#3031: Waswas Terhadap Saki Baki Air Sabun pada Kulit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang yang kerap ragu-ragu dengan kebersihan sesuatu atau jika sesuatu itu suci atau tidak. Oleh itu, saya kerap membasuh tangan dengan sabun setelah saya menyentuh sesuatu yang dianggap tidak bersih atau tidak suci. Baru-baru ini, selepas menyentuh sesuatu yang saya percaya tidak suci, saya membasuh tangan dengan air dan sabun. Kemudian, ada saki-baki air sabun di kulit saya yang tidak dibasuh dengan air betul-betul (masih ada buih) tetapi saya tidak menjiruskan air sampai ia hilang dan membiarkannya. Selepas itu, baru saya berasa was-was tentang kesuciannya. Oleh itu, adakah kulit yang masih ada baki campuran air sabun dan kemungkinan najis dianggap suci kerana saya tidak mengalirkan air kepadanya pada akhir sekali? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassitah, dan najis mughallazah. Najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya. Najis mukhaffafah pula ialah air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun. Manakala najis mutawassitah ialah apa yang selain daripada kedua-dua jenis najis yang telah disebutkan seperti seperti air kencing, najis haiwan, darah dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41).

Kami andaikan soalan di atas merujuk kepada cara membersihkan najis mutawassitah kerana kebiasaannya najis mukhaffafah dan najis mughallazah tidak memerlukan kepada penggunaan sabun. Secara umumnya, cara membersihkan najis mutawwasitah adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi.

Manakala sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ). Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya juga adalah dikira sebagai suci.

Begitu juga, belum lagi dikira suci, jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak tiga kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun bau dan warna sekali, atau yang tinggal hanya rasanya sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183).

Dalam menjawab soalan di atas, jika sabun itu digunakan ketika ain najis masih lagi ada, maka ain sabun itu juga hendaklah dihilangkan kerana ia dikira sebagai mutanajjis (terkena/bercampur dengan najis). Caranya adalah dengan membilasnya dengan air bersih sehingga hilang kesan najis dan sifat-sifatnya itu.

Begitu juga, jika sabun itu digunakan setelah ain najis itu dihilangkan seperti bagi tujuan menghilangkan bau dan warna yang terhimpun sekali, maka memadai dengan hilangnya kesan najis itu, setelah dibilas dengan air bersih selepasnya. Adapun bau sabun dan kesan sabun seperti licin yang ditinggalkan selepas dibilas dengan air bersih adalah tidak mengapa. Apatah lagi, sekiranya yang tinggal daripada sifat najis hanya bau semata-mata termasuk dalam perkara yang dimaafkan (iaitu dikira suci), maka bau sabun yang ditinggalkan setelah dibilas dengan air mutlak adalah lebih-lebih lagi utama — yakni tidak mengapa.

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan dan merujuk kepada situasi saudara yang bertanya, kami berpendapat bahawa basuhan yang telah dilakukan dengan air dan sabun itu adalah memadai. Adapun kesan yang tinggal selepas basuhan tersebut seperti sedikit buih, kesan licin, bau sabun dan bukannya kesan atau tanda-tanda najis, maka ia adalah tidak mengapa dan termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Hal ini kerana hukum asal bagi sesuatu adalah suci sebagaimana kaedah menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Lebih-lebih lagi suatu keraguan yang timbul (iaitu syak pada kebarangkalian masih bernajis) tidak boleh membatalkan suatu yang sudah diyakini sebelumnya (iaitu kesuciannya). Ini bertepatan dengan kaedah:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya:Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).

Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang ataupun tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu (hukum asal). (Lihat Syarah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 45).

Pada kesempatan ini juga, kami menyarankan kepada saudara yang bertanya untuk merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #764: Cara Atasi Was Was,[1] berkenaan cara-cara untuk mengatasi penyakit waswas.

Pada kesempatan ini juga, kami menasihatkan agar buang dalam hati kita sifat was was dan wasangka kerana ia boleh mengundang tipu daya syaitan dan juga mudah merasa putus asa. Hal ini berdasarkan kaedah yang masyhur berdasarkan hadith Nabi SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/764-cara-atasi-was-was/. Diakses pada 21 Julai 2023.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445