang yang telah baligh yang berakal, ia dianggap sebagai talak yang sah dan tidak berguna lagi baginya untuk mengatakan bahawa ia sedang bermain-main, bergurau dan tidak berniat untuk bercerai atau perkara seumpamanya. (Lihat Ma’lim al-Sunan,3/243)

Hadith ini juga menunjukkan bahawa perkara-perkara yang disebutkan dalam hadith dikira sekiranya disertakan dengan niat, kerana hukum asal hanya ditujukan kepada individu yang berakal yang mampu membuat pilihan, yang sengaja, dan ingat dia lakukan. Golongan yang tidak dikira sekiranya melakukan perkara tersebut adalah seperti orang yang dipaksa yang tidak mampu untuk membuat pilihan, orang yang mabuk yang berakal dalam keadaan mabuknya, orang gila, orang yang salah dan yang lupa yang tidak mampu untuk mengingati. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 20/251)

Terdapat  keadaan apabila suami  melafazkan talak secara sarih ia tidak menjatuhkan talak, antaranya ialah:

  1. Orang yang tidur
  2. Orang yang gila
  3. Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  4. Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  5. Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  6. Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur

Al-Zuhaili menyatakan ketika menerangkan keadaan yang ke tiga: Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat.”(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’ie, 4/164)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak terjatuh talak dalam situasi saudari. Hal ini kerana ia bukanlah lafaz talak dan juga si suami tidak berniat untuk menceraikan si isteri. Namun, nasihat kami sebaiknya selepas ini, janganlah bergurau dalam perkara-perkara sebegitu kerana ia boleh benar-benar terjadinya talak.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua’lam

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445