#3028: Memahami Hadith Keharusan Bersetubuh dengan Semua Isteri Pada Satu Malam dengan Hak Seorang Isteri Sekurang-kurangnya adalah Satu Malam Bagi Setiap Seorang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara kita hendak memahami hadith Nabi bahawasanya dibolehkan untuk melakukan persetubuhan dengan semua isteri-isterinya pada satu malam, sedangkan hak seorang isteri sekurang-kurangnya adalah satu malam bagi tiap seorang? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, diharuskan bagi seorang lelaki yang telah bersetubuh dengan isterinya, untuk mendatangi pula isterinya yang lain sebelum dia mandi wajib. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدُورُ عَلَى نِسَائِهِ فِي السَّاعَةِ الوَاحِدَةِ، مِنَ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَهُنَّ إِحْدَى عَشْرَةَ. قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسٍ أَوَكَانَ يُطِيقُهُ؟ قَالَ: كُنَّا نَتَحَدَّثُ: أَنَّهُ أُعْطِيَ قُوَّةَ ثَلاَثِينَ. وَقَالَ سَعِيدٌ، عَنْ قَتَادَةَ، إِنَّ أَنَسًا، حَدَّثَهُمْ: تِسْعُ نِسْوَةٍ.

Maksudnya: “Nabi SAW pernah menyetubuhi kesemua isteri Baginda pada masa yang sama pada waktu malam dan siang, dan para isteri Nabi SAW adalah seramai sebelas orang.” Qatadah berkata: Aku berkata kepada Anas: “Adakah Baginda mampu melakukannya?” Anas berkata: “Dahulu kami (para sahabat) selalu bercakap-cakap bahawa Baginda SAW diberi kekuatan tiga puluh orang lelaki.” Sa‘id berkata daripada Qatadah bahawa Anas menyampaikan kepada mereka: “Isteri Baginda SAW sembilan orang.”

Riwayat al-Bukhari (268)

Begitu juga dalam riwayat Anas yang lain, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ بِغُسْلٍ وَاحِدٍ

Maksudnya: “Nabi SAW biasanya menyetubuhi isteri-isterinya dengan satu mandi wajib.”

Riwayat Muslim (309)

Bahkan ramai ulama menukilkan ijma‘ mengenai keharusan melakukan perkara tersebut. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Battal bahawa para ulama tidak berselisih pendapat mengenai keharusan seseorang lelaki untuk melakukan persetubuhan dengan beberapa orang isterinya dengan satu mandi wajib berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah dan Anas R.Anhuma. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 1/381).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat daripada Qatadah bahawa Anas bin Malik menyampaikan kepada mereka bahawa:

أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ، فِي اللَّيْلَةِ الوَاحِدَةِ، وَلَهُ يَوْمَئِذٍ تِسْعُ نِسْوَةٍ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah bersetubuh dengan kesemua isterinya pada malam yang sama, dan Baginda mempunyai sembilan orang isteri.

Riwayat al-Bukhari (284) dan lafaz hadith daripadanya; Muslim (309); Abu Daud (218); al-Tirmizi (140); al-Nasa’i (263); Ibn Majah (588) dan Ahmad (12967)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika mensyarahkan hadith dalam riwayat Imam Muslim menyatakan, maknanya adalah Nabi SAW bersetubuh dengan isteri-isterinya yang kesemuanya seramai sembilan orang dengan satu mandi wajib. Dalam erti kata lain, Baginda tidak mandi wajib tiap kali selesai bersetubuh, mahupun berwuduk sebagaimana yang dapat difahami secara zahirnya daripada hadith tersebut. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 6/144).

Dalam menjawab soalan di atas, tidak ada dalam hadith ini yang menunjukkan bahawa seseorang yang memiliki lebih daripada seorang isteri untuk pergi menemui mereka dan bersetubuh dengan mereka pada satu malam yang diperuntukkan kepada salah seorang daripada mereka, melainkan setelah mendapat persetujuan daripadanya.

Imam al-Nawawi menyatakan, dikatakan bahawa para fuqaha berpendapat, pembahagian yang paling mininum adalah satu malam untuk setiap isteri. Justeru, bagaimana mungkin Baginda pergi menemui semua isterinya (untuk bersetubuh dengan mereka) pada satu malam? Kemudian, Imam al-Nawawi menjelaskan, kemusykilan ini boleh dijawab melalui dua penjelasan:

Salah satunya, hal itu dilakukan dengan persetujuan mereka semua dan tidak ada khilaf mengenai keharusan melakukannya dengan persetujuan mereka, tidak kira bagaimana cara persetujuan itu dinyatakan.

Keduanya, adakah pembahagian waktu (antara isteri-isteri) pada hak Nabi SAW (dalam kes Baginda) wajib pada setiap masa? Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berkenaannya. Abu Sa‘id al-Istakhri berpendapat, hal itu tidak wajib sebaliknya Baginda biasanya membahagikan waktu dengan sama rata dan melakukan undian antara mereka sebagai tindakan kebaikan dan sesuatu yang dilakukan secara sukarela, bukan kerana ia wajib. Manakala majoriti ashab berpendapat, ia adalah wajib. Jadi, berdasarkan pendapat al-Istakhri, hal itu tidak menjadi masalah — yakni tidak mengapa. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/103).

Menurut Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan, hadith ini juga menjadi dalil bagi sesiapa yang berpegang dengan pendapat bahawa pembahagian waktu antara isteri-isteri tidak wajib pada hak Nabi SAW. Akan tetapi Baginda melakukan pembahagian waktu itu secara sukarela daripada pihaknya untuk memberi kebahagiaan kepada hati isteri-isterinya, menyempurnakan akhlaknya, dan sebagai contoh untuk orang lain.

Ini dapat dilihat (iaitu wajh istidlalnya) melalui lafaz dalam hadith bahawa “Nabi SAW menyetubuhi para isterinya pada satu masa (dengan mandi wajib yang sama)” di mana lafaz itu telah menafikan kewajipan untuk membahagikan waktu di antara isteri-isteri ke atas Baginda SAW. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/369).

Seterusnya, terdapat jawapan ketiga yang dinyatakan oleh Ibn ‘Abd al-Barr apabila beliau menyebutkan, ini merujuk kepada masa di mana Baginda pulang dari perjalanan dan seumpamanya, pada suatu masa di mana salah seorang daripada mereka tidak mempunyai hari yang tertentu, jadi Baginda melakukan persetubuhan dengan mereka semua pada masa itu, kemudian Baginda berkongsi waktu dengan adil di antara mereka selepas itu kerana mereka ialah wanita-wanita yang merdeka dan sunnah Nabi SAW adalah untuk membahagikan waktu dengan adil di antara mereka. Sekiranya tidak, Baginda  hanya bersetubuh dengan seorang sahaja daripada mereka pada hari yang lain. (Lihat al-Istizkar, 1/263).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445